,

Kemunduran Generasi Kini Bermula Dari Kesilapan Generasi Terdahulu

Generasi meminta-minta, serba-serbi kekurangan yang menyebabkan mereka dipandang hina boleh jadi berpunca daripada sejarah kegagalan nenek-moyang untuk memberi – ketika sedang ada.

Contohnya, tamadun Islam yang pernah berada di puncak menyebabkan warganya menjadi bongkak. Dan itulah adalah satu sebab mengapa akhirnya semua kegemilangannya terjerumus di lembah paling bawah.

Tamim Ansary dalam bukunya “Sejarah Dunia Dari Sudut Pandang Islam” [(JS Adiwarna. 2014) terjemahan daripada buku “Destiny Disrupted : A History of the World Through Islamic Eyes”] dalam bab Malapetaka telah menceritakan di muka surat 224-225 seperti berikut;

“Penziarah Kristian mulai mendapati diri mereka diperlakukan dengan agak sembarangan di Tanah Suci. Mereka bukannya dipukul, diseksa ataupun dibunuh – tidak seperti itu. Tetapi mereka terus-menerus mengalami sedikit penghinaan dan gangguan yang dilakukan bagi membuatkan mereka berasa seperti golongan kelas kedua.

Mereka mendapati diri mereka berada pada hujung setiap barisan. Mereka memerlukan kebenaran khas bagi masuk ke tempat suci mereka sendiri. Setiap perkara kecil menuntut bayaran; peniaga tidak mempedulikan mereka; pihak berkuasa memperlakukan mereka dengan kasar; dan segala macam penghinaan kecil dilontarkan kepada mereka.”

Seterusnya,

“Apabila mereka pulang ke Eropah, mereka menyumpah dan berkeluh-kesah.Tetapi pada masa yang sama, mereka juga mengagumi kemewahan negeri Timur;”

Diceritakan pada zaman itu, penganut Islam tinggal di kediaman mewah. Setiap hari berwangi-wangian, berbusana sutera dan satin yang indah. Makanan lazat-lazat kerna beroleh ‘lesen besar’ berdagang rempah. Dengan segala kenikmatan bak syurga ini, kesyukuran pada awalnya telah tersasar sedikit demi sedikit, tidak lagi dihayati generasi bawah-bawah.

Sikap itu menanamkan rasa tidak puas hati oleh pelawat-pelawat dari Eropah. Iri hati. Benci. Warga-warga kaya, sudah berhenti memberi.

Generasi ke bawah yang tidak merasa susah membina tamadun, sudah merasa mulia. Merasa yakin ke syurga.

Itulah punca jatuhnya. Kerana berhenti memberi. Maka warga-warga yang suatu ketika dipandang mulia, generasi yang keseterusnya sehingga hari ini pun masih tidak terpaut apa dahan untuk mendaki semula. Masih dihina-hina.

Di Nusantara, Wali Songo – sejarah dakwah mereka tidak bermula dengan merasa diri lebih mulia hanya kerana mempercayai Tuhan yang Esa. Tidak. Dalam buku “Perjuangan Wali Songo Dalam Dakwah Islam” [(Pustaka Syuhada, Kuala Lumpur. 2008) terjemahan daripada buku “Biografi & Lagenda Wali Sanga Dan Para Ulama Penerus Perjuangannya” (Penerbit Indah, Surabaya. 1999)] – diterangkan bahawa wali-wali ini ‘memperkenalkan diri’ sebagai seorang pemberi. Lantas menjadikan mereka terlebih dahulu adalah ahli masyarakat yang berfungsi.

Perkara ini menjadikan masyarakat tidak ragu-ragu memberi seluruh hati untuk turut mempercayai kepercayaan yang sama. Kejayaan proses dakwah dengan perbuatan – yakni memberi.

Penganut Islam hari ini yang tidak lagi dipandang mulia bukan semata-mata kerana takdir akhir zaman telah menuliskannya sebegitu rupa. Tapi disumbangkan oleh sikap diri sendiri juga. Setiap bala, setiap malapekataka yang berlaku, sentiasa saja ada bahagian besar disumbangkan oleh manusia. Sentiasa.

Bila bertemu perbezaan, sibuk menghentam. Laju menghukum. Bongkaknya bukan setakat yakin sangat diri sudah peroleh tempat di syurga. Bahkan sudah ke tahap mahu jadi Tuhan pula. Perangai meninggi diri sehingga lalai memberi (ketika masih ada) menyebabkan akhirnya generasi penganut di hari kemudian (yakni hari ini) berada di kedudukan begitu rendah. Mundur. Baik dari segi minda dan harta benda.

Sedang pegangan Islam, jika difahami dalam-dalam akan tahulah bahawa kehinaan yang ditimpakan ke atas umatnya di dunia – salah satunya, ketidakupayaan memberi kerana tidak memiliki apa-apa, semuanya itu bukan saja melibatkan kemunduran dalam lingkungan umatnya semata-mata. Bahkan memberi kesan kepada seisi dunia.

Buku terjemahan “Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam” oleh Abul Hassan Ali Al-Hasany An-Nadwy (Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura. 1984) telah menuliskan sebagai contoh;

“Di saat kita menyaksikan orang berpakaian mewah, makan minum secara berlebihan, kita akan jumpai orang-orang desa (badwi) yang tak berhasil mendapatkan makanan berhari-hari, berpakaian compang-camping yang menutup badan kurus-kering. Sedang orang-orang kaya Arab dan penguasa-penguasa mereka berkeliaran bersenang-senang dengan mobil-mobil model terbaru yang mengkilap.”

Juga ditulis,

“Kemewahan dan kelaparan masih hidup berdampingan di dalam sebuah kota. Hal yang demikian itu menjadi lahan yang amat ampuh dan subur untuk berkembangnya paham komunisme, timbulnya pemberontakan-pemberontakan dan revolusi yang tak dapat dibendung.”

Memberi, tidak pernah menjadikan kita rugi. Tetapi dek penyakit cintakan dunia dan takutkan mati telah memunculkan golongan yang gagal memberi. Dan penyakit ini akan berlanjutan tahapnya (seperti kanser) daripada tidak memberi, kepada kesanggupan untuk merampas kepunyaan orang lain – untuk diri sendiri.

Jika ketidakupayaan memberi ketika sedang ada pun (hakikatnya) sudah menjadikan manusia itu hina, apakah pula taraf kehinaan bagi yang mengambil hak-hak orang lain dengan sengaja?

Maka yang perlu diperbaiki kini adalah akar-akar, untuk disuntik dos-dos pemberi. Agar pohonnya, buahnya, dan benih-benih seterusnya di masa hadapan menghasilkan kemuliaan kepada seisi manusia dan diterima Tuhan.

Pekerjaan (atau perjuangan) memperbaiki akar ini bukanlah semudah hari ini buat, esok terus berhasil. Tentulah tidak. Ia pekerjaan yang lama. Paling kurang dua zaman. Penuh liku dan banyak tentangan pula. Tapi tidak mengapa, mulakan saja – hari ini.

Kalau kita tidak dapat menyudahkannya, anak-anak akan menyambungnya. Jika belum hasilnya ditemui anak-anak, cucu-cucu nanti pasti akan turut serta. Kerna kelak yang diperhitungkan Tuhan bukannya semata-mata keberhasilan – tetapi niat dan usaha.

 

Naziatul Azrin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca 4 Buku Seminggu Untuk Tulis 11 Manuskrip Setahun

Siapa Kata Jual Char Kuey Teow Di Jalanan Tak Boleh Kaya-Raya?