Boikot! AFF Myanmar Bukanlah Yang Pertama, Kalau Kau Nak Tahu

Sejak akhir-akhir ini makin kuat desakan oleh rakyat Malaysia untuk pasukan bola sepak negara yang sedang bertanding di Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar untuk menarik diri dan memboikot pertandingan bola sepak paling utama di Asia Tenggara itu.

Desakan ini dibuat sebagai salah satu usaha untuk menunjukkan Malaysia peduli tentang nasib Rohingya yang sedang tertindas di Myanmar. Isu Rohingya bukan isu baru, isu yang sudah melangkaui zaman tetapi cukup kompleks untuk menemui jalan penyelesaian.

Hari ini kita akan melihat beberapa acara sukan yang pernah diboikot atas alasan politik, hubungan antarabangsa, peraturan sukan dan sebagainya. Jelas sekali sukan ialah alat terbaik untuk menunjukkan protes dan rasa tidak puas hati terhadap sesebuah negara atau rejim pemerintah.

Sukan Olimpik Moscow – 1980

Pemboikotan yang terjadi ketika Sukan Olimpik Moscow boleh dianggap sebagai tindakan boikot paling terkenal di dunia. Tindakan boikot ini sudah tentu tidak akan dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia apabila pasukan bola sepak negara yang layak ke Olimpik buat kali kedua terpaksa menarik diri kerana Kerajaan Malaysia turut sama membuat keputusan untuk memboikot acara berkenaan.

Boikot ini digerakkan oleh Amerika Syarikat yang berjaya mempengaruhi sekutu-sekutunya sebagai membantah langkah Kesatuan Soviet menceroboh Afghanistan setahun sebelum Olimpik ini berlangsung. Boikot ini melihatkan hanya 80 daripada 147 negara mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik berkenaan.

Namun begitu, terdapat dalam kalangan atlet di negara-negara yang memboikot Sukan Olimpik ini tetap bertanding di sana dan bertanding di bawah bendera Olimpik. Atlet Great Britain misalnya memenangi lima emas dan meraikan kejayaan dengan lagu Olimpik berkemundang menggantikan God Save The Queen.

Kebanyakan negara yang memboikot Olimpik Moscow ini bertanding dalam satu sukan khas yang dipanggil Sukan Olimpik Boikot yang diadakan di Philadelphia.

Sukan Olimpik Los Angeles – 1984

Sebagai membalas dendam terhadap apa yang dilakukan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya, Soviet Union serta pakatannya telah mengambil tindakan sama memboikot Sukan Olimpik Los Angeles yang diadakan empat tahun kemudian. Alasan yang diberikan oleh Soviet Union ialah soal keselamatan, namun ramai yang beranggapan boikot ini tidak lebih daripada satu tindakan politik.

Semua negara-negara Blok Timur termasuk Cuba menyertai boikot ini namun Romania tidak mengikuti tindakan berkenaan dan menyertai Sukan Olimpik Los Angeles. Negara-negara Blok Timur diketuai Soviet Union memiliki ramai atlet berpotensi dan terkemuka dan dengan ketidakhadiran mereka, Amerika Syarikat menang mudah dalam Olimpik edisi ini dengan menyapu 83 emas.

Jelajah Pasukan Kriket Afrika Selatan di England – 1970

Pasukan Kriket Afrika Selatan pada tahun 1970an dianggap sebagai salah sebuah negara utama dalam sukan berkenaan. Pasukan kriket negara itu dijadualkan mengadakan jelajah di England pada musim panas tahun 1970. Namun begitu, selepas bantahan berterusan terhadap rejim apartheid oleh warga England, jelajah berkenaan dibatalkan.

Piala Dunia FIFA – 1930

Semasa Piala Dunia Pertama berlangsung, Uruguay yang juga juara Olimpik telah dipilih sebagai tuan rumah dan negara berkenaan telah menawarkan untuk menanggung perbelanjaan perjalanan negara-negara lain yang bertanding. Namun begitu, empat negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah, Belanda, Sepanyol, dan Sweden enggan ke Uruguay kerana mereka tidak mahu ke benua Amerika Selatan. Manakala negara seperti Austria, Jerman, Czechoslovakia dan Switzerland turut menarik diri dengan alasan perjalanan menggunakan bot selama tiga minggu ke Uruguay adalah memenatkan dan terlalu lama. Negara-negara seperti England, Scotland, Wales dan Ireland pula menarik diri kerana berselisih faham dengan FIFA.

F1 Grand Prix USA – 2005

Semasa sesi latihan di sebelah petang hari Jumaat sebelum F1 Grand Prix USA berlangsung di Indianapolis, pemandu Toyota, Ralf Schumacher telah terlibat dalam kemalangan yang agak teruk dan dilaporkan kemalangan itu berlaku kerana masa tayar hadapan sebelah kiri jenterannya mengalami masalah. Michelin, syarikat yang membekalkan tayar kepada tujuh daripada sepuluh pasukan bertanding menasihatkan pasukan-pasukan berkenaan bahawa tayar keluaran mereka tidak selamat untuk perlumbaan.

Peraturan F1 pada ketika itu tidak membenarkan pertukaran jenama tayar dan selepas gagal untuk mencapai persetujuan dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), tujuh pasukan berkenaan menyusun kedudukan di grid sebelum bertindak memasuki pit sebagai tanda protes dan hanya enam jentera sahaja yang memulakan perlumbaan. Tanpa persaingan sengit, Michael Schumacher merangkul kejuaraan. Ramai penonton yang pada waktu itu tidak sedar tentang hal boikot ini terkejut dengan apa yang mereka lihat.

F1 Grand Prix Afrika Selatan – 1982

Niki Lauda mengetuai mogok pemandu F1 pada perlumbaan pertama tahun 1982 di bandar Kyalami. Semua pemandu berkenaan membantah peraturan baru berkaitan Lesen Super yang disyaratkan sebagai wajib untuk mereka semua. Bagi Lauda syarat berkenaan adalah tidak adil kepada pemandu dan pasukan. Kebanyakan pemandu mengurung diri di dalam bilik persidangan semalaman sebelum mencapai persetujuan untuk beberapa perkara di dalam syarat berkenaan dilihat semula dan mereka bersetuju untuk berlumba. Namun, selepas perlumbaan tindakan sebaliknya diambil dan lesen pemandu yang terlibat di dalam mogok berkenaan turut digantung.

Kejohanan Tenis Wimbledon – 1973

Pada tahun 1973 Kejohanan Tenis Wimbledon dimenangi pemain kurang ternama dari Czechoslovakia, Jan Kodes. Ini berlaku kerana pada tahun berkenaan ramai nama-nama besar yang menarik diri. Tindakan ini berlaku kerana Persatuan Tenis Profesional (ATP) yang dianggap seperti ‘union’ kepada pemain Tenis telah membantah tindakan Persekutuan Tenis Antarabangsa yang menggantung pemain Yugoslavia Nikki Pilic kerana didakwa tidak muncul ketika perlawanan Piala Davis menentang New Zealand. Susulan itu, ATP mengumumkan akan memboikot Kejohanan Wimbledon dan mereka mengotakan janji apabila 79 pemain enggan menyertai kejohanan berkenaan.

Sukan Olimpik Montreal – 1976

Walaupun boikot Olimpik Moscow dianggap boikot yang paling besar namun boikot yang berlaku di Olimpik Montreal pada tahun 1976 tidak kurang memberikan kesan besar dan dianggap sebagai boikot bermotif politik yang kuat. Negara-negara di benua Afrika membantah kegagalan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk menggantung penyertaan New Zealand di dalam Olimpik berkenaan selepas New Zealand melanggar peraturan umum sukan pada ketika itu untuk tidak mengadakan hubungan dengan negara berasaskan rejim apartheid. Ini berpunca daripada tindakan pasukan ragbi New Zealand yang diberi gelaran All Blacks mengadakan jelajah di Afrika Selatan pada awal tahun 1976. Dianggarkan 20 daripada 26 negara yang menarik diri telah tiba di Montreal, tetapi mereka berpatah balik untuk terus memboikot. Memetik kata-kata Menteri Luar Kenya ketika itu, James Osago, “prinsip adalah lebih bernilai daripada pingat”.

Daniyal Kadir

Leave a Reply