in ,

Kenapa Menangis Jika Proton Dikuasai Geely?

Dua hari lepas, rakyat Malaysia telah dimaklumkan bahawa DRB-Hicom dan Zhejiang Geely telah mencapai persetujuan untuk syarikat China itu membeli 49.9% saham di dalam Proton.

Sebelum korang semua melompat dan menangis macam Tun Dr. Mahathir, kita wajib tengok dahulu data jualan kenderaan terkini Malaysia iaitu untuk bulan April 2017.

1) Perodua – 14,378 unit kenderaan
2) Honda – 7,283
3) Toyota – 5,818
4) Proton – 5,616

Ya, ini adalah bulan kedua berturut-turut Proton jatuh ke tangga ke-4. Pada bulan Januari dan Februari pun Proton hanya mampu berada di tangga ke-3, di belakang Perodua dan Honda. Tetapi dua bulan kebelakangan ini dengan Toyota pun Proton tak mampu bersaing.

Dan kita kena ingat, jualan Proton yang terus merosot ini berlaku selepas Proton sendiri melancarkan empat model baharu yang ikut kata pengurusannya, bakal mengubah nasib Proton dan mengembalikan jenama ini sebagai ‘market leader’. Tetapi selepas Perdana, Persona, Saga dan Ertiga masuk ke bilik pameran, jualan Proton tidak menampakkan sebarang peningkatan positif.

Kita akan tanya balik, di mana silapnya? Ya, mana ada pengeluar kereta yang lancar model baharu masih mencatatkan kemerosotan dalam jualan mereka. Perodua keluar Bezza dan juga Axia yang dikemaskini, dan mereka kekal sebagai ‘market leader’ dengan dibantu oleh model sedia ada seperti Myvi dan Alza. Dengan hanya 4 model sahaja mereka sudah boleh kuasai pasaran automotif Malaysia.

Honda sejak 2015 pula telah bermain dengan agresif melalui pengenalan model crossover HR-V, kemudian diikuti oleh Civic dan Accord baharu pada 2016, dan seterusnya penampilan pertama BR-V pada 2017; formula yang meletakkan jenama Jepun ini nombor 2 dalam Malaysia sejak 2016 dan bakal mengulanginya kembali untuk 2017 ini kalau diikutkan data semasa.

Toyota, walaupun pada tahun lepas menunjukkan penurunan kini telah kembali bangkit terima kasih kepada munculnya model terkini Hilux, Fortuner, Innova dan Avanza, serta tidak dilupakan pengenalan model Sienta yang belum pernah ada sebelum ini. Jadi tidak hairanlah bagaimana untuk dua bulan yang terkini, Toyota sudah mula mengatasi Proton.

Kenapa P2, H dan T keluar model baharu dan mencatatkan peningkatan jualan, tetapi P1 tidak?

Itu yang perlu kita tengok dan renungkan. Kesimpulannya, jualan Proton terus merosot. Ianya tidak meningkat seperti yang diramalkan pakar automotif lain sejak pengenalan 4 model baharu tahun lepas. Proton bernasib baik kerana Tan Chong Motor, yang memegang hak jenama Nissan di Malaysia tidak berapa bijak untuk meningkatkan jualan kenderaannya. Kalau tidak tobat lahom Proton jatuh nombor 5.

Sekarang kita berbalik kepada hal 49.9% saham Proton yang kini dipegang oleh Geely.

Geely ini asalnya pada tahun 1986 adalah pembuat peti ais dengan duit modal dipinjam dari ahli keluarga pemilik syarikat. Tiga tahun sebelum itu Proton telah ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1983, dengan duit modal yang pastilah datang dari dana kerajaan sendiri. Dan belum sempat Geely mengeluarkan peti ais pertama mereka, Proton terlebih dahulu mengeluarkan kereta pertamanya iaitu Saga pada tahun 1985.

Peti ais Geely tidak ada satu pun yang dijual di Malaysia pada masa itu, tetapi kereta Proton laku macam pisang goreng. Dan tak lama pun selepas dilancarkan di Malaysia, Proton sudah mula menjual kereta di United Kingdom, yakni pada tahun 1983. Begitulah jauhnya beza antara Geely dan Proton, lebih jauh dari langit dan bumi sebenarnya.

Jadi tahun bila yang Geely ini mula mengeluarkan kereta mereka sendiri? Tahun 2002 tuan dan puan. Pada tahun 2002 itu Proton sudah pun mengeluarkan Waja, model pertama yang direka sepenuhnya di Malaysia dan bukan diceduk dari model sedia ada milik Mitsubishi. Waja ini siap diberi jolokan ‘Asia’s answer to BMW’, mendapat talaan dari Lotus serta varian ‘high-end’ 1.8X dikuasai oleh ejin Renault dengan slogan ‘drive-by-wire’.

Dan seperkara lagi yang kita tidak boleh abaikan apabila bercakap tentang Waja adalah fakta bahawa ianya berkongsi casis yang sama dengan Volvo S40 generasi pertama. Model S40 bertahan hingga ke generasi ke-2 sebelum berakhir pada tahun 2012. Pada masa itu, Volvo sudah pun dibeli oleh Geely pada tahun 2010.

Hari ini tidak ada satu pun model Proton yang berkongsi DNA dengan Volvo (tapi ia mungkin berlaku kembali). Volvo, yang hampir mati ketika dibeli oleh Geely sebenarnya telah berjaya memecah rekod menjual sejuta unit kenderaan dalam setahun pada tahun 2015, kali pertama ianya berlaku dalam 89 tahun kewujudan Volvo.

Proton pula, selepas hilang kedudukan nombor 1 dalam Malaysia sejak 2006 kepada Perodua, mula melihat kedudukan mereka kekal di tangga ke-2, kemudian di kedudukan ke-3 dan kini tidak mustahil jatuh ke nombor 4. Masa depan Proton amat suram sebenarnya.

Pasaran Proton terhad di dalam Malaysia sejak dahulu lagi. Eksport ke United Kingdom atau negara lain yang dibanggakan dari dulu sebenarnya terlalu sedikit, dan yang sedikit ini semakin mengecil. Kini Proton juga berdepan situasi tidak laku di negara sendiri. Macam aku cakap, 4 model baharu tapi langsung tidak membantu dari segi jualan mereka.

‘Economy of scale’ yang sangat penting untuk pengeluar kereta tidak wujud untuk Proton. Dan lebih teruk lagi, rakan kongsi strategik yang menjadi pemangkin kebanyakan pengeluar kereta lain juga tidak wujud untuk Proton. Berbeza dengan Perodua yang dimiliki UMW dan Daihatsu, Proton hanya ada DRB-Hicom.

Satu-satunya cara untuk Proton kekal bernafas adalah dengan mendapat rakan kongsi strategik, yang boleh bagi ‘economy of scale’ kepada Proton selain teknologi, kepakaran dan paling penting, duit. VW dan GM antara yang pernah berminat untuk menjadi rakan kongsi tetapi ditolak, mungkin sedikit sebanyak kerana sentimen nasionalisme kerana Proton ini dianggap projek kereta nasional.

Namun, projek kereta nasional tidak lagi relevan untuk kita. Dalam dunia globalisasi ini pengeluar kereta perlu jadi global, bukan jadi nasionalis. Ya, entiti nasional atau kebudayaan itu masih penting. Volvo masih ada ciri Sweden, Lamborghini itu Itali dan Land Rover itu British. Tapi yang memiliki Volvo adalah Geely, Lamborghini itu milik VW dan Land Rover yang kita ingat British itu, dipegang oleh Tata dari India.

Selama ini Proton pegang Lotus pun, kita tak pernah rasa Lotus itu Malaysia.

Kenapa kita nak menangis kalau Proton dikuasai 49.9% oleh Geely? Selama ini kita dah menangis lama bayar harga kereta melampau kerana ‘brainchild’ Tun Dr. Mahathir bernama Proton ini. Tak perlulah kita nak pening dan bersedih. Mungkin ada lebih baik Proton, sebagai satu perniagaan diurus sebagai satu perniagaan dan bukannya sebagai projek kereta nasional kebanggaan negara.

Bukan Proton bagi kau ‘door handle’ percuma pun setiap kali patah selama ni.

Kalau kesudahannya Proton, projek kereta nasional kita terpaksa dijual kepada pengeluar peti ais untuk terus hidup, maka itulah yang perlu kita terima.

Muhammad Najib,
Pengguna:

Proton Saga 1.5 – ABJ5103
Proton Saga 1.3 Aeroback – ABK1065
Proton Saga Iswara 1.5 – ADD2238
Proton Wira 1.6 – BDV7474
Proton Wira 1.3 – AEX1062
Proton Satria 1.3 – AEJ8051
Proton Gen-2 1.6 CPS – SAA9364W
Proton Satria Neo 1.6 CPS – WUF5182

What do you think?

8 points
Upvote Downvote

Total votes: 8

Upvotes: 8

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

One Comment

Leave a Reply

Leave a Reply

Nak Pilih Chatime Atau Tealive?

Syaitan Di Bulan Ramadan