in ,

Kenapa Kementerian Kewangan Pula Perlu Bayarkan Hutang 1MDB?

Gambar: Free Malaysia Today

Hari tu aku ada tulis tentang hutang 1MDB, berapa banyak dan bila tarikh matang untuk dilunaskan. Ini baru hutang yang bayar prinsipal, bukan faedah.

Itu pun ada orang cakap, aset 1MDB lebih banyak dari hutang. Maknanya kalau 1MDB bermasalah nak bayar hutang, boleh jual aset untuk langsaikan hutang.

Jual aset bayar hutang ni memang kerja mudah. Tapi kalau dah kerja mudah, lebih baik awal-awal kita tak perlu tubuhkan 1MDB ni. Walhal aset yang dimiliki 1MDB (dibeli dengan menggunakan duit pinjaman) fungsi wahidnya adalah untuk menjana pendapatan buat 1MDB.

Ringkasnya, benda ini sekarang macam kau buat pinjaman untuk beli tanah dan kemudian selepas 5 tahun kau jual balik tanah tu untuk bayar hutang pinjaman tadi. Tetapi dalam tempoh 5 tahun itu juga kau terpaksa bayar kadar faedah atas pinjaman tadi.

Ini kerja bangang. Dan ini bukanlah tujuan utama 1MDB ditubuhkan selaku ‘syarikat pembangunan strategik ekonomi negara untuk jangka masa panjang, dengan mendapatkan kerjasama antarabangsa dan menggalakkan pelaburan asing’. Makna kata, 1MDB ini sepatutnya menjadi agensi yang membangunkan ekonomi negara dan mengumpul dana untuk kegunaan negara di masa hadapan, khususnya bila telaga minyak kita sudah kering kontang suatu hari nanti.

Tapi semalam, kita dikhabarkan oleh Menteri Kewangan baru yang berbangsa Cina dan kerap dimomokkan UMNO bahawa selama ini rupa-rupanya Kementerian Kewangan ‘tolong’ bayarkan hutang 1MDB sejak dari 2017 hinggalah sekarang dengan jumlah hampir RM7 bilion (RM7,000,000,000 untuk rakyat biasa yang tak biasa dengan bilion).

RM7 bilion ini tuan puan, kalau kita bajetkan kembali mungkin cukup untuk membina lebih 200 buah sekolah atau mungkin 50 buah hospital. RM7 bilion ini juga sebenarnya menyamai jumlah kutipan GST untuk 2 bulan atau harga untuk 28,000 unit rumah PR1MA. Ya, bukan kecil anak tentang apa yang kerajaan boleh buat dengan duit sebanyak ini.

Tapi hakikat yang berlaku, RM7 bilion ini lebur untuk membayar hutang 1MDB. Padahal duit RM7 bilion ini bukannya duit Najib, duit Arul Kanda atau duit Barisan Nasional. Duit RM7 bilion ini datang dari cukai pendapatan kita semua, dari GST yang dikutip setiap hari, dari cukai syarikat tempat kita cari makan dan lain-lain lagi. Ini adalah duit kita yang dikutip kerajaan dan diletak di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan.

Tapi, habis untuk 1MDB.

Kalau pun kita tak percaya hal penyelewengan 1MDB macam yang dilapor oleh Department Of Justice (DOJ), tak percaya apa yang Pengarah SPRM gebang semalam dalam sidang media dan masih nak percaya Najib dapat derma RM2.6 bilion dari putera Arab entah mana; sekurang-kurangnya kita berfikirlah secara bijak dan rasional untuk renung balik, kenapa Kementerian Kewangan perlu bayarkan hutang 1MDB kalau fungsi wahid penubuhan 1MDB itu tadi adalah untuk mencari pelaburan dan menambah dana Kementerian Kewangan?

“Aku harapkan kau cari duit untuk aku, tapi sudahnya aku kena bayarkan hutang kau.”

Mana duit pinjaman atau jualan aset 1MDB, atau pelan rasionalisasi yang digebang Arul Kanda sebagai berjaya? Berjaya apa kalau dari tahun 2017 hinggalah sampai yang terkini iaitu 11 Mei (ya, dua hari lepas PRU 14) rupa-rupanya Kementerian Kewangan senyap-senyap tolong basuhkan berak 1MDB?

Dan kita hanya boleh bayangkan, kalaulah BN yang menang PRU 14 hari tu dan bentuk kerajaan Persekutuan untuk lagi 5 tahun, entah berapa banyak lagi duit Kementerian Kewangan (baca sebagai duit rakyat) akan digunakan untuk langsai hutang 1MDB. Lagi RM35 bilion kah?

Selepas membaca kenyataan dari Menteri Kewangan baru yang berbangsa Cina dan kerap dimomokkan UMNO semalam, otak aku pun terlintas satu perkara.

Dulu-dulu, masa aku jadi penjawat awam antara kerja aku di agensi berkaitan adalah memproses permohonan syarikat untuk mendapatkan pengecualian cukai.

Malaysia ini negara perdagangan dan kita banyak menarik pelaburan secara domestik atau asing. Salah satu kaedah negara kita hendak menarik pelaburan ialah dengan menawarkan ‘tax holiday’ kepada syarikat yang membuka operasi di Malaysia. Kau buka kilang untuk beroperasi di Malaysia dan selama 5 tahun dikecualikan dari bayar cukai syarikat oleh kerajaan.

Tapi, ada masanya Kementerian Kewangan agak keberatan untuk memberikan ‘tax holiday’ sebegini, atas alasan perlu mengutip cukai. Sampai kadangkala aku pun terfikir, negara kita mahu menggalakkan pelaburan atau tidak sebenarnya?

Dan bila dikenang balik RM7 bilion yang lebur untuk melangsaikan hutang 1MDB, aku rasa jawapannya ada di situ. Ya, mungkin pegawai Kementerian Kewangan sendiri berpeluh dahi mencari duit sebab nak ganti balik duit yang lesap ke 1MDB tadi. Nak tak nak, kena kutip lebih banyak cukai, baik cukai pendapatan individu, cukai syarikat atau pun GST.

Kita ni sebenarnya, orang putih panggil ‘close escape’. Kalau PH tak menang PRU 14 hari tu, tobat lahum kita tak akan tahu menahu pun tentang RM7 bilion ini dan terpaksa terima bulat-bulat je yang RM2.6 bilion tu duit derma.

Sakitnya tuh di sini!

Muhammad Najib

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Imelda Marcos Sang Mentor

Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera Atau Reformasi Pendidikan Menyeluruh?