in ,

Belasungkawa: Melihat Cikgu Shahnon Bekerja

Gambar : http://itbm.com.my

Ketika buku SHIT diterbitkan, aku baru 14 tahun. Aku tahu Abah beli, dan sejak dari itu aku mula mengulit buku-buku Cikgu Shahnon. Sehingga hari ini kita semua masih ingat dengan segar busung kaki Lahuma akibat terpijak duri nibung, sampai gilanya Jeha, sang isteri yang tersiksa walau selepas 51 tahun buku Ranjau Sepanjang Jalan diterbitkan. Hari ini penulis kita tidak lagi menulis cerita orang kampung melawan takdir, atau petani melawan perangai kapitalis seperti ditukang Cikgu Shahnon ini. 51 tahun dan kita masih berpegang erat, dan berasa begitu rapat dengan seksanya Senah menjaga adik beradiknya setelah ibunya gila.

Tetapi aku sendiri tidak pernah berpeluang ketemu Cikgu Shahnon, seperti Mutalib Uthman, atau Faisal Tehrani yang berpeluang belajar sendiri darinya.

Yang aku tahu, sosok ini bukan seperti sosok sasterawan anugerah yang lainnya. Karyanya melekat dalam kepala dan hati kita kerana ianya berbicara untuk masyarakat. Kata Cikgu Shahnon dalam Debu Merah, inti teras kesusasteraan ialah manusia dan kemanusiaan. Kerana itu juga agaknya Cikgu Shahnon bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen pada 1999 di P13, Sik, Kedah di bawah bendera PAS.

Dari Arqam sampai PAS, dari Tivi sampai Tok Guru, dari Rentung sampai Mahabbah, karektor melawan Cikgu Shahnon keras. Dan karektor ini tertonjol melangkaui penulisan atau sastera, tetapi melalui tindakan. Nama Shahnon Ahmad hari ini bukan lagi sekadar watak sasterawan, tetapi watak perlawanan. Dan aku belajar dari jauh, sedikit demi sedikit bahawa kerja menulis bukan sekadar kerja suka-suka atau kerja glamour.

Melalui Cikgu Shahnon aku belajar, menulis harus politikal. Penulis harus berpendirian. Dan inilah juga yang diajarkan berkali-kali kepada aku oleh Faisal. Hari ini ramai orang ingin menulis kerana fikir kerja menulis ialah kerja seronok-seronok, kerja masa senggang dan hobi masa lapang. Mereka lupa kerja menulis ialah kerja tanggung dan kerja jawab. Kita semua jadi lupa di sebalik keseronokan pesta buku dan majlis tanda tangan, ada cita-cita bangsa yang harus dibangunkan, ada harapan masyarakat yang perlu dilunaskan.

Hari ini, kisah Melayu miskin misalnya sudah dilupakan. Dimana-mana, di dalam buku di skrip televisyen dan di media online, Melayu sudah jadi kaya dan bahagia. Penulis Melayu sendiri tersihir dan termakan santau ideologi ini sedangkan realitinya ratusan ribu orang kampung yang anaknya dipenjara kerana menagih dadah di kampung-kampung, adalah Melayu miskin.

Dalam sebuah pengantar pada 1989 untuk buku Seketul Hati Seorang Pemimpin, Shahnon menulis; “Saya masih juga yakin bahawa penekanan yang mengharu dan menggelisahkan jiwalah yang menjadi unsur yang mengilhamkan sesebuah karya,”. Tetapi hari ini penulis muda menulis bukan lagi kerana gelisah dengan bangsa atau negaranya, tetapi kerana ‘fun-fun’ dan kerana dijanjikan deposit bayaran awal royalti oleh penerbit.

Dan kisah perlawanan Cikgu Shahnon merentas spektrum dari kritik sosial masyarakat, agama sehingga kepada kritik pemimpin dan politik. Dalam Sutan Baginda Cikgu Shahnon mengingatkan; “Itulah yang nampaknya berlaku dalam iklim politik gelabah & hodoh sekarang ini sehingga segala perlatan diperkakaskan termasuk hati sendiri, maruah sendiri, agama sendiri dan isteri suami sendiri,”. Dan pasti sosok seperti ini menjarak dan menjauh dari sebilangan sasterawan anugerah yang lain, yang tidak mempunyai keberanian untuk mengkritik kebejatan moral bangsa dan kebobrokan institusi negara.

Dari jauh itulah aku belajar, melihat dan membaca Cikgu Shahnon, dan cuba menirunya untuk jadi berani, jadi kuat dan jadi puitis ketika menulis. Tetapi pelajaran paling besar dari jauh ini sudah tentulah bahawa; kerja menulis haruslah untuk masyarakat. Bukan untuk diri, bukan untuk gaji lebih-lebih bukan sekadar kerja ‘fun-fun’.

Begitulah aku melihat arwah Cikgu Shahnon, yang akan terus hidup dalam diri kita semua sebagai satu naratif bahawa masyarakat kita pernah susah, dan seperti dihidangkan di dalam Srengenge bahawa kita juga pernah percaya kepada gunung & animisme, sepertimana kita percaya kepada Internet & Facebook pada hari ini.

ZF Zamir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Video Hina Tokan Dadah Menyebabkan Selebriti Ini Ditembak Mati

Cara Tuntut Insuran Pos Jika Pihak Tengah Panjang Tangan