in

Kau Fikir Senang Nak Cabut Gigi?

 

[1]
Seorang budak kecil berumur 8 tahun masuk ke bilik surgeri ditemani bapanya. Anak ini mengadu sakit gigi dan susah untuk makan. Dari sekilas pandang, sklera pada matanya yang sepatutnya berwarna putih, dan seluruh anggota tubuhnya kekuningan.

Apabila ditanya lebih lanjut, anak ini menghidapi penyakit hati dan limpa yang besar (hepatomegaly, splenomegaly) menyebabkan jumlah sel darah merahnya berkurang. Untuk dicabut gigi, anak ini perlu menjalani pemindahan darah. Selepas dimasukkan ke wad dan dimasukkan darah, jumlahnya masih lagi di bawah paras normal. Pesakit segera dirujuk ke Pakar Haematologi yang dua jam jauhnya dan satu lagi pint darah dimasukkan. Rupa-rupanya pesakit sudah lama tidak hadir temujanji dengan doktor pakar berhubung penyakit darah, hati dan limpanya itu kerana masalah pengangkutan.

Pelbagai lagi masalah lain menyebabkan cabutan gigi tertangguh selama dua minggu.

[2]
Seorang pakcik berusia lingkungan 40-an disahkan injap pada jantungnya bocor (mitral valve prolapse). Kebanyakan giginya sudah tinggal akar sahaja. Mahu dicabut dan dibuat gigi palsu. Setelah dinilai, gigi akan dicabut dalam empat sesi.

Kerana masalah jantungnya itu, giginya itu tidak boleh dicabut begitu sahaja. Dia perlu makan 8 biji antibiotic untuk mengelakkan jangkitan pada jantungnya. Cabutan hanya dilakukan selepas satu jam memakan kesemua ubat tersebut. Empat sesi empat kalilah pakcik perlu melalui perkara sama.

[3]
Seorang remaja tersengih-sengih menguak pintu. Ibunya menuntun dari belakang. Apabila ditanya tentang masalah giginya, dia sambung tersengih. Tidak dijawab. Ibunya kelihatan terbongkok-bongkok berdiri di sebelah. Wanita tua itu mahu doktor gigi turutkan sahaja kehendak anaknya itu mencabut gigi tetapi selesai diperiksa, gigi semuanya tidak ada masalah.

Soalan lebih lanjut rupanya remaja ini mempunyai masalah mental. Dia mahu mencabut gigi kerana adiknya ada mencabut gigi. Sudah. Pening jadinya. Menurut ibunya, lebih baik ditunaikan sahaja permintaan untuk mencabut gigi itu kerana ibunya itu diterajang ketika di rumah apabila wanita tua itu tidak mahu membawanya ke klinik gigi. Patutlah terbongkok-bongkok wanita ini.

[4]
Seorang pakcik berjanggut dan berkopiah mahu mencabut gigi kerana giginya itu sudah bergoyang. Apabila diteliti, giginya itu memang bergoyang disebabkan gusi di sekeliling gigi tersebut bengkak dan kemerahan. Risau kerana keadaan bengkak yang di luar kebiasaan, sampel diambil.

Rupa-rupanya ia adalah kanser. Pemeriksaan mikroskopik mengesahkan kanser sudah berada pada tahap 3 dan pembedahan dijadualkan dengan segera.

[5]
Selesai pembedahan jantung dua bulan lepas, makcik perlu makan warfarin untuk mengelakkan pembekuan darah. Makcik mahu cabut gigi tetapi perlu ke makmal dahulu untuk diambil darah kerana mahu memeriksa bacaan INR.

Jika tinggi, tandanya darah makcik cair, tidak boleh cabut gigi dikhuatiri darah sukar berhenti selepas mencabut gigi. Walaupun bacaan INR di bawah paras baik, kena ambil langkah berhati-hati juga. Luka cabutan perlu dijahit untuk mengelakkan sebarang komplikasi pendarahan.

Bacaan INR baik, luka pun dah dijahit, ada juga berlaku pendarahan tidak berhenti selepas 24 jam. Makcik segera dimasukkan ke wad untuk dipantau dos warfarinnya pula.

[6]
Selesai sesi dialisis pagi tadi, makcik merancang untuk mencabut gigi, alang-alang sudah berada di hospital. Tanpa berlengah terus sahaja makcik mengajak anak sulungnya ke klinik gigi pula.

Apabila diperiksa, memang ada gigi makcik yang perlu dicabut. Tetapi makcik baru sahaja dialisis tadi pagi. Tak boleh cabut juga. Semasa sesi dialysis, heparin telah diberikan. Jadi makcik kena pulang dahulu. Datang semula untuk mencabut gigi pada hari bukan hari dialysis.

“Susah sangat ke nak cabut gigi ni?” “Banyak betul soalan tanya sebelum nak cabut gigi ni dah kenapa?”

 

Iqbal Rosali

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Mereka Mempercayai Saya, Saya Tidak Patut Hidup Di Atas Nyawa Rakan-Rakan

Imam Mahdi Pernah Muncul Di Mekah?