,

Kenapa Kau Perlu Tonton Filem Dr. Strange Sebelum Berakhirnya Tahun 2016

Nak tahu cerita ini macam mana, pergi tonton sendiri. Filem ini memenangi anugerah Filem Hollywood dari sudut visual dan grafiknya. Lakonan Benedict Cumberbatch tak pernah mengecewakan. Tapi, aku terkesima dengan falsafah dalam filem ini.
.

Banyak elemen falsafah itu dihuraikan oleh guru Dr. Strange yang digelar sebaga The Ancient One. Aku tak dapat garap banyak benda. Tapi inilah serba sedikit apa yang aku ingat.
.

1. Teori Multiverse

The Ancient One ada memberitahu bahawa alam ini berdiri dalam banyak dimensi. Aku tak pasti sama ada konsep dimensi ini dibincangkan dalam lapangan falsafah, tetapi dalam fizik ada. Teori Multiverse diusulkan sebagai salah satu kesan yang dihasilkan oleh sifat dunia Kuantum, yang menyatakan, apabila kita mempunyai pilihan, realiti baru akan lahir. Tetapi apa yang kita lihat, cumalah realiti yang kita pilih. Kalau kita sedang memilih antara dua pakaian (biru atau merah), pakaian yang kita pilih (biru contohnya) adalah realiti yang kita lihat, tetapi pakaian yang kita tak pilih (merah) akan melahirkan relaiti yang lain. Realiti lain memaparkan kehidupan kita apabila memilih baju merah.
.

Selain itu, teori multiverse ini juga dikaitkan dengan dunia Hilbert (disaskan oleh David Hilbert) yang mempunyai tahap dimensi yang tak terbatas seperti yang disebutkan oleh The Ancient One. Maksudnya, alam dan realiti kita ini adalah salah satu dari lapisan dimensi yang tak terbatas banyaknya.
.

2. Satah Jelmaan (Astral Plane)

Astral Plane adalah salah satu daripada dimensi daripada banyak dimensi yang disebutkan dalam Teori Multiverse. Astral Plane maksud mudahnya adalah alam roh dan alam malaikat. Dalam ajaran Islam, para Nabi adalah manusia yang mampu memasuki alam ini. Dikatakan manusia biasa juga mampu memasuki alam ini melalui beberapa pengalaman seperti pengalaman hampir mati, koma dan Lucid dream.
.

3. Spinozian monism.

Dalam filem ini, The Ancient One menyatakan realiti kita adalah sebahagian daripada kuasa mistik realiti yang tak terbatas, dan sebab musabab datang daripada kuasa itu. Sebenarnya aku kaitkan ini dengan konsep Tuhan yang difahami oleh Spinoza yang menyatakan, tiada yang wujud di dunia ini melainkan satu Entiti. Entiti itu adalah Tuhan dan segala realiti yang wujud adalah hasil daripada ekspresi dan sifat Tuhan tersebut.
.

Sifat Ketunggalan dalam dimensi Gelap yang diketengahkan dalam filem ini juga boleh dikaitkan dengan Tuhan Spinoza. Spinoza berpendapat tahap berfikir untuk memperoleh ilmu mempunyai beberapa tahap. Tahap tertinggi adalah ‘penyatuan’ manusia itu dengan Tuhan. Disebabkan realiti yang didefinisikan dalam filem ini adalah hasil daripada persepsi minda, maka menurut watak antagonis, realiti dunia Gelap adalah tahap persepsi minda tertinggi yang menuju pada ‘penyatuan’ dan keabadian.
.

Konsep ‘penyatuan’ yang diketengahkan oleh Spinoza tidak sama dengan wahdatul wujud. Disebabkan Spinoza anggap manusia sebahagian daripada Tuhan, maka asalnya mansia itu memang bersatu dengan Tuhan. Jadi, penyatuan di sini lebih pada ‘penyatuan kefahaman dan ilmu’.

.

4. Cartesian Dualism.

Dualism yang diketengahkan oleh Descartes adalah bertentangan dengan pelbagai fahaman monism, dan dualism ini pernah dikritik oleh Spinoza sendiri. Konsep Cartesian Dualism adalah mudah, iaitu minda dan fizikal sebagai dua hal yang berbeza. Minda boleh wujud secara bebas tanpa badan fizikal.
.

Okey, sebenarnya konsep minda Descartes lebih dekat dengan apa yang kita faham dengan roh. Disebabkan filem ini memahami roh sebagai konsep kesedaran dan minda, jadi aku kaitkan ia dengan konsep Descartes. Perjalanan Descartes mencari realiti yang sebenar membuatkan aku berpendapat Descartes mungkin tak pernah anggap badan fizikalnya sebagai realiti, tetapi ilusi kecuali mindanya sendiri.
.

Mungkin akan bertentangan dengan kita yang kita rasa badan fizikal kita lebih realiti daripada minda, tetapi berlaku sebaliknya pada diri Descartes sendiri.
.

5. Konsep Masa

Aku tertarik dengan ayat Kaecilius dalam filem, “Kita adalah hamba pada masa.”

Apabila aku mahu terangkan konsep masa pada orang awam, aku akan ambil cawan dan letakkan apa-apa dalam cawan itu. Analoginya, cawan itu masa, dan barang dalam cawan itu adalah segala yang wujud termasuk kita. Apabila dikaitkan dengan konsep kehidupan abadi, ya, masa adalah penghalang utama untuk menuju ke arah itu. Kaecilius mahu keluar daripada ‘perhambaan’ masa itu.
.

Kita tidak boleh bayangkan apa akan berlakunya sekiranya kita hidup tanpa masa. Kita tak boleh bergerak, kita tak boleh melihat, kita tak boleh mendengar. Konsep masa bergerak ini pun perlu dipersoalkan lagi. Kalau ia bergerak, ia bergerak relatif dengan apa? Semua objek bergerak relatif dengan masa (m/s), kalau masa bergerak relatif dengan apa? (hour/hour)? hour per second? Apa dia.
.

Konsep masa dalam filem ini bermain dengan mematahkan Hukum Kedua Thermodynamics yang menyatakan setiap objek akan menuju pada kehancuran. Dan proses ini tak mampu berpatah balik. Biasalah, nama pun magik.

.

6. Mysticism

Idea dasar mysticism adalah amalan penyatuan dengan Tuhan ataupun menjadi ‘Absolute’. Seperti konsep wahdatul wujud contohnya. Boleh baca kisah Hussein al-Hallaj.

Matlamat Kaecilius dalam filem ini adah untuk bersatu dengan Tunggal dan mencapai kehidupan abadi. Selari dengan aliran mistik yang diamalkannya. Tetapi aliran mistik yang dipelopori oleh The Ancient One melarang matlamat ke arah penyatuan ini kerana ia sebenarnya menuju pada kesengsaraan. ‘Tunggal’ yang dimaksudkan dalam filem ini, adakah ia Dormamu atau entiti lain, masih tidak jelas. Tetapi Domarmu sendiri pernah bertarung dengan Supreme Sorcerer, yang mungkin Domarmu bukanlah entiti ‘Tunggal’ untuk mencapai penyatuan sebenar dalam mysticism.
.

Tetapi, mungkin, agak kontradiksi bagi aliran mistik The Ancient One yang melarang sebuah penyatuan kekal abadi sedangkan ia adalah dasar paling asas dalam aliran mistik.

.
7. Utilitarianism

Dalam filem ini The Ancient One mengambil kuasa daripada Dimensi Kegelapan untuk hidup lama. Walaupun amalan ini dilarang dalam ajarannya sendiri, dia amalkannya untuk memastikan hukum alam dan manusia berada dalam keadaan teratur.

Piawaian moral sebegini dipanggil sebagai utilitarianism yang dipopularkan oleh Jeremy Bentham. Utilitarianism menyatakan, apa saja tindakan dianggap baik dan betul apabila keputusannya memberikan kebaikan pada majoriti manusia.
.

8. Deontologism

Dalam filem ini, Mordo tidak bersetuju dengan tindakan gurunya, The Ancient One yang mengambil kuasa kegelapan untuk membenarkan tindakannya. Tidak kiralah apa niat gurunya itu, ia tetap bertentangan dengan ajarannya.

Walaupun piawaian mordo agak sedikit jauh daripada deontologism yang diasaskan oleh Immanuel Kant, tapi ia mempunyai persamaan iaitu matlamat dan hasil keputusan tidak menghalalkan cara. Tindakan yang salah tetap salah walaupun hasilnya memberikan kebaikan pada semua.
.

9. Bebas Pengetahuan

Kita biasa tonton atau baca mana-mana cerita, akan ada sebuah atau beberapa buah buku yang dilarang untuk membacanya kerana kesannya yang signifikan pada pembaca. Malah, dalam dunia realiti pun, banyak buku-buku kena banned sebab takut kesannya apabila dibaca.
.

Aku tertarik sebenarnya dengan budaya dalam filem ini apabila melibatkan pengetahuan. Di Kamar-Taj, tempat Dr. Strange belajar kuasa mistik, mempunyai perpustakaan yang memuatkan buku-buku pelbagai pengetahuan mistik. Watak Wong pernah membawa Dr. Strange di satu bahagian perpustakaan itu yang memuatkan buku-buku penting dan berkuasa.

Dr. Strange meminta kebenaran sama ada buku-buku ini dilarang atau tidak untuk membacanya. Wong menjawab, “Tiada ilmu terlarang di sini, melainkan sebahagian amalannya.”
.

Maksudnya, penuntut-penuntu di Karam Taj mengetahui pelbagai ilmu mistik termasuk ilmu yang terlarang. Tetapi mengetahui ilmu terlarang tidak bermaksud mereka boleh amalkannya. Ia hanyalah sekadar pengetahuan kepada mereka.

Hal ini boleh dikaitkan dengan buku-buku yang selalu kena banned. Sepatutnya ia perlu dibudayakan untuk kita mengetahui apa saja pengetahuan supaya kita lebih terbuka dan kritis. Kenapalah sesetenga Muslim takut Muslim yang lain membaca Bible. Takut akidahnya tergugat. Baca Quran pun, kadangkala belum betul Islamnya.
.

10. Keegoan

Dr. Strange seorang yang doktor perubatan yang dia rasa dia tahu segala perkara. Maka, ia membuatkan dia menjadi ego. Ketika hadir ke Karam Taj, Dr. Strange diajar supaya, “Janganlah kamu rasa kamu tahu apa yang sebenarnya kamu tak tahu.”

Secara umumnya, ia memberikan satu pengajaran, tidak semua orang tahu semua perkara. Keduanya, tidak semestinya apa yang kita tahu berkenaan suatu perkara menunjukkan pengetahuan kita itu benar tentang suatu perkara itu. Di sinilah munculnya perbezaan hasil daripada pengalaman dan pembacaan yang berbeza-beza.

 

Zamir Mohyedin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *