in

Bila Hater Proton Puji Proton Saga Baru

Tun Mahathir Tenang Bergambar Semasa Pelancaran Proton Saga Pada 1985

Steady betul semalam Proton melancarkan model Saga generasi ketiga, sampai panggil KJ untuk datang rasmi.

Sepatutnya pelancaran Saga ni kena panggil Tun Dr. Mahathir, mengulang kembali sejarah 31 tahun dahulu. Tapi Mahathir pun dah kena buang dari Proton demi pinjaman dari kerajaan bernilai RM1.5 bilion.

Kehadiran Saga generasi ketiga ini sangat penting buat Proton. Penting kerana mengikut data jualan kenderaan Ogos 2016, sekali lagi Proton berada di kedudukan ke-4 di belakang Perodua, Honda dan Toyota. Ini bulan kedua berturut-turut Proton jatuh di nombor ke-4 dalam carta jualan kenderaan bulanan.

Oleh kerana itu, model Saga generasi ketiga ini wajib berjaya. Bolehkah ia berjaya? Itu satu persoalan yang sukar juga untuk dijawab.

Tak dinafikan, Saga selaku model pertama Proton adalah model utama dan paling berjaya. Dengan Saga inilah 30 tahun dahulu Proton menguasai pasaran kenderaan Malaysia lebih 70% (dibantu model lain seperti Wira). Tetapi apabila Perodua mengeluarkan Myvi pada tahun 2005, dominasi pasaran mula berubah.

Proton memberi respon kepada kebangkitan Perodua dengan mengeluarkan Savvy pada tahun yang sama, sebuah hatchback yang menggantikan model Tiara. Malangnya Savvy tenggelam di sebalik kepopularan Myvi dan dengan model Saga generasi pertama yang semakin ketinggalan zaman, penguasaan pasaran Proton terus merudum bermula dari tahun 2005. Situasi inilah pada pemerhatian aku membuatkan Proton mengambil keputusan memperkenalkan Saga generasi kedua (BLM) pada tahun 2008.

Kemunculan Saga generasi kedua membantu meningkatkan jualan Proton untuk menyaingi Perodua, tetapi masih belum cukup untuk merampas kembali kedudukan nombor satu. Dari tahun 2009 hingga 2011 Proton merapatkan jurang dengan Perodua, namun kemunculan Myvi generasi kedua pada tahun 2011 menamatkan saingan Proton. Tahun berikutnya, Perodua menguasai 30% pasaran kenderaan Malaysia sementara Proton merosot kepada 23%.

Respon Proton seterusnya adalah untuk kembali kepada strategi ‘hatchback lawan hatchback’ iaitu dengan sebuah model baru bernama Iriz pada tahun 2014. Iriz digembar-gemburkan oleh Proton sebagai pencabar Myvi mereka. Tetapi walaupun dilancarkan dengan promosi hebat (sampai Mahathir pun pandu Iriz pergi Pavillion), Iriz sebenarnya gagal. Tahun 2014 berakhir dengan Proton menguasai 17% pasaran (Perodua 30%), dan kemudian Proton jatuh lagi pada tahun 2015 dengan hanya 15% (berbanding Perodua dengan 32%). Iriz yang sepatutnya menjadi pencabar Myvi, lauk seperti Savvy sebelum ini.

Pengajaran dari Iriz ini yang mungkin membuatkan bos-bos di Tanjung Malim sedar bahawa mereka tidak boleh melawan pesaing di Rawang dengan hatchback. Lantaran Iriz dijelmakan dalam bentuk sedan atau Persona generasi kedua, tetapi Proton sendiri sedar mereka memerlukan lebih dari Persona. Apatah lagi selepas sekian lama Proton mencabar Perodua dengan mengeluarkan model hatchback, akhirnya kali ini Perodua pula mencabar Proton dengan mengeluarkan model sedan bernama Bezza.

Harapan terakhir Proton adalah Saga generasi ketiga yang baru mereka lancarkan semalam. Ini adalah satu-satunya model, yang kalau ikut kata orang putih ‘by hook or by crook’ mesti mampu meletakkan Proton kembali di hadapan. Kalau pun tak mampu menewaskan Perodua (yang sekarang bukan sahaja ada Myvi, tetapi juga ada Bezza) tetapi paling tidak dapat memastikan menjelang penghujung tahun 2016 Proton kembali di kedudukan ke-2, bukan di belakang Honda atau Toyota.

Kalau dilihat kembali pada data jualan kenderaan dari Januari hingga Ogos 2016, Proton kini di kedudukan ke-3 dengan 44,029 kenderaan terjual (Perodua 133,742; Honda 55,764). Masih berbaki 4 bulan lagi untuk Proton menjual lebih dari 10,000 kenderaan kalau mereka serius mahu memotong Honda. Dan itu belum mengambil kira entah berapa ribu pula kenderaan yang akan dijual Honda dalam tempoh 4 bulan ini (dan berapa buah pula Toyota akan jual?).

Jadi kita kembali kepada persoalan, bolehkah ia berjaya?

Kalau dilihat pada spesifikasi dan rupa, nampak cerah.

Kemudian ada seorang fanboy Proton bertanya pada aku semalam, ada apa yang kurang tak dengan Saga baru ini?

Jawapan aku pada dia mudah.

Yang kurang pada Saga ini hanya satu, iaitu perkataan Proton sebelum Saga je.

 

Lucius Maximus

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Umur 34 Tahun Jadi Pengerusi FELDA? Biar Betul!?

Yang Kau Benci Sangat Azizan Osman Kenapa?