, ,

Bisnes Bukan Untuk Mereka Yang Penakut

Apabila ramai yang bertanya saya mengenai peluang bisnes tetapi takut mahu mengeluarkan modal, lalu inilah jawapan saya.

Semua usahawan berjaya yang saya pernah jumpa, mereka pernah terbakar modal di tangan dan pernah papa kedana. Ada di antara mereka pernah tidur berbantal lengan di Masjid dan mandi setiap hari di tandas awam. Itu baru sedikit.

Mengapa orang berjaya terus melakar kisah kejayaan tetapi kita masih tetap berada di tahap yang sama sampai sekarang?

Jawapannya mudah, kerana kita manusia yang penakut dan tidak pernah mahu ambil risiko. Kita tidak meletakkan kepercayaan usaha kepada diri kita sebaliknya meletakkan jumlah modal sebagai cagaran besar kononnya mahu meraih bahagia.

Telinga kita suka mendengar kisah jatuh bangun orang lain. Bila membaca kisah kesusahan orang berjaya, kita kagum dan terlopong mulut. Di saat itu juga semangat kita membuak-buak mahu menongkah arus.

“Kalau dia boleh, aku pasti boleh!”, teriak kita dalam hati. Berkobar-kobar.

Selepas lima minit, semangat tadi hancur berderai. Hilang entah ke mana bersama langkah kaki kita. Ia pergi begitu sahaja tanpa khabar berita. Sehinggalah kita terbaca lagi penulisan demi penulisan yang membangkitkan nafsu berniaga setiap hari. Dan kita sudahpun membaca kisah orang bertahun-tahun.

“Apakah bisnes baik yang patut saya mulakan, Tuan?”, tanya seorang bapa muda yang berjumpa saya baru-baru ini.

“Bisnes baik ialah semua yang kita mulakan. Malah, kita tahu potensi dan risikonya. Namun, kita tetap mengusahakannya”, itu jawapan saya.

Modal bukan satu-satunya faktor kejayaan. Ia hanya alat atau batu loncatan untuk kita mulakan sesuatu. Dan modal bukan wang ringgit semata-mata. Nilai usaha, idea, masa, orang sekeliling dan tenaga juga adalah sebahagian daripada modal yang kita perlukan. Semua ini mesti selari dengan tindakan kita.

Lalu, bisnes apa yang boleh memberi jaminan keuntungan di dunia ini? Jawapannya, tidak ada. Jika ada jaminan, semua orang mahu berniaga dan tidak ada yang mahu bekerja lagi. Jaminan kejayaan terletak atas bahu kita sendiri. Jaminan itu adalah tangungjawab dan sikap kita setiap hari.

Mulakan usaha dengan berfikir secara rasional. Mana mungkin usaha sekadar lima puluh sen mampu memberi pulangan lima puluh ribu ringgit? Tuhan sudah berjanji, sesudah kesulitan pasti ada kemudahan. Surah Al Insyirah ayat lima dan enam.

Nah, sekarang ini apa lagi ketakutan kita agaknya? Kita yang mencipta takut itu, dan kita sahajalah yang boleh membuang ketakutan itu. Sedang kita masih bermain perasaan, bulan berganti bulan, malah tahun sudah berganti tahun.

Orang lain sibuk meraih kejayaan.

Kita? Mahu salahkan orang lagi?

Boom! Like that.

Ikram Al-Banjari
Saudagar Jalanan.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Seni Yang Akan Buat Anak Kecil Teruja Untuk Ke Sekolah

Wahai Bani Terpilih, Apa Yang Telah Kamu Lakukan?