, ,

Ijazah Lanjutan Dan PhD Roket

Baru-baru ini ada kekecohan mengenai seminar early graduation atau seminar Master PhD R.O.K.E.T.

Bagi sesiapa yang mengikuti pengajian ijazah lanjutan, penerangan di dalam iklan tersebut seperti graduate dalam masa 3-6 bulan itu sebenarnya tidak masuk akal. Mengikut data TimesHigherEducation untuk tahun 2010-2011, 72.9% pelajar PhD mengambil masa sehingga 7 tahun untuk menghabiskan pengajian [1].

Sejujurnya, saya tidak mengetahui modul yang ingin disampaikan di dalam seminar itu dan kenapa mereka berani meletakkan 3-6 bulan untuk menghabiskan PhD. Tetapi saya dapat maklumat, seminar ini katanya cuma mengajar cara untuk menulis thesis dalam masa 3-6 bulan. Jika benar seminar itu sebenarnya adalah cara menghabiskan penulisan thesis dalam masa 3-6 bulan, maka pengiklanan seminar ini adalah terlalu bombastik dan melebih-lebih apabila menulis menghabiskan #MasterPhD dalam masa 3-6 bulan.

Ada sebab kenapa minimum pengajian diwujudkan. Kerana Ijazah Lanjutan bukanlah sekadar atas kertas atau thesis yang dihasilkan. Ianya berkait rapat dengan kemahiran dan pengalaman yang diperolehi ketika belajar di Ijazah Lanjutan. Kertas dan Thesis adalah hasil kerja yang disulami dengan kemahiran dan pengalaman tersebut. Ini terpakai untuk semua bidang daripada sastera hinggalah sains. Mereka perlu melalui proses pengumpulan kesusasteraan atau kajian literatur yang banyak, melaksanakan metodologi dan melakukan perbincangan hasil daripada kajian literatur, dan lain-lain lagi.

Malah, ini belum lagi dicerita mengenai viva voce atau ujian oral yang perlu dilalui selama 2-7 jam dan pemeriksanya adalah pakar dalam bidang kajian PhD itu. Sewaktu saya menjalani latihan di UK, terdapat pelajar yang proses vivanya berlangsung selama 3 hari. Antara kes yang paling tragis saya ketahui, pelajar PhD tersebut mendapat panggilan daripada examiner pada pukul 9 pagi untuk melakukan viva pada pukul 10 pagi pada hari yang sama. Bayangkan student tu masih tidur dengan aman di bilik kolej dan terpaksa bersiap sedia dalam masa 1 jam dan perlu sampai awal ke bilik exam viva itu.
Kenapa Master? Kenapa PhD?

Jika ditanya aku, kenapa aku beriya sangat nak buat Master dan PhD ni?

Aku sentiasa akan jawab. Master dan PhD ini cuma latihan aku untuk menjadi penyelidik yang mapan suatu hari nanti. Aku ada banyak benda yang ingin dilakukan suatu hari nanti dengan mengumpul kemahiran dan pengalaman sewaktu pengajian Ijazah lanjutan ini.

Jadi, adakah graduate awal patut menjadi idaman semua orang?

Sejujurnya soalan ini berbalik kepada kita semua yang menceburkan diri dalam ijazah lanjutan. Untuk apa kau belajar? Untuk ilmu atau untuk KPI?

Jika untuk KPI, sesungguhnya anda di tempat yang salah. Ijazah lanjutan adalah untuk mereka yang mahu bertempur dalam bidang ilmu. Untuk mereka yang mahu terlibat dalam pertembungan dua idea atau pelbagai disiplin. Untuk mereka yang ingin merapatkan jurang pengetahuan dan membawa umat manusia maju kehadapan hari demi hari.

Di Cambridge, ada tempat yang bernama “Little Germany”. Tempat itu dinamakan sempena perdebatan dan perbincangan hasil kerja Martin Luther (German Professor) oleh ahli akademia ketika itu. Hasil perdebatan itu bukan sekadar habis disitu atau jadi air liur sahaja, tetapi itu adalah permulaan reformasi England dan menjadi titik tolak dalam mengubah England dalam setiap sudut [2].

Jadi disini, itulah salah satu aplikasi dalam kemahiran dan pengalaman yang diperlukan dalam perdebatan yang membuahkan hasil. Ya benar, zaman dan demografi berbeza. Tetapi ini adalah contoh yang dimana perdebatan yang berasaskan pengalaman dan kemahiran yang membuahkan hasil. Bukan sekadar debat sana sini, tetapi hasilnya tiada.

Universiti dan Ijazah Lanjutan.

Walaupun sejarah awal Institut pengajian tinggi boleh dikatakan bermula pada zaman purba Yunani, zaman purba Rom, Cina, India, dan semenanjung Arab. Sejarah awal institut pengajian tinggi di negara Uncle Sam pada mulanya ditubuhkan sebagai salah satu cabang gereja. Ianya disemai dengan idea agar pelajarnya diubah dan dibentuk untuk memimpin makna kehidupan dan tujuan kepada orang awam di luar sana. Syarahan yang disyarah di institut pengajian tinggi juga sebenarnya adalah khutbah moden yang lebih meluas dan tidak tertumpu kepada hal ehwal agama sahaja [3].

Signifikasi utama dalam sejarah Ijazah Lanjutan adalah untuk mendapatkan lesen untuk mengajar. Dan perkataan “doctor” berasal daripada perkatan latin, “docere”, yang bermakna “to teach” atau “untuk mengajar”.

Bagi menyemai makna “untuk mengajar”, pengajar perlu mengetahui makna pendidikan. Pendidikan atau dalam bahasa inggerisnya Education berasal daripada perkataan Latin iaitu educo yang membawa maksud “saya mendidik, saya melatih”. Secara hanonimnya ianya berkait rapat dengan e-(dari, daripada), dan duco (saya bimbing, saya memimpin, saya jalankan).

Bagi melatih seseorang, pendidik atau docere atau doctor perlulah dari kalangan seseorang yang berpengalaman dan kemahiran yang tinggi. Kerana itu kebanyakan Ijazah lanjutan memerlukan sekurangnya 2 semester untuk progam sarjana (master), dan 3-4 semester untuk program doktor falsafah.

Namun program Ijazah lanjutan juga berevolusi seiring dengan peredaran zaman. Pelajar Ijazah lanjutan yang telah menamatkan pengajian tidak semestinya menjadi tenaga pengajar atau terikat dengan akademia dan boleh menyumbang tenaga pakar mereka dalam pelbagai profesyen yang lain. Namun tujuan asal Ijazah lanjutan tetap sama. Menghasilkan individu yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Lebih tinggi daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda atau dikenali sebagai “degree” oleh kalangan kita.

Graduate on Time dan Ijazah “Roket”.

Pada awal permulaan pengembaraan saya dalam Ijazah lanjutan,saya juga seperti pelajar yang lain. Berangan-angan untuk grad on time atau lebih cepat daripada yang lain. Namun semua itu berubah apabila saya menyedari saya tidak tahu apa-apa dalam bidang yang saya ceburi ini. Saya ambil masa 6 bulan cuma untuk memahirkan diri dengan teknik penyaduran berasaskan teknik Langmuir-Blodgett (aplikasi dalam industri adalah water coating. Boleh youtube water coating. Bezanya, saya melibatkan saiz mikro dan nano. Saiz nano boleh dianalogikan sebagai sehelai rambut yang dipotong 100*. 1 daripada 100 itu pula dipotong 1000. Itulah kecilnya saiz nano).

Saya bernasib baik apabila penyelidikan dan pembangunan yang saya lakukan mendapat keputusan yang sangat memberansangkan. Saya mencipta 2 teknik baru dan hasilnya keputusan awal eksperimen menghasilkan peningkatan jurang yang tinggi sebanyak 119% daripada bahan tradisional. Supervisor, Prof, dan lecturer yang lain kebanyakan menyuruh saya untuk convert master ke PhD. Dan apabila saya melihat syarat, memang saya layak. Jadi saya memasang azam untuk convert setelah cukup 2 semester.

Kemudian saya telah dihantar ke Cambridge University selama dua bulan untuk menjalani latihan, mempelajari teknik yang baru, dan berkongsi teknik penyelidikan yang saya bangunkan dengan pelajar PhD di sana. Sewaktu saya bergaul bersama mereka, saya merasakan yang saya bagaikan langit dan bumi. Mereka sangat maju dan tinggi pengetahuan berbanding saya. Ada sekali kami berbincang mengenai subjek di luar bidang pelajar tersebut. Dia tidak pernah belajar subjek tersebut sewaktu Ijazah Muda dan peringkat master. 3 hari selepas itu, dia datang kembali dan saya dapati pengetahuan dia dalam subjek itu lebih tinggi daripada saya. Dia mampu menyelami rumus yang ada berbanding dengan saya yang menghafal. Dia mampu menerbitkan semula dan menceritakan proses awal sehingga akhir bagaimana rumus itu dihasilkan.

Jadi saya terfikir. Sekiranya saya dapatkan PhD dalam tempoh yang awal. Bagaimana saya mampu bersaing dengan mereka?

Kerana apabila seseorang itu mendapat PhD atau Master, akan ada satu expectation dan tanggungjawab yang lebih. Waktu itu kita bukan lagi pelajar Ijazah Sarjana muda dan beberapa kesilapan ataupun ketidaktahuan dalam perkara tertentu adalah sesuatu yang absurd atau tidak masuk akal. Sebagai contoh, perkara asas seperti penerbitan rumus yang mudah dan eksploitasi graf seharusnya mereka sudah mahir. Malah, pengetahuan peringkat Ijazah Sarjana Muda sepatutnya sudah dikuasai dan tidak terkial apabila mengaplikasikannya.

Setelah itu saya batalkan niat saya untuk convert dan meneruskan pengajian seperti biasa. Ada yang kata saya rugi masa. Dan ramai sebenarnya ingatkan saya ni pelajar PhD dan bukannya pelajar Master.

Setelah itu, Graduate on Time ataupun Graduate awal bukanlah menjadi kayu ukur saya. Yang menjadi kayu ukur adalah seberapa banyak pengalaman dan kemahiran yang saya perolehi dalam pengajian ijazah lanjutan. Apa signifikasi ataupun perubahan yang saya mampu hasilkan dalam disiplin ilmu yang saya ceburi? Malah, pengalaman dan kemahiran yang saya dapat ini, adakah mampu untuk saya berdiri dengan sendiri dan bersaing dengan rakan-rakan di Cambridge, Oxford, Imperial Collage, dan berbagai lagi Universiti “Ivy League”.

Bagi saya, Master dan PhD bukanlah satu tahap untuk kita menjadi elitis dan menaikkan hirarki kita dalam kalangan orang awam. Pelajar yang digarap dan dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi seharusnya lebih dekat dan memimpin orang awam. Mereka sepatutnya menjadi rujukan dan menjadi golongan yang akan menyelesaikan masalah orang awam. Mereka yang kekal dalam dunia akademia seharusnya menjadi seseorang yang merapatkan jurang pengetahuan untuk manusia sejagat meneroka alam semesta ini.

Graduate 3-6 bulan, atau graduate on time, atau graduate lewat pun tidak bermakna sekiranya kemahiran dan pengalaman yang ada tidak mampu melakukan apa-apa untuk masyarakat. Tidak bermakna sekiranya kemahiran dan pengalaman itu tidak dapat menyelesaikan masalah masyarakat, paling kurang pun, terarah atau berpaksi kepada penyelesaian yang bakal dibangunkan.

Dan yang paling penting PhD dan master itu tidak bermakna sekiranya pengalaman dan kemahiran itu tidak mencukupi untuk anda “docere” (to teach) dan duco (saya bimbing, saya memimpin, saya jalankan) orang lain.

***

Pendidikan atau dalam bahasa Inggerisnya Education berasal daripada perkataan latin iaitu educo yang membawa maksud “saya mendidik, saya melatih”. Secara hanonimnya ianya berkait rapat dengan e-(dari, daripada), dan duco (saya bimbing, saya memimpin, saya jalankan).

Jika mengajar orang lain untuk mengikut diri mereka atau sesuatu ideologi atau fahaman. Ianya dinamakan doktrinisasi.

Kerana itu Imam Syafie menjadi pengasas kepada Mazhab Syafie walaupun berguru dengan Imam Malik yang mengasaskan Mazhab Maliki. Imam Malik membimbing, memimpin, dan melatih Imam Syafie. Bukan mendoktrin Imam Syafie.

***

Muhammad Musoddiq Bin Jaafar,
Pelajar yang sedang mengembara.

Rujukan
[1] Paul Jump, “PhD completion rates”, 2013, available: https://www.timeshighereducation.com/…/phd-…/2006040.article

[2] White Horse Inn, “Why We Call Our Radio Program White Horse Inn”, 2016, available: https://www.whitehorseinn.org/…/why-we-call-our-radio-prog…/

[3] Andrew Delbanco, Professor of Humanities
Columbia University, “Interview in Ivory Tower Documentary”, Ivory Tower, 2014.

Nota kaki:
*Saiz rambut adalah sekitar 17-130 µm. Saya anggarkan saiz rambut sebesar 100 µm.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sampai Bila Lee Chong Wei?

Bini Tak Percaya Aku Dulu Chubby