, ,

Israel Terbakar. Ujian Atau Bala?

Kau rasa kenapa Nabi halang sahabat-sahabat dari rosakkan tumbuhan, masuk rumah ibadat dan serang kanak-kanak, wanita dan orang tua masa berperang?

Lepas tamat perang Badar, Nabi saw tanya pada Sayyidina Umar dan Abu Bakr. Apa yang perlu mereka buat kat tawanan ni?

Umar suruh penggal je kepala depa. Standard-lah, Umar kan memang garang? Tapi Abu Bakr, dia bagi cadangan lain. Dia suruh maafkan dan minta mereka bayar fidyah.

Kemudian turunlah ayat Al Quran, Surah Al Anfal (67-68) mengatakan yang tak boleh seseorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia melumpuhkan musuhnya. Maknanya cadangan Umar diterimalah berbanding cadangan Abu Bakr. Bahkan cadangan Abu Bakr tu Allah sebutkan pula seolah-olah mengharapkan harta duniawi (fidyah).

Baik, Rasullullah ni kita kenal Baginda sebagai orang yang sangat penyayang, lembut hati, baik dan tak balas kejahatan orang lain. Tapi bila masuk bab tawanan perang, lain pulak yang Allah perintahkan Baginda.

Waktu tu kan perang Badar. Perang pertama selepas Islam berkembang di Madinah. Siapa yang pergi bertarung kat perang Badar ni?

Nabi dan sahabat-sahabat berlawan dengan pemuka-pemuka musyrikin Mekah. Otai-otai ni, bukan anak ikan, tahu?

Sebab itu tak pelik bila Allah perintahkan untuk bunuh mereka. Sebab depa ni otai, kalau kita bunuh depa, kecutlah orang bawahan yang lain. Dan depa nilah yang gila-gila menentang Islam sampai nak bunuh Nabi, pulau-sekat ekonomi Nabi dan sahabat waktu di Mekah. Setimpallah dengan apa yang mereka pernah buat.

Nabi bertegas kat tempat jenis ni, dan Nabi berlembut kat tempat jenis tu. Nabi tak berhukum dengan perkara yang sama sebab keadaannya berbeza-beza.

Aku tak pernah setuju dan sangat marah bila saudara Rohingya kita diserang, dibunuh, dirogol dan dibuat macam-macam lagi. Bahkan kerap kali aku bacakan qunut nazilah sebab itu je cara aku mampu nak buat pembunuhan tu dihentikan. Memang layak kita doa qunut nazilah, doakan kehancuran orang yang zalimi saudara kita, bahkan doakan yang bukan saudara pun tak salah. Selagi mana mereka tu dizalimi, Muslim atau tidak.

Isu Israel ditimpa kebakaran masiv ni, kau ingat suka-suka ke kita boleh doakan dan amin amin amin?

Yang serang Palestin tu ialah askar Israel dan kerajaan dia yang tahlah bila nak sedar tu. Bukan semua penduduk Israel sokong tindakan tu, bukan semua Yahudi sokong kezaliman atas Palestin. Kau pun boleh check sendiri hal ni.

Bila Allah laknat Yahudi dan Nasrani, kau kena tengok dalam keadaan dan sebab apa Allah laknat? Sebab sikap mereka. Tapi, bukan semuanya begitu. Allah sebut dalam surah Al Maidah (80) : kami melihat kebanyakan dari mereka tolong-menolong dengan orang kafir. Kau tengoklah uslub apa Allah guna ni? Kebanyakan bermaksud bukan semua. Bahkan bila mereka buat hal barulah kita boleh hukum.

Hukum melaknat Yahudi ni memang dibolehkan. Ulama dah berbincang. Ada 2 keadaan, nak laknat secara umum, atau laknat kepada individu tertentu yang diketahui kejahatannya.

Cuma kau juga kena tahu dan ingat. Allah suruh kita berlaku adil. Janganlah kebencian kita kepada sesuatu kaum mendorong kita berlaku tidak adil kepada mereka. Dalam Surah Al Maidah (8).

Yang serang Palestin tu, askar dan gomen dia. Rakyat dia, ada yang sokong dan ada yang tidak. Untuk rakyat yang tak sokong dan tak mampu buat apa-apa ni, kita nak doakan kehancuran jugak ke? Entah-entah rumah mereka yang terbakar banyak dalam api besar tu.

Ada anak kecik, ada orang tua, ada wanita. Mereka ni terlibat sekali ke dalam menzalimi orang Palestin?

Hikmah soalan aku yang memula tu inilah. Nabi tak bagi serang golongan-golongan ni sebab depa tak terlibat dalam perseteruan tu.

Yang kita dok salahkan semua Yahudi ni kenapa? Kita bersorak, suka tengok budak kecik tak berdosa terbakar, pun kenapa? Dan kenapalah kita mampu hukum seolah-olah kita tahu apa yang ada dalam hati setiap Yahudi ni?

Ya, kita doakan kehancuran tapi hanya untuk yang menzalimi orang lain. Askar dan pemimpin dia yang memang terlibat dengan pembantaian Palestin. Laknat Allah untuk mereka. Begitu juga mereka yang terlibat dalam pembantaian saudara kita di Rohingya. Dan pastilah, doa pelepasan dari kezaliman buat seluruh manusia, Muslim atau tidak mereka itu, yang dizalimi orang samada Muslim atau bukan Muslim.

Kita tak pernah setuju dengan kezaliman dan ke atas kita untuk berlaku adil dalam berhukum. Berhukum hanya pada orang yang salah dan terlibat. Lepaskan mereka yang tak terlibat. Berhenti dari berlaku tidak adil. Islam agama yang adil, agama yang meletakkan sesuatu sesuai di tempatnya.

Aina Wafi Ab Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *