in ,

Eleh, Asyik Staf Gomen Je Dapat Bonus!

Gambar : Gambar : https://www.bacalahmalaysia.com

Baru-baru ini Bajet 2018 telah dibentangkan dan setiap tahun, kita akan mendengar ayat-ayat berikut keluar dari mulut sebahagian rakyat Malaysia:

“Lagi-lagi penjawat awam dapat bonus, bagaimana pula dengan nasib kami pekerja swasta? Bila kerajaan nak bagi bonus?”

ATAU

“Bajet ni orang gomen je yang dapat banyak, orang tak kerja gomen macam kami tak dapat apa pun. Padahal gaji orang gomen tu kami yang bayar guna duit cukai.”

Sedap betul mulut bercakap, padahal tanpa sedar nampak membodohkan diri sendiri.

Nombor satu yang kita kena faham ialah bajet yang dibentangkan setiap tahun ini adalah bajet kerajaan. Ke-ra-ja-an. Jadi kalau anda bukan kerja kerajaan atau orang gomen maka ketahuilah sebahagian besar dari bajet ini tak ada kena mengena dengan anda, tapi masih lagi untuk anda sebenarnya.

Yang kedua, ambil maklum bahawa pada setiap pembentangan bajet ianya akan dimulakan dengan ayat yang berikut:

“Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun XXXX dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.”

Ada dua bahagian dalam ayat ini. Yang pertama menggunakan sejumlah wang dari satu kumpulan wang. Yang kedua pula memperuntukkan wang tadi untuk perkhidmatan.

Satu kumpulan wang dalam bahagian pertama ayat itu merujuk kepada wang hasil kerajaan, terdiri dari:

(1) Hasil cukai; yakni cukai langsung dan tidak langsung. Cukai langsung terdiri dari cukai pendapatan syarikat, individu, petroleum, duti setem dan sebagainya. Cukai tidak langsung pula seperti duti eksport dan import, duti eksais dan tidak dilupakan, GST.

(2) Hasil bukan cukai; yakni lesen dan permit, bayaran perkhidmatan, sewaan, faedah atau denda dan penalti.

(3) Terimaan bukan hasil dan hasil dari Wilayah Persekutuan; yakni pulangan balik perbelanjaan, wang tak dituntut dan sebagainya serta kutipan hasil dari tiga Wilayah Persekutuan dalam bentuk cukai tanah, duti hiburan dan sebagainya.

Ya, duit kau yang bayar cukai tu merupakan sebahagian dari wang hasil kerajaan. Tak dinafikan. Tapi jangan nak perasan kononnya duit kau tu punca hasil utama kerajaan.

Untuk anggaran hasil 2018, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM239.9 bilion. Penyumbang utama adalah cukai pendapatan syarikat sebanyak 30.2% diikuti oleh GST sebanyak 18.3%. Cukai pendapatan individu (yang kau bayar tu lah, itupun lepas segala jenis pelepasan cukai kau gunakan) hanya menyumbang sebanyak 13.4% dari jumlah keseluruhan hasil kerajaan.

Pecahan 13.4% ini bukan dari pekerja swasta semata-mata. Mereka yang bekerja dengan kerajaan juga tidak terkecuali dari dikenakan cukai pendapatan individu. Dan kalau orang kerajaan tu pula memilih skim pencen, dia tidak dapat menikmati pelepasan cukai KWSP (terhad RM6,000) yang boleh dinikmati oleh mana-mana pekerja yang mencarum KWSP, orang swasta khususnya.

Nak kata kau bayarkan gaji orang kerajaan guna GST yang kau sumbang setiap hari? Baik yang kerja swasta, kerajaan atau tak kerja semua kena bayar GST setiap kali beli barang atau guna perkhidmatan. Jadi masih nak perasan gaji orang kerajaan tu orang swasta yang bayar?

Beralik kepada ayat ‘Kumpulan Wang Disatukan’ tadi, bahagian kedua ayat ada menyebut tentang memperuntukkan wang untuk perkhidmatan.

Ya, wang hasil kerajaan yang telah dikutip tadi akhirnya akan digunakan pula untuk perkhidmatan yang sebenarnya merujuk kepada perbelanjaan kerajaan. Dan perbelanjaan kerajaan ini secara mudahnya terbahagi kepada dua jenis:

(1) Perbelanjaan mengurus; yakni wang yang dibelanjakan untuk membayar kos pengurusan dan pentadbiran kerajaan seperti emolumen, pencen, ganjaran, bayaran khidmat hutang dan sebagainya.

(2) Perbelanjaan pembangunan, yakni wang yang dilaburkan oleh kerajaan untuk projek pembangunan ekonomi negara seperti sekolah, hospital, jambatan, infrastruktur lain atau juga untuk tujuan keselamatan seperti aset tentera dan polis.

Lazimnya, perbelanjaan mengurus lebih besar jumlahnya dari perbelanjaan pembangunan. Untuk 2018, RM234.25 bilion atau 83% akan pergi ke perbelanjaan mengurus, manakala selebihnya iaitu RM48 bilion atau 17% untuk perbelanjaan pembangunan. Jumlah keseluruhan anggaran perbelanjaan kerajaan untuk tahun 2018 adalah RM282.25 bilion.

Bonus, yang kau tak puas hati tadi sebab orang kerajaan selalu dapat adalah dari perbelanjaan mengurus. Justifikasi dan hak kerajaan untuk beri bonus pada kakitangan awam ni, janganlah kau pertikaikan. Dah benda tu pun datang dari wang hasil kerajaan (yang kau bayar pun ciput je sebenarnya) dan dah memang wang kerajaan jadi ikut suka kerajaan lah nak guna bayar bonus atau tidak. Dan kau bukannya tak dapat satu sen pun faedah dari bajet tadi. Perbelanjaan mengurus tu tadilah yang guna bayar gaji cikgu sekolah anak kau, di sekolah yang terbina melalui wang perbelanjaan pembangunan.

Dalam hal pemberian bonus kerajaan ini ada banyak sekolah pemikiran dengan pandangan yang berbeza. Kalau zaman Mahathir dulu bonus dilihat sebagai satu cara kerajaan merangsang ekonomi seperti yang didakwahkan dalam teori ekonomi Keynesian. Bila orang kerajaan ada duit lebih, sebahagian duit itu pastinya akan dibelanjakan kembali ke pasaran sekaligus merancakkan ekonomi.

Kalau zaman Najib pula, dia dituduh memberi bonus kerana dah nak pilihanraya. Pak Lah pada bajet 2007 pernah tidak memberikan bonus, dan tindakan itu khabarnya ada membuatkan sesetengah penjawat awam berdendam sampai ke sudah.

Kerajaan tak perlu bertanggungjawab untuk memberi bonus kepada pekerja swasta. Kau bukannya kerja untuk gomen pun.

Bezanya antara bonus kerajaan dan bonus swasta adalah mudah. Bonus kerajaan diumumkan ke segenap pelusuk negara. Laki kerja kerani N17 baru berangan nak tukar tayar baru untuk Perodua Myvi hutang 9 tahun bila dengar dapat bonus, tapi sebab bini dan anak pun tengok pembentangan bajet terus kena paw tudung Ariani atau tiket Legoland. Kau tengok susahnya orang gomen bila dapat bonus.

Tapi bonus swasta diam-diam sahaja. Yang tahu hanya kau, HR, Finance Department dan mungkin bos tempat kau kerja. Balik rumah bini tanya dapat bonus tak bang, kau jawab dapat sebulan je padahal sebenarnya enam.

Dah diam-diam dapat bonus sedap 6 bulan, ada hati pula nak bising tak puas hati kerajaan bayar bonus pada penjawat awam.

Piiirah!

Muhammad Najib,
Bekas orang gomen.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kenapa Tan Sri Shahrir Naik Kelas Ekonomi?

Mari Dengar Cerita Tok Adi Mengenai Lurah Bilut