in ,

Jika Tidak Mampu Mengheret Mereka Mendekati Masjid, Jangan Pula Menjauhkan

Orang kita suka menyindir.

“Asal bulan puasa, kau sampai masjid nak solat terawih. Bulan lain tak nampak batang hidung pun. Apa bulan puasa sahaja laluan ke masjid jadi terang benderang?”

Orang kita suka mengecam.

“Asal datang masjid mesti selfie. Lepas tu muat naik kat muka buku dengan hashtag ‘done terawih’. Kau datang ke masjid nak buat ibadah ke nak menunjuk-nunjuk kat muka buku? Tak ikhlas langsung!”

Orang kita suka memandang serong.

“Duit dah sesaklah tu baru tunjuk muka datang nak berbuka kat masjid. Kalau poket tengah tebal, muka kau hanya nampak kat restoran mewah sahaja.”

Orang kita suka menjadi tuhan.

“Baik tak payah datang masjid solat terawih kalau siang hari kau duduk lagho dengan Facebook dan Instagram. Baik tak payah datang masjid bulan puasa kalau bulan lain aurat pun kau tak tutup.

Baik tak payah datang masjid setakat nak tunjuk alim di bulan Ramadhan sahaja. Sia-sia je semua tu. Hilang semua pahala. Penat je kau dapat.”

Maka masjid yang awalnya mulai meriah dengan anak muda makin lama makin sepi. Makin lama makin dijauhi.

Anak-anak muda yang baru nak mendekat sudah disindir-sindir.

Si pendosa yang baru hendak memula taubat, sudah dipandang serong.

Seorang manusia yang cuba untuk menjadi hamba, dikecam-kecam.

Tawar hati mereka untuk meneruskan. Hancur semangat yang baru sahaja ditanam.

Mereka berbuat jahat dikecam, mereka ingin berubah pun kena kecam juga. Kadang yang menyindir itu kopiahnya tidak lekang dikepala. Kadang yang memandang serong itu, labuh tudungnya.

Jika pun ada perbuatan anak muda itu kurang elok, sapalah dengan lembut. Tegur dengan santun. Bukan dengan sindiran hingga melukakan.

Jika tidak mampu mengheret mereka mendekati masjid, jangan pula menjauhkan. Jangan!

Mohd Fadli Salleh

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kenapa Kita Kekurangan Pakar Wanita?

“Nabi Dulu Lagi Teruk Kena, Tak Ada Pun Kena Depression”