in ,

Hichki: Kisah Guru Yang Berjiwa Besar

Sekian lama aku peramkan review filem ini. Hari ini aku cuba kongsikan pendapat aku mengenainya.

Filem lakonan Rani Mukherjee ini memaparkan suka duka cabarannya menjadi guru yang dilahirkan dengan sindrom Tourette. Banyak sekolah menolak permohonannya untuk mengajar di sekolah mereka sehinggalah akhirnya dia diterima mengajar di sekolah lamanya sendiri. Sebuah sekolah berprestasi tinggi. Cumanya beliau diberi kelas paling corot yang mempunyai pelbagai masalah.

Miskin. Selekeh. Bodoh. Degil. Nakal. Jahat. Samseng. Kurang ajar. Tiada masa depan.

Antara yang boleh dilihat dalam karekter ahli-ahli kelas ini. Bukan sahaja terpaksa berdepan dengan cabaran pelajar-pelajar sebegitu, diberatkan pula lagi dengan terpaksa mengadap perangai cikgu sekolah yang memperlekehkan usahanya.

Menonton filem ini sangat reflek dengan apa yang aku dan sukarelawan lain gauli saban minggu, saban bulan membawa ke tahun.

Paling dekat ialah dengan pengalaman aku mengikuti pasukan #jombaca menyelusuri sekolah-sekolah, kampung-kampung dan rumah-rumah flat dalam usaha mereka menyelesaikan masalah literasi dikalangan kelompok miskin ini.

Lontarkanlah apa sahaja. Budak tak mahu buka mulut. Budak bergaduh bertumbuk di luar kelas. Bersilang kayu bergaduh kerana sebungkus roti. Yang datang menangis kerana lapar. Yang datang dengan muka comot dan bau hapak. Budak datang dengan kepala stone lepas kena ‘batu’. Yang hingus hijau meleleh tergantung sepi. Berikan. Insya’ Allah sanggup mengadapnya.

Filem ini perihal sindrom Tourette itu di mata aku adalah ilmu baru yang sampingan sahaja. Ibarat tabur bawang goreng di atas makanan. Tapi ada beberapa elemen yang cukup mengesahkan dan dilontarkan ke muka kita yang menonton dengan bagus sekali.

Neeraj Kabi membawakan watak sebagai Mr Wadia, seorang guru gred A mengajar kelas gred A yang dari saat temuduga lagi sudah memperlekehkan Naina, lakonan Rani Mukherjee yang bukan sahaja mengalami kecacatan yang dilihat mustahil untuk mengajar tetapi juga percubaan kepelbagaian teknik mengajar yang di luar skima pengajaran biasa yang cuba Naina terapkan didalam kelas corotnya.

Sikap Mr Wadia ini tanpa dia sedari akhirnya diikuti oleh salah seorang pelajar gred A nya yang juga merupakan pengawas sekolah. Sanggup membuat fitnah dan mencetus perbuatan khianat demi memenuhi hasrat guru yang dia kagumi itu yang mahu pelajar-pelajar kelas corot ini dikeluarkan daripada sekolah berprestij ini.

Pelajar dari latar kaya, bijak, kacak dan semestinya kasta yang baik-baik ini adalah bagai cerminan bagaimana dunia ini melahirkan lapisan pemimpin yang buruk dan busuk.

Pelajar-pelajar kelas corot yang semuanya tinggal di penempatan setinggan yang… tak perlu digambarkanlah. Anda tontonlah sendiri. Mereka melihat dunia ini sudah kiamat sebelum waktunya. Mereka tiada tempat di koridor kejayaan. Maka untuk memberitahu dunia yang mereka ada disini, mereka rebel.

Naina yang cuba dan terus mencuba ialah seorang manusia biasa. Yang sampai satu titik putus asa, dia menangis sambil menghempas tangannya pada pagar tingkap sekolah. Di bucu paling akhir bersedia untuk melupakan usaha yang sia-sia ini, pelajar-pelajarnya datang.

Mereka akhirnya ketemu titik fahaman yang cuba Cikgu Naina sampaikan selama ini hingga berbuih-buih mulutnya. Kalian ada potensi. Kalian ada tempat di dunia ini.

Titik kefahaman ni, tuan-tuan. Nak mencarinya memakan masa dan usaha kerana kita tak tahu di momen mana dalam hidup seorang manusia akhirnya dia nampak jalan terang menyuluh dunianya.

Mengingatkan saya kepada pelajar-pelajar #peluangkedua.

Akhir filem ini, kita disajikan dengan kegembiraan dan kejayaan. Kemenangan buat semua. Penyatuan pelajar-pelajar gred A dan corot di satu pentas yang lebih adil dan saksama.

Sharifah Sharina Syed Aswad

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Wanita Zaman Dulu Berkemban Sahaja?

Jenis Makanan Yang Sudah ‘Expired’ Tetapi Masih Boleh Dimakan