Karakter-Karakter Yang Selalu Kau Jumpa Dalam Group Whatsapp

Tak ada benda pun nak re-cap tahun 2016 sebenarnya. Cuma aku nak kongsi hal-hal Whatsapp dekat sini, lebih tepat lagi karakter-karakter ahli group yang kadang-kadang memang macam gampang yang ada di dalam group Whatsapp kita. Tak banyak pun mesti ada satu atau dua jenis karakter yang wujud dalam group Whatsapp korang macam yang aku senaraikan di bawah.

Aku boleh hidup tanpa Whatsapp. Sebab aku bukanlah jenis mat gajet atau mat teknologi macam hang. Sikit-sikit sembang tentang telefon baru, sikit-sikit sembang tentang pelan mana yang lagi bagus; Celcom atau Maxis? Tak pun, Yes?

Walaupun selalu disindir kawan-kawan satu ketika dahulu sebab tak ada smartphone dan Whatsapp, aku mampu aja teruskan hidup macam orang lain juga. kehidupan aku okay aja, tak ada pula ditimpa bencana. Tapi payahlah, bila mesej kawan ajak minum, kawan tak mahu balas sebab katanya susahlah mesej melalui sms ni; padahal macamlah aku tak tahu dia nak main Whatsapp pun menagih simpati wifi percuma kedai mamak belakang rumah. Susah konon!

Di bawah adalah karakter-karakter ahli group yang selalu menambat hati aku. Hang tambahlah sendiri senarai karakter kalau ada yang aku terlepas pandang.

1. Jenis pasif. Dah nak masuk tahun baru esok, ada jenis rakan group yang tak pernah sembang atau ambil bahagian sembang bohong dalam group. Jenis ni aku perasan yang selalu clear chat sebab malas nak baca, malas nak skroll dan senang cerita malas bersosial. Konon sibuk dengan kerjalah sampaikan nak balas mesej ringkas pun loghat nak taip. Punyalah pasif, kadang-kadang kita sendiri terpacul kekejutan, “laaa, matyeh ada rupanya dalam group ini (itupun selepas bertahun, baru perasan dia ada rupanya dalam group.)

2. Jenis hati tisu. Sikit-sikit left group. Lepas itu satu hal pula budak-budak group suruh admin pergi slowtalk, pujuk mamat yang left group itu. Sekali left tak apalah nak pujuk, ini dah beratus kali left, beratus kali jugalah si admin nak kena invite balik. Punca left group ini boleh jadi macam-macam. Boleh jadi sebab bertengkar hal politik ataupun jenis spesis tak boleh terima lawak kasar rakan lain ataupun jenis alim; tak suka bersubahat dengan budak-budak group yang bukan main sembang lagha 24 jam dalam group. Tapi yang paling syahdu dalam kes aku, ada yang jenis sebelum left group karang ayat macam tulis wasiat, mintak ampunlah, puji memuji lepas itu bagi alasan Whatsapp berat kemudian dia keluar dari group terus.

3. Jenis suka bertengkar hal politik/bangsa. Dalam banyak-banyak kes, aku paling geram sekali budak group yang macam ini. Bukannya pasal apa pun, kadang-kadang pasal beli roti Gardenia dengan roti Massimo pun boleh jadi kerja. Konon nasionalislah, tak pun Malay Power. Ada juga jenis fanatisme, baik dari UMNO ataupun geng pembangkang. Mula dengan satu isu, tapi lepas bila perang taip berlangsung, mesti ada budak group lain yang asyik menyelit dengan mesej bajet kelakar, konon nak seimbangkankan perbincangan. Akhirnya, perbincangan politik habis setakat itu sahaja. Tak pernah langsung capai kata putus. Tunggu lagi dua bulan, mereka akan bergaduh lagi benda yang sama. Begitulah kitarannya sampai berbunyinya tiupan sangkakala.

4. Jenis pendamai. Yang ini selalu ada bila tengah perang debat. Orang lain tengah tegakkan hujah masing-masing, tiba-tiba ada seorang hantar mesej berbau damai; selalu ayatnya akan berbunyi lebih kurang macam ini, “kita kan semua dah berkawan lama, sejak sekolah rendah lagi, tak perlulah pasal politik kita bergaduh teruk-teruk.” Potong terus!

5. Jenis suka copy-paste. Salah satu spesis gampang yang paling aku meluat. Spesis inilah yang suka baca mesej panjang gila kemudian dengan rasa bertanggungjawabnya sebarkan dalam group. Macam-macam cerita mereka kongsikan. Cerita kedai kicap tak halal, kedai sayur fucuk campur babi, hal rezeki berkat walaupun gaji seribu sebulan dan sampailah kisah kahwin dua atau tiga semuanya geng ini tapau. Bila kita tanya kesahihan cerita yang mereka, dengan tenang mereka cakap, “kita copy-paste dari group sebelah aja.” Dah bila masa aku gajikan hang untuk copy-paste cerita panjang macam jahanam dekat group hari-hari?

6. Jenis bajet alim. Inilah karakter yang selalu akan hantar mesej berunsur agama, hantar nasihat, hantar hadith atau hantar pesanan ketua penjaga kunci Kaabah dekat kita. Terpaksalah pula kita baca sebab kalau kita tak baca habis lepas itu delete, kita pula yang berdosa. Ironinya, geng ini jugalah yang mengada-ngada hantar mesej lawak malam Jumaat. Ada hari, mereka hantar mesej gambar perempuan tak pakai baju. Konon-konon nak melawaklah. Macam haram juga perangai mereka ini, tapi kita sabar ajalah banyak-banyak. Nak buang dari group tak sampai hati pula.

7. Jenis suka minta ampun. Asal masuk tahun baru, Maal Hijrah ataupun hari Jumaat terakhir dalam bulan/tahun itu, kawan kita jenis ini suka mengarang ayat-ayat sedih dicampur perasaan terharu nak mintak maaf. Hairan betul, mintak maaf apa yang bersungguh sangat ini? Banyak sungguh dosa hang dekat aku, kan?

8. Jenis tahi mengumpat. Ini selalunya terjadi dalam kalangan group budak pejabat. Asalnya tujuan group dibuat katanya senang nak bercakap hal kerja. Sehari dua memanglah mesej pasal hal nak siapkan kerja pejabat, masuk seminggu mulalah bergosip hal bos perangai setan, hal budak pejabat malas piang, mulalah meluahkan perasaan macam dia seorang sahaja buat kerja, yang lain goyang kaki. Itu tak betul, ini tak kena. Aku pun tersesat juga dalam group ini sejak dah ada Whatsapp. Aku minta sangat nasihat daripada hang macam mana nak keluar dari group macam ini? Bosan betul!

Setakat lapan karakter sajalah aku tulis. Kesemua karakter yang aku tulis ni semuanya berjaya menyerabutkan jiwa aku, nasib baiklah iman sedikit yang aku ada ini berjaya membuatkan aku terus bersabar dan tersenyum menerima mesej-mesej yang macam gampang ini.

Boleh bagitahu aku, yang mana satu karakter hang?

Hadri Shah

Leave a Reply