Dari Sekolah Pondok Ke Master of Business Administration, MBA

Ini cerita aku. Kisah tentang perjalanan aku dalam mengharungi dunia pembelajaran. Bukan ingin menunjuk atau berbangga-bangga. Nawaitu aku cuma biarlah coretan aku ni sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja untuk sambung belajar.

Aku sebenarnya bukanlah seorang yang cemerlang dari segi pelajaran. Tamat sahaja UPSR, aku terus sambung belajar pondok di Alor Setar, Kedah. 6 tahun aku belajar pondok. Cukuplah sekadar untuk aku lengkapkan diri aku dengan ilmu agama.

Habis belajar di pondok, aku sambung belajar di Maktab Adabi, Bukit Mertajam sebab nak ambil SPM. Mula-mulanya memang haru-biru. Maunya tak haru, dari sistem pelajaran pondok tiba-tiba terus masuk sekolah yang bukan aliran agama. Serba-serbi baru. Banyak benda aku kena belajar start from basic dalam masa 1 tahun. Fuhh, memang mencabar. Alhamdulillah, aku dapat sesuaikan diri sambil dibantu sahabat-sahabat yang hebat. Result SPM aku just Pangkat 2.

Tamat SPM, aku cuba juga mohon untuk sambung pengajian bidang agama. Tapi rezeki tak menyebelahi aku. Rasa kecewa juga. Atas sebab tu, aku cuba-cuba juga mohon belajar dalam bidang yang lain. Alhamdulillah, akhirnya aku diterima masuk ke Institut Yayasan Bumiputera P.Pinang (IYBPP). Masa tu, IYBPP ada buat program Pra-Perdagangan. Program usahasama dengan UiTM. Program ni lebih kepada untuk bagi peluang kepada lepasan SPM yang keputusan untuk subjek BI dan Maths agak kurang cemerlang (lulus). Macam kes aku, subjek Maths dapat 7 (tak kredit). Alhamdulillah, selepas setahun, aku berjaya sambung ke peringkat diploma dengan keputusan yang pada aku cukup cemerlang.

Tamat diploma, aku terus sambung belajar ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UiTM Shah Alam. Masa buat degree ni, banyak masalah yang berlaku. Aku malas pergi kelas dan kerap juga ponteng kuliah. Pernah juga pensyarah panggil aku sebab banyak kali ponteng. Akibatnya, keputusan yang aku dapat memang teruk. Sekadar dapat Ijazah Sarjana Muda kelas ke-dua rendah (2nd class lower). Ambik habuan. Siapa suruh ponteng kuliah. Cumanya aku bersyukur sangat sebab sepanjang pengajian aku, belum pernah aku repeat paper. Berkat doa mak aku.

Selepas tamat degree, aku memang pernah cakap pada diri sendiri yang aku memang dah tak mau sambung. Cukuplah setakat degree. Fokus aku pada masa tu hanyalah nak berkerja. Alhamdulillah, aku berjaya dapat kerja di tempat yang aku kerja sekarang. Masa berkerja, ada juga beberapa orang sahabat ajak aku sambung buat MBA. Tapi aku abaikan sebab aku rasa aku memang dah tak sanggup.

Entah macam mana, ada 1 hari tu, disebabkan aku rasa rutin hidup aku ni dah terlalu membosankan, tiba-tiba aku rasa nak sambung belajar. Akupun terus nyatakan hasrat aku tu kepada wife aku dan aku pun ajak dia join sekali. Pada mulanya dia tak mau, tapi selepas menggunakan hikmat memujuk tahap 9, akhirnya dia setuju untuk join. So, bermula dari bulan Mac 2015, maka bermulalah cabaran kami sebagai part-time students.

 

 

Masa mula-mula sambung MBA secara part-time, aku sendiri tak yakin. Memang susah beb. Penat. Masa senggang kami pada setiap hari Sabtu dan Ahad terpaksa dikorbankan kerana kena hadir ke kuliah. MBA ni memang menuntut pengorbanan yang tinggi. Cara pembelajaran memang totally different. Balik dari kerja, kena study dan siapkan assignment. Banyak benda yang aku dan wife kena korbankan. Kenduri saudara-mara pun ada yang tak dapat kami hadir sebab clash dengan jadual kelas. Serius, rasa stress memang membuak-buak. Kadang-kadang rasa give-up. Setiap semester mesti timbul perasaan nak quit.

Tapi Alhamdulillah, Allah kurniakan kepada kami pensyarah-pensyarah yang hebat, keluarga yang amat memahami dan sahabat-sahabat seperjuangan yang banyak membantu dan mendorong kami untuk teruskan perjuangan.

Alhamdulillah, semalam, 31 Disember 2016, kami akhirnya berjaya juga sudahi pengajian kami selama 2 tahun dengan sessi VIVA. Penamat kepada segala-galanya yang kami telah pelajari selama 2 tahun. Walaupun keputusan penuh hanya akan keluar pada bulan Mac nanti, tapi aku dah rasa cukup bertuah dan bersyukur kerana dapat lalui segala rintangan.

So, moral of the story. Percayalah pada diri sendiri. Jangan sama sekali pandang rendah kepada kemampuan diri. Cuba dan terus mencuba disamping doa dan tawakkal. Kepada kenalan aku termasuklah teman-teman dipejabat terutama yang masih muda, rebutlah peluang yang ada untuk sambung belajar. Aku tidak menjanjikan bahawa dengan sambung belajar itu boleh membuatkan kita naik pangkat atau jadi kaya, tapi aku yakin InsyaAllah, pengetahuan dan pengalaman kita akan bertambah. Yang pasti, menuntut ilmu itu bukanlah perkara yang sia-sia.

Ini kisah aku. Moga dapat memberi manfaat.

 

Azrol Izwan Khalid

Leave a Reply