in ,

Keunikan Budaya Dalam Sukan SEA

Gambar : http://www.utusan.com.my

Sekarang sedang berlangsung di Malaysia kejohanan Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA yang ke-29. Sukan ini sebenarnya memiliki sejarah panjang sebagai medan persaingan atlet terbesar di rantau ini dan sudah tentu sudah merakam pelbagai pencapaian dalam dunia sukan.

Pada permulannya temasya sukan ini dikenali sebagai South East Asian Peninsula Games atau Sukan SEAP dan sejarah permulaan Sukan SEAP ini bermula ketika negara-negara di Asia Tenggara yang dikenali sebagai negara pengasas SEAP, Myanmar, Kemboja, Laos, Malaysia, Thailand dan Vietnam mengadakan perbincangan semasa Sukan Asia di Tokyo pada tahun 1958. Naib Presiden Majlis Olimpik Thailand pada ketika itu, Luang Sukhum Nayaoradit mencadangkan rantau Asia Tenggara wajar mempunyai temasya sukan utamanya sendiri bagi mempromosikan budaya kerjasama dan perpaduan dalam kalangan negara-negara di rantau ini.

Susulan daripada itu, semua negara berkenaan telah mengadakan satu lagi pertemuan dan bersetuju untuk menganjurkan temasya sukan di rantau Asia Tenggara untuk setiap dua tahun.

Sukan SEAP dianjurkan kali pertama di Bangkok, Thailand dari 12 hingga 17 Disember 1959 dan disertai Thailand, Burma (kini Myanmar), Malaya (kini Malaysia), Singapura, Vietnam Selatan (kini Vietnam) dan Laos. Seramai 527 atlet dan pegawai mengambil bahagian dalam 12 acara yang dipertandingkan. Kemboja yang merupakan sebahagian daripada negara pengasas SEAP tidak turut serta dan tempat mereka digantikan oleh Singapura.

Sejak dimulakan pada tahun 1959 Malaysia dan Thailand merupakan dua buah negara yang paling kerap menjadi tuan rumah sukan ini dengan masing-masing sebanyak enam kali.

Pada tahun 1977 satu lagi sejarah tercipta apabila nama sukan ini diubah ke South East Asian Games atau Sukan SEA dengan Malaysia diberi pengiktirafan sebagai tuan rumah pertama bagi kejohanan yang dijenamakan semula ini. Pada edisi kali ini juga melihatkan penyertaan secaras rasmi tiga negara lain iaitu Brunei, Indonesia dan Filipina. Malah Indonesia sebagai negara baru dalam temasya ini telah membuktikan kejaguhan mereka apabila muncul juara keseluruhan dengan mengumpulkan 62 pingat emas keseluruhan.

Sepanjang tempoh 29 kali penganjuran negara paling kerap dinobatkan sebagai juara ialah Thailand dengan 13 kali dan Indonesia mencatat nama sebagai juara sebanyak 10 kali. Manakala Malaysia hanya berjaya muncul juara ketika menjadi tuan rumah pada tahun 2001 dengan mengumpul 111 pingat emas.

Sehingga kini sejak pertama kali menyertai Sukan SEAP/SEA Malaysia telah berjaya mengumpul 3,753 pingat dengan 1,104 (emas), 1,123 (perak) dan 1,526 (gangsa). Sudah tentu Thailand dan Indonesia mendominasi carta pungutan pingat keseluruhan dengan masing-masing sudah berjaya mengutip 5,661 dan 4,852 pingat.

Sukan SEAP SEA ini masih tidak dapat lari daripada kontroversi terhadap acara-acara sukan yang sebenarnya lebih kepada sukan rakyat dan perkara ini terjadi kerana negara tuan rumah kebiasannya dilihat mahu mengatur strategi untuk menjadi juara. pada edisi 2003, Vietnam telah memperkenal acara Renang Bersirip dan Sepak Bulu Ayam. Di edisi 2005, Filipina menambah Sukan Tarian dan sukan dinamakan Arnis. Ketika di Palembang 2011, Indonesia membawakan acara Kenpo dan Vovinam manakala ketika edisi 2013, Myanmar memperkenalkan Chinlone.

Asia Tenggara sebuah benua unik yang dilengkapi kepelbagaian budaya dan sukan merupakan antara medium paling baik untuk mengukuhkan hubungan negara-negara di rantau ini. Walaupun sering berlaku pergeseran dalam hal-hal yang tidak sepatutnya, namun segala hal yang menggoncang perpaduan itu harus dihapuskan dan kita harus mempertahankan rantau ini sebagai sebahagian daripada kekayaan budaya yang ada dalam diri kita sendiri.

Daniyal Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Ini Kelebihan Air Kelapa Yang Anda Perlu Tahu

Ini Sukatan Masak Nasi Lemak Dari Pemilik Gerai Paling Power di Negeri Sembilan