, ,

Buku Bukan Babi

Semalam Penulis terkenal, Faisal Tehrani mencabar keputusan Kerajaan Malaysia di mahkamah yang bertindak mengharamkan empat bukunya – Karbala (2008), Ingin Jadi Nasrallah (2010), Tiga Kali Seminggu (2010) dan Sebongkah Batu Di Kuala Berang (2011).

Pengharaman buku seperti ini merupakan satu langkah ke belakang dan hanya menindas ruang berfikir serta tidak mendatangkan sebarang manfaat. Sebagai sebuah negara yang bercita-cita mahu menjadi negara maju, hal-hal pengharaman buku sewajarnya sudah lama kita tinggalkan.

Buku-buku yang ditulis Faisal memiliki nilai dan kekuatan yang sewajarnya mewakili sastera dan ruang pembacaan di Malaysia. Namun sayang, buku-buku cerdik ini kita ketepikan dan kita sanggup pula membuka ruang seluas-luasnya kepada bahan-bahan yang membekukan otak daripada berfikir. Lihat sahaja carta teratas kedai-kedai buku utama tempatan, sudah tentu kita akan termenung jauh melihat buku-buku yang mendominasi carta!

Untuk Faisal Tehrani, kau sudah menjadi wira dengan karya-karya kau. Aku melalui zaman remaja dan kini dewasa dengan membaca tulisan-tulisannya. Secara tak langsung sebahagian daripada idea penulisan aku terbentuk dari buku-buku ini.

Isu pengharaman buku ini turut berlaku di luar negara dan ramai penulis-penulis hebat di luar negara yang pernah melalui keadaan ini. Untuk itu, mari kita lihat senarai buku-buku yang pernah dan masih diharamkan!

 

Alice in Wonderland (1865) oleh Lewis Carroll

Buku ini pernah diharamkan di wilayah Hunan, China pada tahun 1931 apabila dianggap menyamakan karakter haiwan seperti manusia. Pihak berkuasa tempatan menganggap buku ini menghina manusia kerana menggambarkan haiwan memiliki sifat-sifat manusia.

 

Nineteen Eighty-Four (1949) oleh George Orwell

Buku ini diharamkan oleh negara Kesatuan Soviet pada tahun 1950 selepas pemimpin negara berkenaan Joseph Stalin menyedari buku ini merupakan sindiran terhadap pentadbiran beliau. Namun begitu pada tahun 1990, buku ini telah kembali dibenar untuk dijual di negara berkenaan.

 

Candide (1759) oleh Voltaire

Buku tulisan filasuf terkemuka Perancis ini pernah dirampas oleh Jabatan Kastam Amerika Syarikat pada tahun 1930 kerana memaparkan perilaku lucah.

 

The Da Vinci Code (2003) oleh Dan Brown

Buku ini diharamkan di Lebanon pada tahun 2004 kerana pemimpin Kristian di negara berkenaan menganggap novel ini menghina agama mereka.

 

An Area of Darkness (1964) oleh V.S. Naipaul

Buku ini diharamkan di India kerana didakwa memaparkan hal-hal negatif tentang negara berkenaan.

 

Doctor Zhivago (1955) oleh Boris Pasternak

Buku ini telah diharamkan di Rusia sehingga tahun 1988 kerana didakwa mengkritik kehidupan masyarakat selepas Revolusi Rusia. Boris juga dikatakan telah menerima tekanan daripada Kerajaannya untuk menolak Hadiah Nobel Sastera yang dianugerahkan kepadanya pada tahun 1958.

 

Animal Farm (1945) oleh George Orwell

Karya terkenal Orwell ini sebenarnya telah disiapkan pada tahun 1943, namun tiada rumah penerbitan yang berani menerbitkan karya ini kerana kritikan pedas Orwell terhadap Kesatuan Soviet yang pada ketika itu menjadi sekutu rapat British.

Namun begitu, sebaik sahaja diterbitkan, buku ini diharamkan di Kesatuan Soviet dan negara-negara komunis yang lain.

Pada tahun 2002, buku ini diharamkan di sekolah-sekolah di seluruh Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana didakwa memaparkan hal-hal yang tidak selari dengan nilai-nilai Islam. Ini dikaitkan dengan karakter babi di dalam buku ini.

Buku ini masih lagi diharamkan di Korea Utara dan telah ditapis di Vietnam.

 

Frankenstein (1818) oleh Mary Shelley

Buku ini diharamkan di Afrika Selatan pada tahun 1955 kerana didakwa memaparkan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai moral.

 

The Satanic Verses (1988) oleh Salman Rushdie

Buku ini telah diharamkan di Bangladesh, Mesir, India, Iran, Kenya, Kuwait, Liberia, Malaysia, Papua New Guinea, Pakistan, Senegal, Singapura, Sri Lanka, Tanzania dan Thailand kerana didakwa memaparkan unsur-unsur yang menyindir dan mempermain agama Islam.

 

The Grapes of Wrath (1939) oleh John Steibeck

Buku ini diharamkan secara sementara di Amerika Syarikat dan didakwa memaparkan secara tidak benar keadaan penduduk di California.

 

Year 501: The Conquest Continues (1993) oleh Noam Chomsky

Buku ini diharamkan untuk diedarkan di dalam Angkatan Tentera Korea Selatan pada 1 Ogos 2008.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Apa Pentingnya Itinerary Apabila Nak Melancong?

Felda Selepas 100 Hari