in ,

Inilah Namanya Kebebasan

“Jom. Panas terik ni,” saya pelawa dia masuk kereta setelah kedua ibu bapanya beredar.
“Saya orang pertama ke yang cikgu tolong?” Beliau bertanya sambil melangkah masuk ke dalam kereta.

“Tak, bro. Kau pelajar ke-9. Tapi result paling power setakat ni ialah kau.” Sengaja saya gunakan aku dan kau supaya dia tak rasa kekok. Saya dan Shah Alam memang bermusuhan sejak dulu. Walhal dekat betul pasar raya tu, berpusing juga bergaduh dengan GPS. Beliau kelihatan gelisah sebab cuaca panas.

“Tanggalkanlah tali leher tu, panas kot.” Sampai di pasar raya, kami terus tuju ke kedai gambar.

“Gambar passport ya,” saya beritahu pekedai. Sementara menunggu gambar dicetak, saya kerling ke pergelangan tangan beliau.

“Tak ada jam tangan?” Dia geleng kepala.

“Tu, gerai jual jam. Pergi tengok.” Beliau kaku.

“Cikgulah pilih.”

“Tak apa, kau yang nak pakai. Kau pilihlah sendiri. Jam tangan bukan original, harga tak mahal mana pun.” Setelah bayar harga gambar, saya ke gerai jam. Dia pilih jam plastik harga belas ringgit.

“Ini tak tahan lama kot. Kau tak suka G-Shock ke?”

“Suka tapi takut mahal sangat.”

“Yang mana satu kau suka?” Beliau pilih yang warna hitam muka jam besar. Terus dia pakai di pergelangan tangan. “Ini kira hadiah sebab keputusan SPM bagus.” Saya kata padanya. Selesai bayar dan ambil resit.

“Jom makan dulu. Lapar ni. Cikgu tak sempat sarapan. Lunch hour rush. Food court penuh. KFC boleh?” Beliau angguk.

“Kau nak makan apa?”

“Apa-apa je, cikgu.”

Sambil makan, banyaklah saya tanyakan pasal life di dalam Sekolah Henry Gurney.

“Tak ada apa nak buat. TV jarang tengok. Handphone tak ada. Tak boleh keluar. Jadi, hari-hari baca buku je lah. Saya sempat belajar sendiri jahit seluar berdasarkan buku nota jahitan senior yang lama.”

“Bagus betul ya SHG. Ramai yang dapat keputusan SPM yang bagus bagus.”

“Rasa peliklah, cikgu. Boleh keluar masuk. Jalan sana sini.”

“Inilah namanya kebebasan. Hargai ia. Jangan sampai kau hilang kebebasan lagi.” Beliau angguk sambil kunyah ayam goreng. Misi seterusnya. Kelengkapan untuk hidup di asrama.

“Pergi ambil troli sana. Ok, kau ada pensel, pen dan segala alat tulis?”

“Tak ada.”

“Ok, pilihlah mana pen kau suka.” Beliau kaku. Kuis kuis plastik berisi pelbagai jenama pen. ”Ambil je mana yang berkenan.” Beliau ambil sepeket pen berisi 4 batang pen pelbagai warna. “Ambil sepeket lagi. Nanti tak payah beli lagi.” Selesai alat tulis, alatan mandi pula. Baldi, bekas sabun dan selimut. Kemudian ke rak sabun mandi, syampu, deodorant.

“Ni, pencukur misai?”

“Tak tahu yang mana satu.”

“Aduh, cikgu pun tak tau. Belum bercadang nak ada misai,” sengih.

“Yang ini mata pisaunya mahal betul.”

“Ambil yang pakai buang dululah. Biskut?”

“Cikgu pilihlah.”

“Mana cikgu tau biskut mana kau suka. Pergi pilih sendiri.”

“Oreolah.” Beliau ambil satu bungkus.

“Ambillah dua bungkus, satu mana cukup. Jajan, gula-gula, coklat?”

“Tak makan.”

“Baguslah kau ni, jaga kesihatan. Hehehe. Ok next baju berkolar. Seluar slack.”

“Tak ada saiz kat sini.”

“Aduh, tak apalah, cari di luar nanti. Kasut sukan?”

“Pun tak ada pilihan.”

“Ok cari lain. Seluar track, tshirt, seluar dalam dah settle?”

“Dah.”

“Jom bayar.” Selesai bayar, singgah Bata beli kasut. Saya singgah ke kedai buku beli suratkhabar dan majalah. Tolak troli ke kereta. Punggah barang dalam kereta. Sementara tunggu enjin panas, saya tanya. “Tadi mak bagi duit berapa ringgit untuk belanja sebulan?”

“Seratus ringgit.”

“Aduh, macam mana nak hidup dengan RM100 saja. Nah. Ini duit untuk beli buku, ini untuk beli barang di koperasi, ini untuk makan sebulan. Bajet RM15 sehari, cukup kan?”

“Uhh, banyaknya.”

“Harga barang dah naik, bro. Ini untuk 3 kali makan. Harap-harap harga makan kat asrama kau tak mahal sangat. Kalau ada lebih, simpanlah. Jaga dompet sentiasa. Nanti dah pandai jalan ke mesin ATM di pasar raya, boleh simpan dalam akaun bank dan keluarkan sikit sikit.” Sampai di asrama, turunkan semua barang. Soalan akhir daripadanya.

“Saya kena dapat berapa pointer, cikgu? Saya tak sure boleh ke dapat 3.5 pointer. Ni semua kena bayar balik kan?”

“Aduh. Aku dulu mula belajar pun tak fikir pasal pointer seawal ini. Haha. Well, ini semua daripada duit zakat yang diberi oleh kawan cikgu. Tak payah bayar balik. Yang penting, belajar. Pasal pointer, nanti kita sembang. Kelas pun belum mula kan?”

“Terima kasih banyak-banyak cikgu. Terima kasih kepada kawan cikgu.” beliau kehabisan kata-kata.

“Sama-sama. Oklah, cikgu nak kena cepat balik KL ni. Ada mesyuarat. Nanti cikgu datang lagi. Sebelum ninja datang, baik cepat gerak.”

Dalam perjalanan pulang, otak saya memproses. Apabila bertahun kebebasan membuat pilihan dan kebebasan untuk ke mana sahaja ditarik, memang akan ambil masa untuk suaikan semula diri kembali ke dalam masyarakat.

Sharifah Sharina Syed As

Projek Iqra’

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Si Pelaku Kita Kasihankan, Si Mangsa Kita Salahkan

Official Emmett I – Stranger Danger