in ,

Kisah Keli Dan Kura-Kura Serta Kaitannya Dengan Buli Di Negara Kita

Image: Life of Sea

Di depan bakery saya ada taman rekreasi yang ada tasik besar. Di dalam tasik tu ada banyak ikan keli. Ikan karp dan kura-kura.

Ikan kelinya ya ampun, besar-besar sangat. Ada yang sebesar dan sepanjang betis orang dewasa. Gemuk-gemuk. Saya pernah bagi ikan-ikan ni makan. Sekali saya campak roti-roti ke dalam tasik, berkerumun ikan-ikan ni datang berebut makanan.

Seperti biasa ikut hukum binatang, yang gagah dan besar akan kenyang. Yang kecil dan lemah akan ketinggalan. Paling saya kesian ialah kura-kura.

Dengan pergerakan yang perlahan, geng kura-kura ni memang jarang sekali dapat peluang untuk mendapat makanan yang saya campakkan itu.

Semuanya disambar oleh ikan-ikan keli hitam yang besar dan gagah. Saya terpaksa mencampakkan jauh daripada gerombolan ikan-ikan keli besar ni untuk memberi peluang kura-kura ni merasa rezekinya.

Kesian kura-kura yang lemah.

Tadi, dalam perjalanan ke bank, saya terserempak dengan seekor kura-kura yang sedang melintas jalan dengan lemah sekali. Jaraknya kira-kira 500 meter dari tasik yang penuh dengan ikan-ikan keli ganas tu. Seberang jalan tu adalah Masjid Hussein.

Ada dua buah kereta hampir melanggar kura-kura tersebut. Saya tak sampai hati. Saya berhentikan kereta. Turun dan angkat kura-kura lemah tu. Niat saya nak masukkan dia semula ke dalam tasik.

Tetapi memandangkan saya parking kereta di tengah-tengah jalan dan tidak mematikan enjin kereta, saya serahkan kura-kura tu kepada guard yang ada di situ.

“Bang, tolong lepaskan balik kurakura ni dalam tasik boleh tak? Tersesat rasanya ni. Kesian dia,” kata saya.

Pak guard kata ok dan saya terus ke kereta. Tetapi, sepanjang perjalanan saya ke bank dan sehingga ke saat ini, saya sangat terganggu dengan tindakan saya menolong kura-kura itu.

Adakah ia satu tindakan yang betul? Mengembalikan dia ke tasik yang penuh dengan keganasan keli-keli besar tu. Kembali ke tasik yang walaupun makanan banyak dicampakkan manusia, hanya keli ganas yang berpeluang dapat.

Geng kura-kura lemah hanya menjadi mangsa pijak untuk keli mengaut rezekinya.

Dan lebih membuatkan saya rasa bersalah adalah apabila saya kaitkan nasib kura-kura ini dengan apa yang berlaku pada pelajar-pelajar asrama yang menerima nasib malang dibuli, dipijak dan didera semasa hidup di asrama.

Saya sangat tak suka perasaan ini. Saya seperti mahu patah balik mencari kura-kura yang dah bersusah payah naik ke darat itu. Meletakkan dia semula di atas jalan dan membiarkan dia bebas daripada keli-keli jahat di tasik.

Saya membayangkan dalam keadaan lambat itu dia berusaha keras untuk naik ke darat. Melarikan diri daripada kejahatan keli-keli ganas.

Dia berjaya pergi begitu jauh, tetapi manusia yang bernama Zalina ni mengembalikan dia semula ke tasik itu. Sebab manusia ini merasakan dia lebih layak di sana.

Maka kembalilah kura-kura ke tasik itu. Hidup bersama keli-keli jahat yang hidup atas hukum binatang – yang lemah harus bersedia untuk dipijak kepalanya. Harus sedar diri di mana kedudukan kau sebagai kelompok yang lemah. Jangan banyak merungut walaupun kepala dipijak hari-hari.

Kesian kura-kura tu. Saya masih rasa menyesal sampai sekarang.

Zalina Yahaya

Mengenang pemergian Zulfarhan Osman Zulkarnain dan mereka yang pernah menjadi mangsa kepada kehidupan berasaskan hukum binatang.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Bagaimana Mangsa Buli Boleh Menjadi Raksasa

Vitamin Di Bulan Ramadan