in ,

Jawab 5 Soalan Ini Sebelum Kau Tekad Terjun Ke Dunia Bisnes

Gambar : http://www.playgroundmag.net

Ali Messe merupakan seorang pegawai di salah sebuah daripada tiga syarikat konsultan strategi global terbaik. Dia baru-baru ni berkongsi satu kisah menarik di page Medium, bagaimana hidup dia berubah daripada berkecimpung dalam dunia korporat kepada seorang usahawan.

Satu SMS diterima di Blacberry, “Esok, jam 5 pagi. Kapal terbang AZ610, dari Rome ke New York.” Menandakan ke mana dan siapa kliennya sepanjang minggu.

Kerjayanya sebagai seorang konsultan memang sangat sibuk dan huru-hara. Dia sudah hilang segalanya, kecuali helaian-helaian Excel untuk klien. Dia tak sangka, kehidupan mewah yang dicanang-canang orang dulu, dengan sekeping ijazah hebat dari sebuah kolej terkenal, akhirnya jadi macam ni.

Selepas melelapkan mata beberapa jam, Ali bangun dan bersiap. Seorang drebar peribadi datang ambil di rumahnya dan hantar ke lapangan terbang Rome Fumicino. Tiket pula business class, atas ihsan syarikat mewahnya.

Sampainya ke New York, Ali dilayan baik. Menginap di sebuah hotel 5 bintang. Berehat sekejap, dan terus ke pejabat kliennya untuk urusan kerja. Berapakah gaji yang dibayar kepada Ali dapat untuk semua ni? Mewah, sangat mewah. Syarikat ini sendiri terkenal sebagai salah satu organisasi yang membayar staf mereka dengan mahal.

Satu hari, Ali mula berfikir. Ada perkara yang tak kena dengan hidupnya sebagai seorang konsultan. Dia dah tak mampu tahan dengan tekanan gaya kerja mewah. Dia capai telefon dan bercakap dengan kedua ibu bapanya,

“Saya nak berhenti kerja, saya nak mula bina startup saya sendiri”. Macam kena serangan jantung mak dia dengar. Siapa tak terkejut, anak nak berhenti kerja gaji banyak dan stabil kan.

Ali pujuk lagi.

“Mak, saya benci kerja ni. Semua konsultan pura-pura gembira, macam hari-hari ambil pil gembira. Apa yang syarikat pernah janji dulu, semua tak dapat pun. Saya cuma dapat tidur 3 ke 4 jam saja sehari.

Duduk hotel 5 bintang, namun tak dapat nak rasa mewahnya. Sebab kena kerja 20 jam sehari. Sarapan, makan tengah hari, makan malam yang mewah-mewah tak sempat pun nak jamah betul-betul.

Dapat tiket business class pun, setiap masa dalam perjalanan saya asyik tengok kertas. Gaji yang dapat setiap bulan mahal, nak habiskan pun tak dapat.

Saya benci dengan hidup saya sekarang, mak. Saya rasa macam seorang loser. Nak berjumpa dengan makwe pun tak sempat. Saya dah nekad, dah tak mahu pura-pura lagi, saya nak mula perniagaan sendiri.”

Selepas hari itu, Ali letakkan jawatan dan bermulalah fasa baru dalam hidupnya sebagai seorang ahli perniagaan. Hari-hari mak dia telefon, “Jadi, macam mana bisnes? Dah banyak duit?”

Ali dah tak tahu macam mana nak bagitahu mak dia yang perniagaan ni bukannya boleh berkembang dalam masa sehari.

Bila Ali beritahu rakan-rakanya yang dia sudah letakkan jawatan, sebahagian kecil daripadanya dah mula menjarakkan diri. Mungkin sebab rakan-rakan dia rasa ada yang tak kena dengan Ali ni. Kerja gaji besar pun boleh berhenti.

Walaupun masih ramai yang menyokong keputusannya, Ali merasakan ada perkara yang tak kena. Dia sudah mula kurang melepak dengan kawan-kawan. Mereka pula kerap bertanya, “Macam mana startup Ali? Dah boleh ganti Zurkenberg? Nanti mesti banyak yang nak laburkan duit kan?” Dan Ali tak ada jawapan.

Ali tahu, berniaga ni perlukan masa yang lama. Kalaulah dilayan soalan-soalan macam ni, dia akan tertekan. Maka, dia ambil jalan untuk tak ambil peduli langsung tentang orang lain.

Hari demi hari, Ali makin kesunyian.

Dia dah tak libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sosial, melepak dengan rakan-rakan. Dia rasa tak selesa bila orang asyik tanya bila nak berjaya, bila nak kaya. Ali cuma senang bila dapat melepak dengan kawan-kawan bisnes saja. Dia setuju yang hanya usahawan yang memahami usahawan.

Selepas tekanan sekeliling dan kesunyian, Ali terpaksa pula mengadap dengan masalah yang paling besar sebagai seorang startup; kehabisan wang dengan cepat. Lebih cepat daripada apa yang dia pernah bayangkan.

Masalah ini, bagi Ali, kurangkan produktiviti dan menyebabkan banyak keputusan salah dibuat. Mana taknya, dia dah tertekan untuk berjaya dan cepat-cepat buat duit banyak-banyak.

Hari ni, setelah dua tahun dipenuhi drama, Ali dah boleh relaks. Dia bukan lagi jutawan. Namun, startupnya dah mula berkembang dan Ali ada cukup wang untuk mengembara ke seluruh dunia sambil bekerja, asalkan ada Wifi.

Bagi Ali, ada lima persoalan yang seorang usahawan perlu tanya kepada diri sendiri sebelum bertekad untuk mula.

Pertama, adakah anda bersedia untuk menerima tekanan sosial?

Tekanan memuncak lebih-lebih lagi jika keluarga anda bukanlah daripada latar belakang bisnes. Ali seorang yang sangat ambil berat tentang apa yang orang sekeliling fikirkan tentangnya hingga merosakkan hidup sendiri.

Kalau anda jenis yang peduli tentang apa yang orang lain fikirkan, anda cuma menghabiskan masa membuktikan anda berjaya. Hinggakan anda tak fokus untuk bina perniagaan sendiri.

Kedua, adakah anda single atau mempunyai pasangan yang sangat menyokong?

Ali beritahu, dia bertuah sebab ada seorang teman wanita yang sangat menyokong apa yang dia buat. Dia dah nampak banyak rakannya yang ditinggalkan pasangan masing-masing kerana tak ada masa untuk diluangkan bersama.

Dalam otak seorang usahawan, ada berjuta perkara bermain. Sampai tak sempat nak baut satu-satu, dan percayalah, pasangan anda sendiri pun tak akan mampu untuk memahami apa yang ada di dalamnya.

Ketiga, adakah wang simpanan anda mencukupi untuk jangka masa setahun? Cukup?

Okay, bahagikan dengan tiga. Sebab anda akan terasa duit mengalir dari poket dengan sangat cepat. Sangat banyak kos tersembunyi sepanjang nak bina perniagaan baru.

Bersedia untuk sewa rumah yang lebih kecil, bajet makan terpaksa kurangkan, hinggalah terpaksa guna wang siling. Padahal, selama makan gaji sebelumnya, perkara-perkara macam ni anda tak pernah fikirkan pun.

Sebulan dua sebelum kehabisan duit, anda akan dapat rasakan tekanan yang sangat memuncak. Otak asyik fikirkan tentang duit, duit, duit dan macam nak hidup bulan depan. Hinggakan tak dapat tidur malam dan air mata mengalir tanpa kita sedar. Kejayaan akan datang dengan perlahan – wang akan keluar dengan cepatnya. Jadi, kena ada perancangan yang sangat rapi.

Keempat, dah bersedia untuk tidur cuma beberapa jam sehari?

Masa Ali meletakkan jawatan, dia rasakan yang sudah tiba masanya untuk bekerja bila-bila masa yang dia nak. Hinggalah dia terjumpa satu quote daripada Lori Greiner, “Seorang usahawan perlu bersedia bekerja 80 jam seminggu untuk elakkan bekerja 40 jam seminggu.”

Pada awalnya, anda akan bangun pada tengah malam kerana tiba-tiba mendapat idea dan tak mahu tunggu hingga siang. Buka laptop dan buat kerja. Sampaikan pada satu tahap, anda terlalu banyak idea nak dibuat dan masa macam tak pernah mencukupi. Maka, anda pun masuklah tidur lewat dan jadi tak boleh lelapkan mata. Anda dah tak dapat tidur yang lena seperti dulu.

Maka, dalam seminggu anda akan dapati ada dua, tiga hari yang tidak produktif, kesan daripada tidur tak berkualiti. Elakkan terpedaya dengan cerita-cerita startup dibeli dengan harga berjuta-juta. Di belakangnya bermacam-macam cerita penat jerih, air mata, tak tidur malam, ditolak berkali-kali. Jalan kejayaan sangat-sangat panjang dan berliku.

Persoalan kelima dan terakhir adalah bagaimana anda definisikan makna kejayaan?

Ada orang yang letakkan wang sebagai nombor satu. Ada pula yang letakkan keseimbangan hidup dan kerja sebagai keutamaan.

Susah payah perjalanan bisnes anda bergantung kepada definisi ini. Jika wang yang banyak serta puji-pujian daripada orang sekeliling yang anda harapkan, maka perjalanan ini akan menjadi panjang dan sangat sukar.

Usahawan yang berjaya bukanlah mereka yang berjaya dapat kumpul wang berbilion-bilion. Usah lupa, mereka cumalah satu dalam sejuta. Terdapat ribuan usahawan yang dah berjaya bangunkan startup mereka masing-masing, namun tidak disensasikan dalam portal-portal popoular teknologi.

Tak kisahlah betapa ranjaupun perjalanan bisnes anda hari ni, nikmatilah dan terus buat apa yang anda minat. Mengambil kata-kata daripada Tony Gaskin, “Jika anda tidak realisasikan apa yang anda mimpi, satu hari akan muncul seseorang yang membayar anda untuk lakukan kerja tersebut.”

Zulhilmi Daud

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Anak Muda Bangkit Dari Abu

Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Satu