in ,

Kau Rasa Beli Insurans Untuk Travel Tak Berguna?

Hampir setahun yang lepas, ketika kami sekeluarga berada di Luxembourg, dalam perhentian untuk pulang ke Belanda, isteriku telah demam. Sakit-sakit badan, mungkin kerana terlalu lama berada dalam kereta mengharung perjalanan merentas 7 buah negara.

Tanpa bekalan ubat, cuma yang aku ada ialah ubat migraine yang memang khusus untuk aku yang alahan pelbagai jenis ubat ini. Aku berikan sebiji Celebrex dengan tujuan meredakan segala rasa tidak sedap badan. Ia memang berkesan untuk aku kebiasaannya tetapi sebaliknya berlaku kepada isteri aku.

Jam 2.15 pagi dia terjaga dan muntah-muntah. Ini ada anak kecil umur setahun empat bulan yang masih menyusu badan, aku berdoa semoga tidak berjangkit. Aku berlari turun ke Concierge untuk mendapatkan bantuan.

Mujur ia berlaku di Luxembourg dan bukan ketika kami di Sarajevo dua tahun yang lepas, jika tidak mungkin skrip drama ini agak berbeza. Paramedik dan ambulans datang dalam masa 10 minit. Lengkap macam nak menyelamatkan mangsa peperangan. Malangnya cuma seorang yang dibenarkan bersama dengan isteri aku di dalam ambulans.  Okay, anak perempuan yang sulung pergi menemankan ibunya. Semoga anak berusia 12 tahun itu mampu membantu.

Di sinilah drama sebenar bermula yang membuatkan aku terdetik untuk berkongsi kisah ini.

Lama sebelum perjalanan itu bermula, aku sudah menyiapkan diri dengan insurans, khusus untuk tempoh pengembaraan selama sebulan tersebut. Aku juga menyelidik segala jenis perkhidmatan yang boleh diberikan International SOS ketika kecemasan, perlindungan korporat yang dibiayai oleh syarikat aku bekerja.

Kami bukan penduduk yang dilindungi oleh insurans kesihatan di Luxembourg, maka kami mesti membayar untuk perkhidmatan kesihatan yang diiktiraf antara yang terbaik di Eropah itu. Ia percuma untuk warganya, tapi untuk aku, perjalanan ambulans isteriku dari Hotel Novetel di Rue de Labortaire ke Hospital Kirchberg yang cuma sekitar 7 kilometer itu kosnya ialah 135 Euro.  Itu belum dicampur dengan kos rawatan dan konsultasi doktor yang keseluruhannya menelan belanja sekitar 500 Euro. 

Doktor kemudiannya akan memberikan kau perskripsi ubat, pandai-pandai sendirilah pergi mencari farmasi untuk membeli ubat. Kosnya sekitar 50 Euro. Tapi jauh di sudut hati aku bersyukur kerana aku membeli insurans perjalanan.

Nah! Sekarang berapa ramai kalangan kamu yang terfikir pentingnya insurans ketika kamu acah-acah mengembara secara berjimat RM400, RM500 ke seluruh dunia dan kemudian artikelnya kamu viralkan untuk keseronokan orang lain?

Begini aku mulakan, ramai kalangan kamu tidak dapat membezakan travel insurans yang dijaja oleh syarikat tambang murah itu dengan insurans untuk perlindungan sepanjang pengembaraan. Insurans yang datang sekali dengan tiket kapal terbang itu akan melindungi perjalanan kau sahaja, dengan kapal terbang. Kalau kau mengembara kemudiannya naik basikal dan terjatuh dalam sungai. Insurans itu tidak akan lagi berharga.

Kalau kapal terbang yang kau naik hilang di Lautan Hindi, kau ada insurans perjalanan yang kau beli sekali dengan tiket, maka dapatlah waris kau merasa duit pampasannya. Tapi kalau kau naik kapal terbang murah, turun di Kochi kemudian kau naik beca dan beca kau terbalik lalu kau masuk hospital maka insurans kau tadi tidak lagi laku. Kecuali kalau kau bijak dan menambah untuk perlindungan tambahan yang lain, tapi percayalah ia tidak komprehensif.

Kau ada kad Takaful? Ejen Takaful kau paling power dalam Asia Tenggara? Percayalah kad Takaful kau hanya laku dalam negara yang menyanyikan lagu kebangsaannya yang diciplak sahaja, tempat lain ia tidak akan laku. Apa kau gila nak tunjuk kad medical Takaful kau di hospital di Milan? Dengan harapan nanti ejen Takaful kau akan berusaha menghantar GL ke hospital tersebut dan kau boleh senang lenang nak ambil bilik siap dengan sofa bed. Jangan mimpi, boy!

Sebelum kau mengembara jauh, pastikan kau mempunyai insurans perjalanan yang melindungi kau semasa berada di semua titik-titik negara yang sudah kau tanda dalam peta untuk dijelajahi. Pastikan insurans yang kau beli itu juga membiayai kos rawatan perubatan kau sekali. Lagi bagus jika kau mati ketika acah-acah mengembara berjimat RM400 selama sebulan ke Sri Lanka, insurans kau boleh terbangkan waris kau datang ke sana menguruskan untuk membawa mayat kau balik ke negara Malaysia yang tercinta.

Ada banyak insurans yang memberikan perlindungan yang komprehensif seperti aku sebutkan tadi sepanjang kau berada di negara orang. Kalau kau menyewa kereta, pastikan kau tambah lagi perlindungan insurans kau untuk melindungi kereta, orang kat dalam kereta, juga perjanjian menyewa kereta itu sendiri. Tidak rugi untuk kau membayar lebih, andai berlaku sesuatu pasti kau tidak akan menyesal. Aku sudah pernah menasihatkan seorang kawan pasal insurans ketika menyewa kereta ini dan dia patuh. Dijanjikan Tuhan dia terlibat kemalangan dan aku orang pertama yang dihubungi, syukur katanya mendengar nasihat, satu sen pun dia tidak keluar duit.

Untuk yang mahu ke Eropah, ada banyak perlindungan insurans yang kau boleh dapatkan, walaupun harganya sedikit mahal. Ada insurans untuk perlindungan di dalam Schengen, dan ada yang meliputi seluruh Eropah. Segala kos perubatan kau, ambulans, ubat dan hotel untuk famili kau tidur sementara menunggu kau sakit juga akan ditanggung. Jangan kau berangan nak cari hospital yang ada sofa bed macam yang ejen takaful kau janjikan. Di Eropah famili menunggu di hotel.

Tujuan aku berkongsi bukan untuk menafikan janji insurans yang diberikan oleh syarikat tambang murah kau itu, cuma kau tidak akan dilindungi secara komprehensif. Setakat beg kau hilang, dalam ada pakaian dan barang yang berharga ribuan ringgit, kau cuma akan dapat pampasan maksima sekitar USD250 sahaja nanti. Flight kau delay, silap-silap kau kena keluar duit lagi untuk beli tiket baru, sebab itu semua kau tak pilih untuk dilindungi sekali ketika membeli insurans. Lagi pun kau cuba berjimat untuk acah-acah mengembara dengan kos RM400 ke Zimbabwe selama sebulan.

Ingat, jangan berjimat dalam bab perlindungan insurans ini. Aku melihat trend anak muda hari ini ialah mengembara sebanyak mungkin, tapi ilmu tentang insurans dan perlindungan semasa pengembaraan itu tiada. Sebab itulah kita dengar macam-macam cerita tentang memohon bantuan untuk rawatan perubatan kerana digigit anjing di Thailand, bantuan untuk evakuasi kerana lumpuh di Slovenia dan sebagainya untuk mereka yang berada di luar negara mengembara.

Itu belum campur lagi dengan beberapa percubaan untuk menggunakan kad medical Takaful di hospital di Jerman. Jangan buat hal boy! Beli insurans perjalanan betul-betul dan jangan bikin malu negara Malaysia di tempat orang, kita sudah cukup berat menanggung malu.

Zulhazry Mohd Yusoff

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kisah Seorang Tua Penjual Kasut Di Buenos Aires Yang Namanya Diabadikan Pada Kasut Adidas

30 Tahun Seniman Masih Melawan