in ,

Bukan Susah Pun Nak Beramal Jariah

Aku perasan budak-budak tu ‘bersidai’ di luar pagar sekolah rendah, berderet duduk merenung ke dalam. Salah seorang tu tak berbaju, “Eh tu Ryan”. Aku pun terus park kereta di tepi.

Dari belakang, aku pegang bahunya. Dia toleh, “Cikgu Irfan, ni ada Hari Kantin. Bawalah Ryan, cikgu.”

Aku perhati kawan-kawan dia di tepi yang melangut sama. Masing-masing matanya dah berkaca, minta dipimpin juga masuk ke dalam.

“Yang lain nak masuk sekali?” saya tanya.

“NAKKKKKK!”
“Yesss!!!”
“Ya Allahh bestnya…”
melompat budak-budak tu. Ada 7 orang.

Kami sama-sama berpimpin tangan. Entah sebak macam mana nak cerita. Bayangkan, disaat kanak-kanak lain bersukaria di hari kantin, sedang 7 anak kau merenung saja dari luar, terliur. Sebak tau.

Kami masuk ke tapak gerai. Dari satu gerai ke satu gerai, kami melihat-lihat. Setakat nak tapau 7 budak-budak ni sosej ke nugget, mi goreng ke, aku rasa tak adalah ‘kopak’ sangat.

Aku tanya budak-budak tu, “Korang cakap je apa nak, hari ni Cikgu belanja semua.”

“Tu, tu, yang tu…”
Ryan tunjuk satu kereta control. Macam dalam gambar tu lah, cuma sekarang body dia dah tanggal anak aku kerjakan.

Kawan dia dah tarik-tarik seluar Ryan, dah seluar itu je yang budak tu pakai. Anak kecil ni pun faham benda tu mahal, dia pun serba salah juga nak minta.

Aku datang dekat ke brader, “Berapa bang kereta ni?”

“Satu 40 ringgit bang,” lelaki tu jawab selamba.

WHATTT?! Menyirap betul aku rasa, dalam hati dah mencarut, macam ni punya harga kau kapak dekat budak sekolah ke?

Mula tu, aku memang nak maki, tapi sebab anak aku, Amin ni pun dah merengek-rengek nak juga.

Car!!! Nak car!!!

Ok. Aku tahu tak logik benda ni, tapi aku tanya juga,

“Bang, beli 2 kereta, RM40. Boleh?”

Dia angguk, “Boleh!”

Peh, kau tengoklah. Rasa nak maki tadi tu lesap gitu aje. Tadi harga sebiji RM40, bila tawar dapat RM40 pula untuk 2 biji.

RM40 aku tak tergaru-garu sangat. Memang pagi tadi isteri aku dah siap-siap kasi sampul sekebat duit, “Hari ni kita kena habiskan duit ni.” Ditakdir pulak kereta control cikai macam ni harga kapak, kenalah redha.

Bebudak ni tak sabar nak main. Ryan yang 8 tahun tu dah sengih-sengih. Anak aku Amin yang 5 tahun ni pulak dah terkinja, tunggu brader ni pasang bateri lama sangat.

Dah selesai pasang bateri, kami duduk beramai-ramai di atas gelanggang simen. Dalam bulatan.

Aku kata, “Ha, Ryan, kau ketua kereta ni. Jaga baik-baik, dan bagi kawan yang lain pun main juga ya?”

Kami buat dua kumpulan. Ryan dan kawannya bergilir-gilir main kereta dia. Lagi satu kereta tu, aku bagi anak aku Amin dengan kawan yang lain. Mula tu punyalah lokek anak aku ni, dia main punya lama, sesekali aku marahkan dia suruh kongsi. Lepas tu member pegang sekejap 1 minit dia dah pass ke kawan lain.

Tapi tak apalah, masa inilah peluang aku nak ajar Amin berkongsi.

Setelah beberapa lama, aku toleh sekeliling.

TERKEJUT!

Aku dapati kami dikerumuni puluhan budak-budak sekolah di situ. Ramai weh.

Semua dok perhati kami bermain. Yalah, mungkin depa tertanya-tanya, siapalah 7 orang budak-budak luar ni, kena pulak tu ada tak berbaju, ada tak berkasut.

Berpuluh budak tu seronok tengok kami main kereta control kat tengah-tengah ni.

Aku dah terdetik, “Ah sudah. Takkan dua biji kereta ni nak dikongsi puluhan orang? Macam tak logik je.”

Tapi, tiba-tiba, seorang kawan Ryan tarik baju aku, “Cikgu, kawan dekat sana tu nak pinjam main kereta ni, kita bagi ya?”

Aku angguk. Dalam diam, pipi ni pun basah sendiri. Aku malu sendirian.

Rasa jantung macam kena toreh, sebab baru kejap tadi aku dah berkira-kira, tapi anak suci ni yang sedarkan aku.

Kini, murid-murid di sekolah tu bermain sama-sama dengan ‘anak-anak’ aku. 2 biji kereta control, dimain beramai-ramai macam tu, lantaklah.

Sambil-sambil tu, aku berbual dengan budak-budak sekolah di situ. Tak lama pun aku nak mesra dengan budak sekolah situ.

Aku TERKEJUT sekali lagi. Rupa-rupanya budak-budak di sepanjang hari kantin tu, semua dok melangut tak beli apa-apa.

“Ni semua tak beli apa-apa ke?” aku tanya pada ramai-ramai.

“Tak cikgu.”
“Mak saya bagi duit tak cukup, cikgu.”
“Makanan dapat beli sikit je, cikgu.”
“Tak mampu lah cikgu.”
“Laparlah cikgu.”

Basah lagi mata aku. Paling hanyut hati aku ni, dalam ramai-ramai tu, tak seorang pun yang cakap perkataan MAHAL.
Bagus tak bagus hati bebudak ni, Allah, sebak lagi.

Pelik anak-anak punya mindset suci macam ni, sikit pun tak bertuah nak rasai gembiranya Hari Kantin di sekolah sendiri.

Patutlah aku perasan krik-krik je gerai-gerai yang aku lawati tadi. Rupa-rupanya bebudak ni memang tak mampu beli apa-apa pun.

Kalau tengok harga dia, kau pun tercengang beb. Kau bayang lah, secucuk nuget harga RM3. Sebatang sosej harga RM3. Weh, depan klinik dekat rumah aku pun secucuk RM1 laahh.. Aduiii…

Air balang sebungkus RM3. Tu pun air sirap. Kena kopi Hipster RM8, tu lantak dia lah. Hipster memang Monster.

Dari tadi aku ketap gigi diam-diam. Weh, Hari Kantin ni sebenarnya Hari untuk Kanak-kanak ke, atau Hari Kapak-Kapak Sedunia?

Aku selok sampul tadi, tak bergerak sekebat duit ni.

Aku pun berdiri, “Ok semua, jom ikut cikgu.”

YEAYYYY!!! Yahuuu!!!

Bersorak oi macam pesta.

Aku angkut semua, Ryan, geng dia, Amin anak aku, dengan bebudak sekolah tu sekali. Kami pusing balik ke gerai-gerai tadi.

Nampak ada mesin aiskrim, “Berapa harga aiskrim ni satu?”

“RM2,” budak yang jaga situ tunjuk harga pada kad manila.

Aku toleh belakang sekejap, dok mencongak satu-satu budak yang ada.

“Dik, saya nak 50 lebih aiskrim, tapi saya nak harga seringgit satu, boleh?”

Terketar juga ni. Tak pernah seumur hidup aku tawar-menawar bila bab makan. Ni pertama kali, rasa malu ya amat. Aku bawak harapan lebih 50 budak di belakang aku. Harap-harap bersambutlah offer aku ni.

Budak yang jaga tu toleh kat tauke. Tauke tu pun cikgu dia juga kot.

Alhamdulillah, Tauke mengangguk.

Aku jerit, “JOM PILIH NAK PERISA APA!”

Perkh kemain happy mereka ni Ya Allah.

Sambil makan, kami berjalan-jalan lagi. Nampak Rumah 4Musim. Kemain kreatif depa ni, dewan disusun-susun kerusi, deco semua, jadi Rumah 4 Musim.

“Cikgu, cikgu, Rumah 4 Musim! Nak salji!” bebudak ni jerit-jerit nak masuk rumah ni.

Aku pun macam biasa, aku kan tauke besar, aku bargain lagi sekali. Harga asal tiket dia RM15 seorang kalau nak masuk, pale bana dia.

“Dik, saya beli 50 lebih tiket, tapi saya nak harga RM5 seorang, boleh?”

“BOLEH!’ Cepat gila tauke dia jawab. Ok, aku dah boleh tarik balik word ‘pale bana’ tu.

“BERATUR SEMUA!!”
“BARIS LIMA-LIMA!”

Tak cukup dengan tu, selesai Rumah 4 Musim, kami beramai pergi beli air, layan nugget, main baling-baling selipar, banyak benda kami buat dalam berjam-jam yang berbaki tu.

Hari itu, aku saksikan kali pertama dalam sejarah hidup ini. Tak pernah aku tengok kegembiraan anak-anak yang sebegini ramai. Pertama kali.

Nak jumpa Open House Raya budak-budak main mercun pun tak happy macam ni.

Kau bayang eh. Macam mana aku boleh tapau semua harga pancung gila-gila?

Sebab depa pun tak ada sales sangat hari tu der. Entah mazhab bisnes mana depa ni meniaga harga kapak dekat bebudak. Budak sekolah pula tu. Hari Kantin pulak tu, Adui!

Memang padan muka depa tak ada sales. Lagi kesian, bebudak ni datang melangut macam tu je, dah Hari Kantin tu untuk siapa weh?

Oh ya, ini story tahun lepas tau. Hari Kantin memang selalu buat di hujung tahun kan. Sengaja aku lewatkan publish, aku takut pihak sekolah yang alert dan perasan nanti ‘butthurt’ dengan aku.

Masa tu, ada juga beberapa kali aku disapa oleh guru-guru di situ, “Err… awak ni siapa ya?”

Mungkin aku ni dah macam Tauke Besar lah duk tabur-tabur duit macam tu kan.

Budak-budak ni lah tolong jawabkan, “Cikgu Irfan!!” Aku senyum je berlalu dari situ.

“Oh, awak ni Cikgu sekolah agama diorang ya?” ada satu ustazah tu tanya.

“Ha’ah.” Aku siap bohong lagi. Kena pula aku pakai T-Shirt siap tuck-in, berkasut bagai. Padahal duit tu dah memang zakat company.

Yalah, malas nak hurai aku ni siapa. Dah aku nak jawab apa, aku bukan cikgu pun walau budak-budak ni panggil aku cikgu.

Lagipun panjang cerita dia, takkan nak start cerita dari aku kenal Ryan. Sampai esok pun tak habis sembang.

Kadang-kadang, aku pelik.

Kenapa kau tertanya-tanya apa yang ajaib datang di depan mata?

Tidakkah kau perasan apa yang ‘ajaib’ telah kalian lakukan di tangan sendiri?

‘Ajaib’ lah, bila kita dah hilang fitrah empati pada anak-anak suci.

‘Ajaib’, sebab harga boleh pancung kaw-kaw. Bagus lah, dalam masa kau fikir berapa nak untung, kau masih teringat rupa-rupanya kau tak ada sales pun haritu, kan? Entah-entah harga tapak tu pun kau dah kena tiau siap-siap.

Kadang, kita kena ingat. Niaga ni ada dua.

Satu, niaga dapat dunia.
Dua, niaga dapat dua-dua.

Tinggal pilih je. Bukan banyak pun pilihan tu.

Sekian.

Al Irfan Jani

Lain kali kalau fikir Hari Kantin nak buat juta-juta, kenapa tak letak booth jual Hartanah ke, jual takaful ke, pakej travel ke apa, baru juta beb.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Inilah Felda Lurah Bilut!

Penyelesaian Gaya Ajinomoto!