, ,

Betulkah Peniaga Wajib Bayar Cukai?

Setakat artikel ini ditulis sebanyak 6,429,585 perniagaan telah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ada perniagaan yang sudah semakin maju. Tidak terlepas perniagaan yang hanya cuba-cuba, suka-suka, akhirnya dibiarkan mati begitu sahaja.

Bukanlah berkenaan kejayaan ataupun kegagalan sesebuah perniagaan yang ingin saya perkatakan. Rata-rata orang berniaga terlupa yang kemajuan negara kita berdiri di atas pembayaran cukai. Fokus kebanyakan orang berniaga cuma Jualan dan Untung. Kebanyakan peniaga merasakan Cukai bukanlah perkara yang penting dalam perniagaan sehinggalah mereka nak apply loan rumah atau kereta.

Apa yang orang berniaga perlu tahu berkenaan cukai adalah, tiada cukai untuk Enterprise. Baik milikan tunggal ataupun perkongsian. Kenapa? Kerana perniagaan dan individu adalah Entiti yang sama. Jadi setiap pendapatan yang berlaku dalam perniagaan akan dibawa bawah nama individu dan dikira cukai bawah nama individu.

Cukai bukanlah cuma dibayar bila kita menjalankan perniagaan. Itu persepsi yang perlu dipadam. Setiap pendapatan perlu disytiharkan sama ada dikenakan cukai atau tidak. Seiring dengan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam pengisytiharan cukai juga ada pelepasan cukai yang boleh mengurangkan cukai kena bayar. Ia melibatkan belanja yang dibenarkan, elaun modal, relief dan rebat.

Belanja yang melibatkan perniagaan seperti bayaran tol, parking, telefon, sewa premis, gaji pekerja adalah antara belanja yang dibenarkan untuk pelepasan cukai. Sekiranya perniagaan ada aset seperti perabot pejabat, air cond, kenderaan, mesin juga diberi pelepasan elaun modal bagi mengurangkan lagi cukai.

Disebabkan pendapatan daripada perniagaan Enterprise di bawah nama individu bagi pengiraan cukai, jadi setiap Relief (Pelepasan Cukai Individu) juga dibenarkan untuk mengurangkan lagi cukai bagi individu yang ada pendapatan perniagaan.

Relief (Pelepasan Cukai Individu) yang diberikan oleh pihak kerajaan bagi tahun 2016 antaranya adalah Relief Individu RM9,000. Jika isteri tidak bekerja, dapat lagi pelepasan RM4,000. Setiap anak boleh dapat pelepasan cukai setiap seorang RM2,000 jika bawah 18 tahun. Jika anak lebih 18 tahun dan menyambung pengajian di mana-mana IPT, dapat lagi pelepasan cukai RM8,000. Hah, eloklah kau cepat-cepat kahwin kalau rasa cukai tinggi.

Ada juga pelepasan cukai lain seperti insuran nyawa, perubatan dan pendidikan. Bajet 2017 itu hari pun ada umum mengenai pelepasan cukai gaya hidup. Kau  pergi gymnasium, beli telefon, langgan internet boleh dapat pelepasan RM2,500 setahun. Relief itu pelbagai, kalau kau bangsa membaca, baik rajinkan diri buka website Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menelaahlah dekat situ sampai pandai.

Bukan sekadar Relief sahaja yang ada, jika pendapatan selepas tolak relief adalah kurang daripada RM35,000, kau layak dapat rebat RM400. Kalau waktu isytihar cukai itu isteri pula tak kerja atau memang tiada apa-apa pendapat, lepas tu gabung isytihar cukai bawah nama suami, isteri pun dapat rebat RM400. Kalau katalah cukai kena bayar dalam RM700, rebat atas nama suami RM400, rebat nama isteri dapat lagi RM400, jumlah rebat sudah RM800. Jadi kalau cukai RM700 tolak rebat RM800, secara matematiknya tiada cukai pun kena bayar.

Layanan sama juga kepada orang bujang bagi relief dan rebat, tiada diskriminasi. Bezanya sudah kahwin dapatlah pelepasan yang berkaitan dengan isteri dan anak. Rebat bukan terhenti sampai itu sahaja. Jika kau berniaga penuh barakah, bayar zakat kononnya untuk penyucian harta, zakat tersebut dikira sebagai rebat. Zakat pendapatan, zakat penggajian, zakat fitrah, jika namanya adalah zakat dan dibayar kepada pusat zakat, maka ia dibenarkan sebagai rebat untuk kurangkan cukai.

Rebat zakat ini best sebab kita boleh claim semaksimum yang boleh. Contohnya cukai kena bayar dalam RM10, 000 dan ada bayar zakat tahun tersebut RM15, 000. Jadi RM10, 000 tolak RM15, 000, maka tiada cukai kena bayar. Contoh kedua cukai kena bayar RM10,000 dan ada bayar zakat tahun tersebut RM8, 000, jadi RM10, 000 tolak RM8, 000 baki cukai kena bayar hanya RM2, 000. Orang berniaga sebenarnya ada pilihan, nak bayar cukai atau bayar zakat. Sebab itu penting merancang cukai.

Akhir kata, bila berniaga bukan wajib bayar cukai. Bila berniaga ia sebenarnya wajib ISYTIHAR cukai. Selepas isytihar ada cukai, baru wajib bayar. Bak kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) “Andalah Wira Negara”.

Azrul Izzaham Rozak
Konsultan Akaun dan Cukai

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Mengapa Manusia Jadi Bodoh Apabila Berada Dalam Kelompok?

Kenapa Kita Kekurangan Pakar Wanita?