in

Berjaya Buat Jualan RM1 juta Sehari, Ini 10 Perkara Yang Saya Belajar Dari Pengerusi Mofaz

Semalam saya sempat hadir ke Wisma Mofaz yang gah berdiri sebaris dengan bangunan kereta mewah sepanjang jalan Sungai Penchala-Damansara. Selepas dapatkan temujanji untuk bertemu dengan Tuan Haji Pengerusinya, memang kena siap sedia terus soalan-soalan yang diperlukan.

Saya diminta duduk di sofa berhampiran bilik Tuan Haji. Sesampainya Tuan Haji ke situ, beliau seolah sudah tahu dan kenal saya,  cewah. Kami berbual lebih kurang 1 jam setengah. Ia lebih kepada dari awal beliau mula berniaga hinggalah kini beliau menjadi Ikon Perniagaan Melayu tanah air yang dibanggakan hari ini.

Anak jati Kelantan Darul Naim ini mengajar saya beberapa perkara tentang dunia bisnes hari ini.

Yang menyeronokkan saya ialah, beliau sangat menghargai anak muda dan menyantuni saya sebaik-baiknya. Semua soalan dijawab dengan tersusun dan diberi contoh yang memudahkan kefahaman saya. Segan juga dibuatnya.

Beliau ialah Tuan Haji Mohamed Fauzy Bin Abdul Hamid, Pengerusi Kumpulan Mofaz yang mana hari ini menjalankan perniagaan kereta mewah, hotel, minuman Alla Fonte, Kedai Jualan Circle-K, dan banyak lagi.

Baiklah, ini perkara yang saya dapat dari perbualan semalam.

 

1. Kerja dahulu untuk dapatkan pengalaman. Baru berhenti dan berniaga.

Tuan Haji merupakan bekas pegawai pemasaran di Nestle selama 13 tahun. Beliau seterusnya dilantik menjadi Regional Marketing and Sales Manager yang mana banyak menyaksikan Nestle mendapat tempat di hati pelanggan pada tahun 1964 hingga 1977. Jika kalian nak tahu, pada waktu ini, Nestle telah pun menyusun modus operandinya untuk memastikan setiap kedai runcit perlu punya 30% produk Nestle. Kau bayangkan, pada waktu itu, kedai runcit kebanyakkannya menjual barang basah, namun Nestle sudah 20-30 tahun ke hadapan dalam memastikan produknya menjadi dominan.

Beliau menjadikan perkara itu berlaku. Dan kawan-kawan, pada usia 17 tahun (tahun 1963) beliau menyertai Nestle betul-betul selepas habis tingkatan 6 dan menjadi antara yang paling awal membuat pemasaran produk Milo dalam negara.

Kejayaan beliau ialah dengan mendapat pulangan sebanyak RM32 juta sebulan untuk Nestle atau dengan kata lain, Nestle memperoleh RM1 Juta jualan sehari.

Di dalam Nestle, beliau belajar bagaimana satu-satu produk itu boleh menjadi teman hidup kepada manusia. Itulah kekuatan Nestle dan beliau berusaha belajar sehabis baik untuk terus cemerlang di dalam syarikat tersebut.

 

2. Keluar Nestle Namun Masih Bekerjasama.

Beliau keluar dari Nestle pada tahun 1977 dan kemudiannya membuka sebuah syarikat yang menjadi pengedar kepada semua produk Nestle, syarikat tersebut ialah Mofaz Dagang. Dari produk perasa hinggalah kepada produk komoditi, Tuan Haji Fauzy menjadikan Mofaz pada waktu itu sebagai syarikat mega dalam tempoh 26 tahun.

Sehingga tahun 2004, beliau masih memegang kuasa pengedaran produk Nestle hinggalah pada tahun tersebut Nestle mengubah polisi dengan menghantar produknya sendiri ke semua channel yang mereka ada.

Pada waktu ini, transaksi yang berjaya dilakukan ialah RM300 juta setahun. Lebih daripada itu, beliau menjadi anak melayu pertama yang menjadi pengedar kepada semua pusat beli belah, kedai runcit, kedai-kedai dan apa sahaja gerai yang menjual produk Nestle. Lebih membanggakan beliau ialah dapat belajar bagaimana untuk membuat deal dengan peniaga bukan melayu. Ini kerana semua pekedai dan pemilik pusat beli belah merupakan bukan anak melayu.

Selama 26 tahun menjadi pengedar kepada produk Nestle, empayar Mofaz Dagang semakin berkuasa dan menjadi kekuatan kepada peniaga-peniaga melayu.

 

3. Sudah Mula Buat Part-Time dari Pekerjaan Pertama.

Semasa beliau bekerja di Nestle lagi, beliau sudah pun membuat kerja separuh masa dengan menjual kereta. Ramai kawan-kawan beliau melakukan kerja yang sama dan beliau berusaha menjadi ‘spotter’ kepada mereka yang inginkan kenderaan sendiri.

Pada tahun itu katanya, kereta dijual dengan harga yang sangat murah, RM2,000 pun sudah boleh memakai kenderaan. Pada waktu ini, beliau sudah pun berjaya menjana jualan kenderaan dengan hanya membawa potensi pelanggan ke kedai-kedai menjual kereta.

Oleh kerana minat beliau sangat mendalam tentang kelajuan dan kereta-kereta laju, maka akhirnya beliau membuka workshop yang pertama di Seksyen 51 Petaling Jaya. Beliau masih boleh ingat yang kereta yang dijual pada peringkat awal dulu ialah Nissan Sunny dan Toyota KE.

Hari ini, sebut sahajalah kereta apa, mewah atau untuk suka-suka, atau yang berjuta-juta harganya, semua ada.

 

4. Berani Menyahut Cabaran.

Oleh kerana minat dalam dunia permotoran, dan beliau memberi andaian yang dunia automotif ini memerlukan suasana ‘leisure’, maka pada tahun 1990 beliau menjadi Franchise pertama bagi syarikat bot mewah Bayliner. Bayangkan kawan-kawan, pada tahun itu beliau sudah pun mempunyai 380 bot mewah untuk digunakan oleh para ahli perniagaan dan mereka yang mampu.

Hasil dari itu, pada tahun 1991, beliau dijemput oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai LIMA 1991 yang kali pertama diadakan. Dari situ, beliau menerima cabaran untuk membina sebuah institusi penerbangan pula di Langkawi dan beliau menerima cabaran tersebut dengan membeli 33 buah kapal terbang dan berjaya mendirikan akademi penerbangan tersebut (Mofaz Air Academy) dengan jayanya.

Pada waktu itu, demand terhadap pilot sangat tinggi menjadikan Akademi Penerbangan beliau ini sebagai tumpuan dan pusat pembelajaran bagi semua juruterbang dalam negara.

 

 5. Bermulanya AirAsia.

Pasti ramai yang tidak tahu yang mana AirAsia ini ditubuhkan pada tahun 1993. Mengikut Tuan Haji, beliau pernah ke USA sekitar tahun itu dan berjumpa dengan beberapa penerbangan di sana yang menggunakan penerbangan tambang murah dengan membeli tiket di dalam kapal terbang itu sendiri.

Oleh yang demikian, beliau berjumpa Tun Dr. Mahathir untuk membuka sebuah penerbangan tambang murah yang hanya menyediakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sahaja. Permohonan beliau berjaya dan beliau membeli 2 buah kapal terbang.

Kalian kena tahu, sebelum beliau membuka AirAsia, beliau ke Kansas City, USA dan menjalani latihan di sana untuk menjadi juruterbang. Beliau berjaya mendapatkan lesen pilot di sana dan menjadi manusia yang tahu serba serbi dalam hal menerbangkan pesawat.

Apabila AirAsia berkembang dan akhirnya kini sudah pun disenarai di Bursa, maka AirAsia dibeli oleh Tune Air pada tahun 2002 dan kini diketuai oleh Tan Sri Tony Fernandes.

 

 6. Kepentingan Visi Hidup.

Beliau menasihati saya, “Khairul, the most important thing in your life is your vision”. Katanya lagi, visi inilah yang akan menjadikan kita hidup setiap hari untuk berjaya.

Antara lain visi beliau ialah menjadi anak melayu yang bijak berniaga. Bukan sekadar itu sahaja, kena berani mencuba. Kesilapan anak muda sekarang ialah, apabila mencuba, terus takut untuk menghadapi risiko.

Risiko tetap perlu diambil. Kena tegas dan kena pandai gochoh (gaduh) untuk hidup. Beliau sempat bercerita tentang kesusahan hidupnya waktu membesar di Kelantan. Kata beliau, beliau tidak mahu bekerja kerajaan. Kerana, kerja makan gaji akan menjadikan beliau ada limitasi. Sedangkan perniagaan boleh dibuat di mana-mana dan ia akan menjadi-jadi jika kita berusaha dengan sebaiknya.

 

7. Berkawanlah.

Kata beliau, antara perkara yang buat beliau terus sukses walau perjalanannya tidaklah semua baik dan betul ialah beliau berkawan dengan semua orang. Tidak kira siapa, berkawan sahajalah. Buat baik dan tidak sesekali bermusuh dengan sesiapa.

Sekiranya hari ini kita kecewa dengan sesiapapun yang menyebabkan kita rugi dan sebagainya, kita tetap kena terus berjalan dan berkawan sahaja seperti biasa. Itu serah sahajalah kepada Allah, hukuman dan balasan bukan kerja kita, pesannya.

 

8. Pemasaran (marketing) = Innovasi.

Hari ini, beliau banyak menyaksikan anak muda berniaga. Cuma, tidak semua yang menjalankan aktiviti perniagaan ini dengan betul katanya lagi, kekuatan sesuatu bisnes ialah menginovasikan cara dan bagaimana produk itu akan sampai kepada pengguna.

Ada ramai anak melayu yang tidak suka tentang memasarkan produk. Sedangkan, aktiviti pemasaran akan menggandakan jumlah jualan. Antara kejayaan besar beliau semasa di dalam Nestle ialah membuat jualan sebanyak RM1 juta sehari secara konsisten selama bertahun tahun hanya dengan membuat perancangan pemasaran yang sentiasa ikut trend dan terkini di semua media yang mereka ada.

Ia termasuk di dalam kaca tv juga secara offline iaitu di khalayak ramai.

“youngster must learn the skill of marketing, then you will success!” Katanya tegas.

 

9. Tidak buat perkara yang kau tidak tahu.

Ada banyak hal di dalam dunia ini kita tidak tahu. Sebagai contoh, semasa beliau mula berniaga kereta mewah, beliau menceburi dunia penerbangan. Apa yang beliau buat ialah beliau belajar dunia penerbangan sebelum menjadi pemilik kepada syarikat penerbangan itu sendiri.

Tidak salah mahu mencuba perkara yang kita tidak ketahui, asasnya ialah perlu belajar dan mahir semahir-mahirnya tentang hal tersebut. Baru berniaga.

 

10. Masa Adalah Asset Yang Paling Berharga.

Beliau menasihati saya, pastikan setiap detik saat yang berlalu itu sangat berharga untuk diri sendiri. Kita hidup sekali sahaja dan fikirkan yang terbaik untuk diri. Kena ajar diri untuk berkeras tentang karier, tentang hal-hal kehidupan sendiri. Kena belajar untuk menjadi tegas dalam menjaga masa, juga  belajar untuk jadi manusia yang sangat-sangat menghargai masa.

Pada zaman ini, jika kita tidak menggunakan masa dengan betul, kita akan ketinggalan jauh. Jika mahu jadi usahawan, maka masa yang sesuai adalah hari ini walau semalam kita masih bekerja di syarikat orang lain yang sudah masuk tahun ke-20.

Usahawan adalah usaha besar bagi setiap orang yang mahu menceburinya. Dan apabila sudah masuk ke dalam dunia perniagaan, lebih banyak berusaha, lebih banyaklah yang mendapat.

 

Jika kalian ingin lebih tahu mengenai Mofaz, buatlah carian dan terus ke laman webnya www.mofaz.com

 

Khairul Hakimin Muhammad

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

One Comment

Leave a Reply

Leave a Reply

Sebelum Nak Melancong, Pastikan Kau Selesaikan Hal Ini Dahulu

Berhijrahlah Ke Kek Belang Kampung