in ,

Duduk Diam Atau Keluar Dari Panggung Itu!

Sebagai penonton, bagaimana kau menghargai karya seni? Ini saya sediakan beberapa tips.

  1. Jangan bercakap dalam panggung sehingga mengganggu orang lain yang berada di dalam panggung.
  2. Jangan guna telefon. Pastikan telefon kau dalam mod senyap. Kadang-kadang sampai dua tiga kali telefon kau berbunyi di dalam panggung kau biarkan saja tanpa tukar ke mod senyap.
  3. Jangan tangkap gambar. Kalau dibenarkan, berpada-padalah. Orang lain nak tengok juga. Jangan fikir kau ada pangkat Dato’, ada nama, kau rasa kau lagi hebat daripada orang lain yang membolehkan kau untuk tangkap gambar sehingga mengganggu orang lain.
  4. Jika kawan atau saudara kau membuat persembahan, tak payahlah nak panggil-panggil nama dia masa di tengah-tengah persembahan. Kalau kau nak bagitahu mereka yang kau sokong seni yang mereka persembahkan, bawalah hadiah dan bagi sebelum atau selepas persembahan tersebut. Jangan lupa ucapkan tahniah kepada mereka.
  5. Jangan bersorak. Kalau kau nak bersorak sangat kau pergi ke pertandingan Gegar Vaganza atau pergi tengok perlawanan bola di stadium.
  6. Jangan bagi apa-apa komen semasa orang tengah membuat persembahan. Simpan semua komen kau sampai habis persembahan, kemudian barulah kau kemukakan komen itu. Ini tidak, masa di tengah-tengah persembahanlah kau nak singgung siku kawan kau dan memberi komen tentang kostum atau make up orang yang membuat persembahan itu. Kau ni belajar seni, tapi etika menonton tak ada.
  7. Ada persembahan yang memerlukan kau untuk terlibat sekali di dalam persembahan tersebut dan ada yang dipentaskan dengan gaya konvensional. Jika ada persembahan yang memang nak kau sebagai penonton untuk bercakap, masa itu barulah kau bercakap. Jika persembahan itu tidak memerlukan kau untuk bercakap, kau duduk diam-diam dan jadilah penonton.
  8. Jika kau rasa nak sangat bercakap, kau keluar dari panggung dan cakap. Masa ini kau nak bercakap dengan orang, dengan bunga sekalipun, tak ada hal. Sebabnya, ada orang lain yang duduk di belakang kau, di depan kau atau di sebelah kau yang nak fokus kepada cerita di dalam panggung itu. Mereka tak nak dengar pun kau bercakap.
  9. Jumlah komen dan kekuatan suara yang kau berikan semasa persembahan sedang berlangsung tidak menunjukkan yang kau pandai dan bijak dalam memberi apa-apa komen. Ini hanya akan menunjukkan yang kau ini adalah salah seorang penonton yang bingai. Segala analisis kritikal kerap dilakukan hanya selepas pementasan tamat.
  10. Jika kau rasa pementasan itu tidak menarik perhatian kau. Jangan cakap. Kau pilih sama ada kau mahu tidur (pastikan tak berdengkur) atau kau keluar dari panggung tanpa mengganggu tumpuan penonton lain.
  11. Jika kau pergi ke galeri lukisan, JANGAN SENTUH bahan pameran di dalam galeri tersebut. Mungkin sesetengah bahan pameran di sana sangat sensitif dan mudah untuk rosak. Maka, jangan sentuh. Mungkin tangan kau itu jenis yang membawa sial dan akan merosakkan bahan pameran di galeri itu.

Peraturan ini dipakai di seluruh dunia. Tak kisahlah kau menonton di panggung Istana Budaya, ASWARA, KLPAC ataupun di New York.

Peraturan ini juga langsung tidak terikat pada sesetengah golongan sahaja. Tak kisahlah kau penonton yang membayar RM5.00, RM1000.00, ataupun kau berpangkat Dato’, pencacai, menteri, rakyat, pelajar, pensyarah, miskin atau kaya, semua perlu mengikut peraturan ini. Kerana apabila di dalam panggung, kau semua sama sahaja. Tak ada bezanya.

Fasyali Fadzly

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Manusia Paling Lawak Di Dunia vs Manusia Paling Busuk Hati Di Dunia

Kenali Satu-satunya Yang Di Pertuan Agong Berstatus Bujang