, ,

Berbeza Agama Sepatutnya Jadikan Kita Lebih Saling Hormat

Orang kita asal nampak sahaja berbeza, mulalah muncul bibit-bibit benci. Sedangkan jika dilihat dalam-dalam, perbezaan itulah yang menjadikan kita saling kenal, saling berkasih sayang.

Emak saya meninggalkan tanah Cha ah pada pertengahan tahun 1969. Kemudian ke Pahang membina keluarga dengan abah saya.

Waktu itu abah antara orang yang dianggap berani kerana mengubah pemikiran orang kampung dengan mahu bernikah dengan wanita bukan sebangsa, bukan seagama.

Ya, belum lagi ada media sosial kawan-kawan.

Semalam, apabila saya sebut nenek saya sebagai mendiang, boleh tahan yang PM minta saya sebutkan sebagai arwah. Siap ada perli-perli yang saya masih mentah dalam menggunakan perkataan.

Tak mengapa, saya jelaskan yang kami memang berbeza agama. Kemudian, diamlah terus seribu bahasa. Minta maaf pun tidak. Pun tak apalah. Kalian memang sudah sah ahli syurga.

Orang kita cepat benar sensitif dengan perkara yang berbeda-beda. Lantas dengan laju juga beri nasihat yang bukan-bukan. Antara yang kami simpan baik-baik ialah seperti emak mahu ziarah keluarganya semasa perayaan Diwali.

Asal kami sebut sahaja, pasti akan keluar komen dan cakap “mengucaplah semula, kalian sudah murtad”. Haha.

Asasnya ialah emak mahu berjumpa adik beradiknya. Dan pada waktu perayaan sahajalah emak ada kesempatan berbuat begitu.

Lalu kami berundur dari berkongsi. Bimbang jadi perbalahan di media sosial sekali lagi.

Semalam, nenek pergi. Tinggalkan kami semua. Emak sampai sudah maghrib. Berjalan perlahan keluar dari kereta. Kemudian duduk di tepi keranda yang terbuka.

Emak mengusap perlahan tangan ibunya. Air mata turun juga perlahan-lahan. Lama emak duduk dan mengadap betul-betul wajah ibu yang melahirkan dan membesarkannya.

Lalu kalian PM,

“Tak payah cerita tuan, hal agama asing-asing ni tak payahlah nak sembang. Nanti memudaratkan”

“Islam tak ajar kita sibuk-sibuk lagi dengan agama orang lain. Fokus kepada syurga kita, kawan.”

“Nabi pun tak beriya bising-bising tentang Abu Talib, tuan. Diam-diam sahaja pun ok.”

Dan saya berdiam juga tak mahu kecoh dan berlawan dengan kalian. Yang saya boleh katakan ialah:

1. Pergi mengembara. Dan kuasai hubungan dengan orang asing. Apabila kalian sudah pulang, pastinya kalian lebih mudah berlapang dada dalam hal-hal berbeza agama dan budaya.

2. Perbanyakkan bergaul. Dengan jiran, dengan orang ramai dan sentiasa kelilingi dengan manusia-manusia yang pelbagai.

3. Banyakkan membaca tentang budaya luar. Ketahui dan selang selikan dunia menelaah dengan mendapatkan bacaan dari luar negara. Penulis luar negara. Lain penulis, lain coraknya.

4. Saling bantu sesama jiran. Saling ketahui apa yang berlaku disekeliling. Dengan banyak menolong, Tuhan beri keluasan hati. Tidak memilih dan langsung tidak kisah siapa yang akan dibantu.

5. Elakkan bergaul dengan kaki rasis. Sekiranya mereka suka melabel bangsa-bangsa tertentu, tegur terus.

6. Elakkan juga membaca akhbar atau media yang bersifat membangunkan satu-satu bangsa dengan membandingkannya dengan bangsa lain. Ia juga memudaratkan.

7. Banyak-banyak berlapang dada. Buatlah kajian serba sedikt tentang budaya dan kehidupan bangsa lain. Sejak berpuluh tahun kalian tinggal bersama dengan berbeza bangsa di negara kita ini, pernahkah kalian google “chinese culture” atau “indian culture?”

Sedang mereka berusaha berbahasa melayu dengan baik, kita pula berundur dan takut-takut untuk mendekati mereka. Haih..

Begitulah.

Berbeza sepatutnya jadikan kita lebih saling hormat. Dan dari situlah terbitnya rasa tolak ansur dan saling berkasih sayang.

Hidup pun aman. Kita semua pun bahagia.

Kami semua ok. Alhamdulillah. Terima kasih kerana tegur dan ambil berat. Sayang semua.

P/s: Gambar emak dicium kawan baik nenek kami yang rindukan emak dari kecil dulu lagi.

 

Khairul Hakimin Muhammad

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *