in ,

Ini Adalah 9 Dasar Dalam Ideologi Liberalisme

Liberalisme adalah idea yang terarah sepenuhnya kepada tingkah laku manusia di dunia ini.

Liberalisme tidak mempunyai matlamat utama selain daripada mempertingkatkan kesejahteraan lahiriah dan kebendaan. Jadi fokusnya lebih pada ekonomi dan sosial.

Ia tidak memberikan perhatian secara langsung kepada upaya memenuhi keperluan rohani dan metafizik manusia.

Liberalisme menghasratkan kesejahteraan untuk semua, bukan sekelompok saja.

Berikut merupakan dasar-dasarnya,

1. Hak Milik

Liberalisme mahu semua orang mempunyai hak milik peribadi. Dengan mempunyai hak milik inilah yang membuatkan manusia sejahtera.

Kau akan rasa sejahtera dari segi lahiriahnya apabila mempunyai kereta sendiri, rumah sendiri, baju sendiri dan lain-lain.

2. Kebebasan

Kebebasan di sini bukan bermaksud kau bebas menganut agama apa pun dan agama mana-mana boleh masuk ke dalam masyarakat. Macam aku cakap, liberalism tak kacau bab-bab agama.

Apa yang dimaksudkan kebebasan di sini adalah liberalism mahu semua orang bebas daripada sebarang bentuk perhambaan dan diskriminasi.

Macam awal-awal penubuhan Amerika dulu, walaupun institusi perhambaan dah diruntuhkan, diskriminasi ke atas warga kulit hitam tetap berlaku. Liberalism tak mahu semua ini.

Bagi liberalisme, tenaga kerja yang bebas akan menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi dalam ekonomi. Lantas, menjurus pada kekayaan.

3. Keamanan

Liberalisme menentang sebarang bentuk peperangan dan pertelingkahan. Bagi mereka, hal ini akan menyebabkan keruntuhan kerjasama sosial yang menjana ekonomi.

Masa aku baca buku ini, selain kebebasan, liberalisme sangat menekankan keamanan. Mereka sanggup buat apa saja asalkan keamanan tercapai.

4. Persamaan

Liberalisme bukan nak letakkan agama semuanya sama. Mereka tak nak kacau bab itu.

Liberalisme mahu semua orang dilayan sama rata di bawah undang-undang untuk mengelakkan dendam dan tak puas hati yang boleh memunculkan peperangan dan untuk menjaga keamanan sosial.

Hak istimewa harus dilenyapkan supaya tiada konflik antara masyarakat.

5. Ketidakserataan pendapatan dan kekayaan

Liberalisme mengakui jurang kaya dan miskin memang tak dapat dielakkan. Mereka berhujah kemewahan yang dinikmati oleh orang kaya sebagai satu bentuk keperluan di masa depan.

Kalau mereka, orang mewah ini tiada, kita tidak akan ada kemajuan dalam taraf hidup. Penggunaan mewah berfungsi sebagai pemacu industri untuk memperkenalkan benda-benda baru.

Yang tak boleh, bila orang kaya ini menindas. Bila menindas bermaksud ia menafikan hak orang lain. Menafikan hak adalah hal yang bertentangan dengan liberalism.

6. Tatasusila

Ini adalah perkara asas dalam menjaga tatanan (order) sosial. Liberalisme mahukan semua orang menjaga tingkah laku supaya keamanan sosial tercapai.

Dalam hal institusi, bagi liberalisme, institusi yang bermanfaat untuk masyarakat adalah institusi yang bersusila. Sebaliknya, ia harus dikutuk.

7. Negara dan Kerajaan

Bagi liberalisme, negara adalah institusi paling penting yang menurut mereka merupakan institusi yang mampu mampu menjaga tingkah laku manusia iaitu membangunkan peraturan dan undang-undang.

Paling penting, negara harus memastikan peraturan itu dilaksanakan dengan tegas.

Fungsi negara yang ditetapkan oleh liberalism adalah memberikan perlindungan ke atas hak milik, kebebasan dan keamanan.

8. Demokrasi

Liberalisme agak pessimis dengan sistem demokrasi kerana mereka pessimis dengan kehendak masyarakat.

Liberalisme lebih menginginkan negara diperintah oleh mereka yang benar-benar faham akan keperluan masyarakat berbanding masyarakat yang tak faham keperluan mereka melantik pemimpin.

Bila pemerintah dilantik tanpa jalan demokrasi, penentangan terhadap pemimpin boleh berlaku oleh rakyat. Ini pun hal yang liberalism tak mahu kerana ia menggugat keamanan sosial.

Jadi liberalisme menyeimbangkan antara pemimpin bijak yang dapat bertoleransi dengan keperluan masyarakat.

9. Toleransi

Liberalisme sangat menekankan toleransi. Liberalisme menyeru sikap toleransi terhadap setiap kepercayaan beragama dan metafizik untuk menjaga keamanan sosial.

Bagi mereka, keamanan sosial itu lebih penting daripada segala hal.

Liberalisme menuntut toleransi bahkan terhadap ajaran-ajaran yang tak masuk akal, penyimpangan agama karut dan tahyul bodoh keanakan.

Dalam melawan kebodohan dan tak masuk akal, liberalism menggunakan idea dan fikiran, bukannya kekerasan seperti diskriminasi.

Kesimpulan:

Liberalisme bukan agama, bukan pandangan dunia, bukan parti berkepentingan khusus.

Ia bukan agama kerana tidak menuntut keimanan dan pengabdian. Kerana tiada yang mistik dan dogma mengenainya.

Ia bukan pandangan dunia kerana ia tak cuba menjelaskan alam semesta. Ia juga tak menawarkan sebaran jawapan tentang kewujudan manusia.

Ia bukan parti berkepentingan khusus kerana ia tidak menyediakan sebarang kelebihan khusus pada mana-mana kumpulan.

Liberalisme adalah ideologi tentang kerjasama antara masyarakat dan penetapan idea terhadap tindak-tanduk manusia dalam masyarakat.

Ia cuba memberikan manusia hanya satu perkara, iaitu perkembangan kesejahteraan kebendaan untuk semua orang secara aman tanpa gangguan.

Ini adalah prinsip asal Liberalisme. Liberalism kemudiannya berkembang ke pelbagai aliran seperti Neo-Liberalism, Demokrasi-Liberal, Sosial Liberalisme, dan lain-lain.

Sumber:

Liberalism oleh Ludwig von Mises

Zamir Mohyedin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

5 Penyakit Rare Sehebat Watak X-Men

Tips Orang Bisnes Untuk Berniaga