, ,

Imam Mahdi Pernah Muncul Di Mekah?

Semalam agak heboh dengan berita bahawa seorang telah bertindak nekad untuk cuba membakar kelambu Kaabah di Masjidil Haram. Banyak kawan dan kenalan yang menghubungi kami di sini untuk bertanyakan kebenaran peristiwa tersebut kerana kebetulan kami masih berada di sini.

Secara jujurnya, kami pun tidak tahu menahu ada terjadinya cubaan nekad tersebut. Suasana tampak seperti kebiasaan, tenang dan tidak ada apa-apa pun kekecohan. Setelah tanya kepada Jemaah lain, barulah tahu serba sedikit.

Mengikut beritanya, lelaki berkenaan membuat cubaan tersebut pada hari Isnin pukul 11.30 malam. Dia membawa gasolin dan disimbahkan ke kelambu Kaabah. Namun, nekadnya untuk menyalakan api digagalkan oleh Jemaah lain dan Askari yang mengawal Kaabah.

Lelaki itu dikatakan mengalami masalah mental. Itu sahaja setakat yang kita tahu. Mungkin boleh kita tunggu sedikit masa lagi hinggalah ada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Cubaan nekad di Tanah Haram kali ini serba sedikit mengingatkan kita kepada peristiwa serangan pengganas yang pernah terjadi pada lewat 1979. Aku yakin sebahagian besar daripada rakan aku masih belum pun lahir.

Namun banyak yang tahu mengenai peristiwa ni. Mungkin cerita dariapda mulut ke mulut nenek dan moyang kita, atau topik yang dibincang di kedai-kedai kopi. Kalau kita search di Google pun sangat banyak dah artikel ditulis. Malah ada juga beberapa buku yang diinspirasikan oleh peristiwa dahsyat ni macam The Seige of Mecca (Yaroslav Trofimov) dan The Meccan Rebellion (Thomas Heghammer/Stephen Lacroix).

November 1979, umat Islam seluruh dunia baru saja tamat musim Haji. Masjidil Haram telah diserang dan ditawan. Ketua kepada lebih 500 pengganas lengkap bersenjata ini diberitakan ialah Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al Utaibi.

Ada beberapa kenyataan yang menyebut bahawa Juhaiman ni nekad betul nak tawan Masjidil Haram kerana telah mengiktiraf abang iparnya, Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtan sebagai Imam Mahdi. Malah, dia dakwa yang kesemua Ketua Kerajaan Negara Islam sudah korup dan proksi kepada Barat.

Kenapa dia tak lakukan serangan pada Musim Haji? Lagilah ramai terbusan. 20 November dipilih kerana mengikut ramalan dia, Imam Mahdi akan muncul dan ditabalkan pada tarikh tersebut, iaitu hari pertama tahun 1400 Hijrah.

Serangan nekad yang dilancarkan ni bukan sekadar serangan biasa. Ia telah dirancang dengan rapi berbulan-bulan sebelumnya.

Mereka dah siapkan bunker bawah tanah Masjidil Haram yang menempatkan senjata api, peluru, makanan. Senjata pula dicuri dan diseludup daripada Tentera Pengawal Kebangsaan Arab Saudi. Kalau nak tahu, mudahnya mereka ni seludup sebab kesemua penyerang ini pernah berkhidmat dengan Tentera. Sikit-sikit mereka buat kerja.

Serangan dilakukan ketika betul-betul Imam Besar masa tu, Sheikh Mohamed al-Subayil bersedia nak imamkan solat Subuh. Mereka meluru masuk beramai-ramai ke dalam Masjdil Haram dan terus mengunci kesemua pintu keluar masuk. Rempuhan tu dah membunuh dua Askari yang bertugas.

Sudah mengawal Masjidil Haram, Juhaiman rampas pembesar suara dari Imam dan umumkan bahawa Imam Mahadi sudah muncul di Kota Mekah! Terkejut ribuan Jemaah yang jadi terbusan masa tu. Tak cukup dengan itu, dia juga ada buat permintaan supaya Kerajaan Saudi menghentikan serta merta eksport minyak ke Amerika Syarikat.

Bertindak balas daripada itu, Tentera Kebangsaan Saudi cuba melakukan serangan balas dengan merempuh pintu Masjidil Haram menggunakan kereta kebal. Namun, cubaan itu gagal kerana pintu tu sangatlah kukuh dan kuat. Nak burukkan lagi keadaan, Tentera Juhaiman ada skuad sniper yang bertugas dari atas bumbung dan menara Masjidil Haram. Disebabkan ramai terkorban, Tentera Saudi menghentikan serangan.

Ketika inilah berlakunya percanggahan pendapat antara Majlis Ulama Saudi dengan Tentera. Majlis Ulama menegaskan penggunaan senjata api adalah dilarang sama sekali digunakan di perkaragan Masjidil Haram kerana mencemar kesucian Kaabah. Namun akhirnya mereka sepakat bersetuju bahawa ianya dibenarkan kerana keadaan darurat.

Hampir dua minggu, Tentera Saudi masih gagal melakukan serangan balas ke atas Tentera Juhaiman. Tindakan segera perlu dilakukan. Beribu nyawa terbusan ada di bawah tanah Masjidil Haram. Mereka perlu diselamatkan segera.

Sebagai jalan terakhir, Kerajaan Saudi mendapatkan khidmat sebuah pasukan elit dari Perancis. Kalau di Malaysia, sama tahapnya dengan pasukan Komando. Perancis bersetuju dan mengarahkan 3 pegawai terbaik untuk terbang ke Saudi menjalankan tugas.

Masalahnya kat sini, di Tanah Haram hanya Muslim sahaja yang boleh masuk. Ketiga-tiga pegawai Perancis ni non-Muslim. Maka terpaksalah mereka ini “masuk Islam” sebagai satu syarat menjejakkan kaki ke Tanah Haram.

Apa yang pegawai elit ni buat adalah menebuk lubang-lubang di lantai Masjidil Haram yang berhubung dengan bunker bawah tanah Tentera Juhaiman. Selepas itu, bom tangan dilepaskan.

Peritstiwa serangan nekad dan penawanan Masjidil Haram yang berlanjutan lebih dua minggu dan tamat pada 4 Disember 1979. Mengikut laporan Kerajaan Arab Saudi, sebanyak 127 terbunuh dan 451 tercedera. Namun ada yang percaya angka sebenarnya adalah 255 terbunuh dan 560 tercedera. Ini termasuklah Tentera Kebangsaan Saudi, Tentera Juhaiman, dan Jemaah yang menjadi tebusan.

Juhaiman dan pengikutnya ditangkap dan dijatuhkan hukuman pancung. Abang iparnya yang didakwa sebagai Imam Mahdi telah mati ketika serangan.

Masjilil Haram ketika ini sebenarnya sedang dalam proses naik taraf dan pengubahsuaian. Kontraktor yang bertanggungjawab adalah Syarikat Pembinaan BinLaden. Ayah kepada Osama BinLaden.

Ramai yang tidak menyebelahi Kerajaan Saudi dalam mengatur serangan balas ke atas Tentera Juhaiman. Bagi mereka, adalah lebih baik jika Kerajaan Saudi menurut sahaja permintaan mereka. Malah, ada yang mengutuk penggunaan senjata dan juga letusan peperangan di Masjidil Haram.

Tidak dapat dipastikan jika ada rakyat Malaysia yang terlibat menjadi tebusan ketika serangan ini berlaku. Namun ada seorang rakyat Malaysia yang berada di Tanah Haram ketika peritiwa ini berlaku. Namanya ialah Ustaz Albniali Jaafar dan buat masa sekarang beliau sedang bertugas dengan Tabung Haji.

Di pihak mana pun kita berada dalam situasi ini, pemikiran dan tindakan terlampau ekstrim dan melampau tidak langsung mendatangkan kebaikan. Yang ada cumalah kebinasaan. Bersederhanalah.

Zulhilmi Daud

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kau Fikir Senang Nak Cabut Gigi?

Siapa Kata Susah Nak Keluarkan Duit Tabung Haji?