Kisah Cinta Kau Macam Mana? Ada Power Macam Kisah Aku?

 

Jarr Nadjumudden Lepak Bersama Isterinya.
Jarr Nadjumudden Lepak Bersama Isterinya.

Dahulu masa aku nak kahwin, isteri aku terima aku sehelai sepinggang. Masa tu aku mana kerja tetap. Isteri aku pula pegawai bank. Macam langit dengan bumi. Hidup dia dalam kalangan manusia-manusia korporat. Aku pula masa tu hidup dalam kalangan rebel. Muzik adalah hidup. Gitar pula makwe yang setia. Masa aku kenal isteri aku, handphone aku baru lepas kena curi.

Dia bagi aku pakai telefon dia, dia call aku pakai telefon rumah. Emak bapa dia marah bukan main sebab dia serah main bagi telefon dia dekat aku. Maklumlah, dia pun bukan dari keluarga yang senang. Mestilah emak bapa dia risau kalau anak dia kena tipu dengan mamat serabai macam aku.

Kami berhubung jarak jauh sebab masa itu aku kerja di Melaka. Kerja main-main. Tapi sejak aku kenal dia, dia ajar aku kenal apa itu tanggungjawab. Dia terus kerja dan naikkan karier. Aku? Aku masih terkial-kial mencari kerja tetap. Dalam kesibukkan, dia bersengkang mata bantu aku buat resume. Hulur dekat orang itu, orang ini. Minta tolong kenalan. Sampai aku terfikir kenapa dia ini baik sangat sampai tolong aku macam ini sekali.

Aku dapat kerja tetap yang pertama hasil usaha dia. Tuhan permudahkan temuduga. Kami ikat perut sebab nak kumpul duit untuk kahwin. Pergi kerja dia tunggu aku dekat hentian bas. Aku naik bas dari Taman Ehsan berhenti depan hentian bas tokong di Jinjang Utara. Awal pagi dia tunggu aku nak hantar pergi kerja. Dia ajar aku bawa kereta dan ambil lesen.

Begitulah hari-hari selama setahun. Bila waktu makan tengahari, dia ambil aku kami bungkus nasi satu dan makan dua orang. Kadang-kadang dia buatkan nasi goreng dengan telur dadar buat bekal kami berdua.

Balik kerja petang dia akan hantar aku balik ke Taman Ehsan dan pagi esoknya dia akan hubungi aku, kejutkan aku bangun bersiap untuk pergi kerja. Dia sangat bersabar terhadap aku dan tak pernah merungut.

Satu hari aku cakap dekat dia aku nak ambil dia jadi isteri, aku pergi kedai emas beli cincin untuk merisik. Ya! Aku pergi pakai seluar jeans koyak dengan t-shirt rock bawa cincin merisik naik teksi pergi ke rumah keluarga dia. Kenapa aku tak pergi dengan keluarga aku? Adalah ceritanya kenapa.

Di rumah dia, aku berdepan dengan semua ahli keluarga dia. Aku cakap terus-terang aku nak ambil dia jadi isteri aku. Aku tahu pada awal hubungan, emak bapa dia tak setuju sebab aku kerja tak tentu. Aku faham hal itu. Dan aku reda kalau hubungan ini tak menjadi. Tapi kau tahu apa yang terjadi? Dia perjuangkan cinta dia dan dia sungguh-sungguh mahu kahwin dengan aku kerana dia percaya yang aku akan berjaya satu hari nanti.

Sama macam emak bapa aku yang pada mulanya tidak bersetuju dengan cadangan aku untuk berkahwin dengan dia kerana aku tak bekerja tetap dan suka berhibur. Emak bapa aku lagi keras, hari aku kahwin baru mereka sampai. Aku pujuk emak bapa aku lama juga. Sehari sebelum kahwin aku hubungi mereka lagi minta mereka datang dan memberi restu. Akhirnya mereka mengalah.

Bukan senang nak menang hati orang tua bila kau buat keputusan besar seperti ini. Aku pertahankan cinta aku pada isteri aku kerana aku tengok dia tak pernah jemu bantu aku dan terima aku seadanya sejak mula kami berkenalan. Mana aku nak cari seorang eksekutif bank pada tahun 2003 yang sanggup keluar lunch di Tasik Titiwangsa makan nasi bungkus kongsi berdua? Lauk ayam sambal dengan telur dadar sahaja. Mana aku nak cari perempuan yang sanggup terima aku yang tiada wawasan masa itu sehingga aku ada hala tuju seperti sekarang?

Aku tiada apa-apa. Duit jauh sekali, kacak pun sedikit. Itu sahaja modal yang aku ada. Selain itutu, aku doa dan usaha.

Alhamdulillah selepas 12 tahun, seperti inilah kami sekarang. Bila diingat balik, kelakar pun ada, sedih pun ada. Tapi kalau tak ada cabaran, tak hindustanlah kisah percintaan aku.

Kau punya kisah cinta macam mana?

Jarr Nadjmuddean

2 Comments

Leave a Reply
  1. Hmmm ~~ biasa biasa je. Takde apa yang nak dihairankan. Sebab cerita macam ni, berlambak kat luar sana. Mungkin sebab cerita aku pun serupa gini gak.

Leave a Reply