in ,

Belajar Bahasa Melayu Di Jerman. Kau Biar Betul?

Kenapa saya memilih Jerman untuk belajar bahasa Melayu? Apa yang menarik minat saya ke sana? Apakah tantangan yang harus saya tempuhi? Adakah Jerman berjaya mengubah saya? Karangan kecil ini akan menjawab persoalan di atas satu persatu.

Sebelum saya memutuskan untuk ke Jerman, saya mengambil masa hampir 2 tahun mencari tahu guru yang paling cocok membimbing saya dan segala keperluan bagi memulai pengajian doktor falsafah saya. Pencarian saya bermula dengan Belanda kemudian ke Australia disusuli setelahnya United Kingdom dan akhirnya membawa saya ke Jerman. Ini antara sebabnya mengapa saya memilih Jerman.

1. Sarjana linguistik historis.

Saya memilih Jerman kerana seorang sarjana linguistik historis iaitu Prof. Dr. Bernd Nothofer. Buku karangan beliau yang saya tekuni ketika di S1 begitu menarik perhatian saya. Selain Pak Bernd, naskah-naskah penting untuk kajian saya turut tersimpan rapi di bibliothek universiti.

2. Syarat kemasukan yang tidak merumitkan.

Perkara paling penting dan utama sebelum memulakan pengajian di mana-mana universiti adalah mengetahui dan memahami syarat-syarat kemasukan serta perkara asas tuntutan universiti yang dimohon.

Syarat Am

Syarat am universiti saya sama seperti universiti di tanah air iaitu harus tamat/memiliki ijazah sarjana dan sarjana muda yang diiktiraf bagi pengajian peringkat doktor falsafah (Promotion).

Syarat khusus

Syarat khusus ini tergantung universiti pilihan dan program masing-masing. Saya ke sini untuk bidang Pengajian Asia Tenggara pengkhususan linguistik sejarawi bahasa Melayu. Maka syarat khusus yang perlu saya penuhi adalah memiliki atau pernah mengikuti bahasa klasik. Malangnya saya tidak pernah mengikuti kursus sedemikian.

Tetapi usah khuatir, kursus ini boleh diambil di universiti sendiri. Atau jika sudah pernah belajar/mengikuti kursus berkenaan, perlu dilampirkan bukti. Syarat khusus ini penting untuk tujuan graduasi kelak. Kalau tidak mungkin bermasalah. Apa yang diperlukan ketika memohon universiti di sini?

  1. Ijazah sarjana dan sarjana muda yang diiktiraf.

Pastikan kedua-dua ijazah diiktiraf. Khuatir tidak diiktiraf di Jerman. Jangan sekali-sekali ijazah ‘atas talian’!

2. Surat penerimaan penyeliaan daripada penyelia.

Paling penting jika ingin melanjutkan pengajian peringkat Ph.D. Harus dimulai (selepas ada proposal cadangan penyelidikan) dengan mencari penyelia yang berminat dengan tajuk kajian. Ini paling utama. Andai sudah ada penyelia yang bersetuju, proses selanjutnya akan lebih mudah. Di tempat saya belajar (Goethe University Frankfurt) ini ada semacam pusat pengurusan siswazah yang khusus menguruskan calon doktor falsafah (GRADE namanya). Jika belum menemukan penyelia, mereka akan bantu, tapi prosesnya mungkin memakan sedikit masa. Saya yakin universiti lain juga ada pusat pengurusan yang hampir sama. Saya cadangkan agar selidiki dahulu maklumat universiti pilihan.

iii. Proposal penyelidikan.

Pokok paling utama sebelum memulakan Ph.D. dengan status WAJIB adalah menyediakan cadangan penyelidikan walau hanya 5 lembar. Ini penting kerana proposal adalah lakaran ide kepada pokok penyelidikan kita selain akan memudahkan pencarian penyelia dan penerimaan penyelia. Kenapa penerimaan? Kerana apabila sudah memiliki ide pokok untuk penyelidikan, penyelia akan nampak dan dapat memahami jalur kajian dan arah tuju  kajian. Semacam ‘initial idea’ penyelidikan kita.

Kebiasaannya, andai proposal sudah baik, kajian boleh diteruskan dan langsung dimulai. Tetapi andai perlu penambahbaikan, nah; di sini penyelia memainkan peranan. Walau bagaimanapun, peranan penyelia hanya akan dimulai apabila sudah mula mendaftar dan sudah jelas status pelajarnya. Paling utama; ide pokok harus ada.

  1. CV

Ini diperlukan saya dan diminta pihak pendaftar ketika saya memulakan proses mendaftar. Seeloknya disediakan walau mungkin sahaja tidak diminta. Lebih baik bersedia dengan sebarang kemungkinan diminta secara mendadak.

   2. Transkrip akademik (bagi dua ijazah di atas).

Salinan sahaja. Yang asli dibawa dan ditunjuk ketika mendaftar. Dan kerana itulah juga, diingatkan agar dua ijazah sebelumnya bukan daripada atas talian atau yang tidak diiktiraf universiti.

 

3. Bahasa pengantar

Pengajian peringkat doktor falsafah kebiasaannya boleh menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan penulisan. Calon diberi 2 pilihan bahasa sama ada bahasa Jerman atau bahasa Inggeris. Jika baik bahasa Jermannya; nah ditulis saja dalam bahasa Jerman. Jika tidak, bahasa Inggerislah pilihannya. Apa syarat untuk bahasa Inggeris?

Saya jelaskan situasi saya terlebih dahulu. Saya menjalankan kajian tentang bahasa Melayu abad ke-16. Saya tidak boleh berbahasa Jerman baik komunikasi mahupun penulisan. Justeru, saya memilih bahasa Inggeris untuk menulis desertasi saya. Saya pernah memohon untuk menulis dalam bahasa Melayu; malangnya tidak dibenarkan. Ada keterbatasan tertentu. Penjelasan mudah penyelia saya; khalayak pembaca lebih luas jika menggunakan bahasa Inggeris dalam penulisan. Ujian IELTS/TOEFL dan sejenis dengannya MUNGKIN diperlukan. Ini sekali lagi tergantung universiti mana yang dipilih dan situasi permohonan setiap individu.

Rezeki saya, kedua ujian ini tidak diminta dan tidak menjadi syarat kemasukan. Semaklah dengan tekun syarat bahasa ini. Cadangan saya, seeloknya ambillah ujian bahasa Inggeris. Untuk memudahkan urusan pada masa depan selain juga sebagai menambahbaik penguasaan bahasa Inggeris kita.

 

4. Biasiswa/Kewangan

Rezeki ditaja MARA. Saya ke sini di bawah tajaaan MARA daripada kelompok biasiswa Pasca Siswazah tahun 2014. Setahu saya, MARA tidak lagi memberikan tajaan seperti kelompok saya. Yang ditawarkan kini adalah pinjaman dengan bank dan MARA sebagai orang tengah; pemudahcara. Boleh rujuk laman sesawang MARA untuk maklumat terkini. Boleh juga disemak biasiswa lain yang mungkin menawarkan tajaan ke Jerman. DAAD misalnya.

Apa yang menarik minat saya untuk ke Jerman? Dengan kekangan bahasa Jerman dan beberapa kekangan lain, saya kuatkan juga hati untuk ke Jerman. Ini antara perkara menarik tentang Jerman sebagai negara pilihan menyambung pengajian.

  1. Tiada yuran pengajian

Ini maklumat yang umum ketahui bahawa Jerman tidak mengenakan yuran pengajian pada para pelajar termasuk pelajar antarabangsa. Setiap semester pelajar hanya perlu membayar “student contribution” atau istilahnya “Semesterbeitrag“. Ini juga tidak mahal, sekitar 200-300 EUR lebih untuk setiap semester. Jumlah ini tergantung universiti pilihan masing-masing.

Kenapa harus membayar “Semesterbeitrag“? Satu perkara yang harus diambil perhatian adalah  “Semesterbeitrag” ini membolehkan pelajar menggunakan pengangkutan awam percuma, masuk ke tempat ‘terpilih’ percuma, ada diskaun untuk pembelian barang/perkhidmatan tertentu dan banyak kelebihan lain. Jumlah yang dibayar dalam “Semesterbeitrag” tidak sebanyak yang perlu dibayar berbanding tanpa “Semesterbeitrag”. Contohnya tiket tren dari Wiesbaden Hbf ke Frankfurt Am Main Hbf berharga 16.10€ sehala. Jumlah yang besar bagi seorang pelajar.

  1. Sara hidup

Kos sara hidup di sini juga murah. Beras sekilo 0.84€! (Lihat jenis beras). Keperluan asas rata-rata murah dengan pilihan kedai yang pelbagai dan tawaran yang juga relatif murah. Jika elaun bulanan sekitar 700€-900€ sudah lebih dari mencukupi. Syaratnya janganlah setiap minggu atau setiap bulan ‘joli katak’.

  1. Insurans

Ini antara keperluan asas jika mahu belajar/tinggal di sini. Ada perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan pengajian dan memohon insurans. Umur dan tahap pengajian. Pelajar di sini kebiasaannya menggunakan ‘public health insurans’ atau “Krankenversicherung”. Murah dan tidak ribut jika berlaku kecelakaan. TAPI jika berumur lebih 30 tahun atau telah menamatkan 14 semester pengajian, maka bayaran setiap bulan akan naik sekali ganda jika pada awalnya menggunakan insurans kerajaan. Tetapi jika waktu memulakan pengajian, calon sudah berumur 30 tahun maka pilihan yang ada ialah insurans swasta. Dan jika tahap pengajian adalah Ph.D, pada keadaan tertentu, insuran kerajaan juga tidak menerima pemohon sebegini. Ini tergantung situasi pemohon.

    4. Penginapan

Sekali lagi umur jadi taruhan! Jika di bawah 30 tahun, boleh memohon kediaman melalui “Studentenwerk” (seperti Pusat Pengurusan Pelajar di Malaysia) atau pihak bersekutu yang turut menyediakan penginapan untuk pelajar. Jika tidak dapat memohon di situ maka boleh memohon lewat laman sesawang  yang menawarkan apartmen secara berkongsi atau mandiri.

  1. Cara penyeliaan

Peringkat Doktor Falsafah di sini sedikit berbeza dengan tempat lain tapi masih tergantung penyelia. Umumnya mereka (penyelia) lebih memberikan kebebasan kepada pelajar. Contohnya tiada waktu penyeliaan khusus. Saya berkongsi sedikit daripada pengalaman saya. Penyelia saya menetapkan harus bertemu setiap minggu dengan dapatan terkini. Ada teman saya yang penyelianya memberikan kebebasan dan jika ada yang mahu dibincangkan maka boleh mengisi borang temujanji. Setiap sesi 15-30 minit. Bergantung ketetapan.

Ide kita tidak pernah dipersoal atau diminta untuk mengikut ide penyelia. Bebas kata kuncinya. Mereka memimpin kita dan bersama-sama dengan kita dalam kajian. Saya memilih Jerman kerana hal yang ini. Sebelum ini saya pernah mendapat tempat di Sheffield University dan La Trobe University (Australia). Keduanya mahukan saya mengikuti ide penyelia dan keterhadan yang ada pada penyelia (contohnya bukan bidang kesukaan dsb). Tapi jangan khuatir, ini tergantung tempat dan keadaan universiti serta penyelia.

  1. Bahan rujukan

Saya meneliti kamus Melayu-Inggeris pertama (Abad ke-16). Kamus ini juga ada di Malaysia (UKM). Tapi saya memilih Jerman kerana bahan rujukannya lebih banyak dan meluas. Mereka masih merujuk beberapa RU dari Malaysia (UKM,UM,USM contohnya). Tapi ada yang tiada. Maksudnya saya bahannya lebih lumayan di sini.

  1. Kepakaran

Seperti yang telah saya sebutkan di awal karangan, penyelia saya merupakan antara penyebab utama saya ke sini. Dia seorang pakar bahasa Austronesia terutama Indonesia dan Malaysia. Pakar linguistik sejarawi. Penulis buku Dialek Melayu Bangka dan Proto-Malayo-Javanic yang terkenal itu. Kata mudah; saya belajar dari ahlinya sendiri, tuan empunya hipotesis itu sendiri. Dia antara yang tertinggi maqam ilmu linguistik historis untuk bahasa Melayu (Indonesia & Malaysia). Di Malaysia juga ada- Prof.Dr.James T.Collins di UKM. Tapi saya memilih Pak Bernd kerana ‘ada yang tiada’. Jerman, InsyaAllah, masih kaya dengan ilmuan yang begitu menghargai bidang ilmunya yang adil terhadap ilmunya.

  1. Kemudahan pengajian

Paling utama untuk calon doktor falsafah adalah suasana ketika menulis. Pengangkutan awam yang baik, kemudahan universiti yang baik, kejiranan awam yang baik, penerimaan agama berbeza yang baik, sokongan moral dan spiritual yang sangat membantu. Jerman, InsyaAllah ada ini semua. Kalau ada satu dua yang jelir lidah atau jeling atau meludah kita kerana status orang asing itu biasa. Tetapi hal lain mereka bagus. Universiti saya sebagai contoh sangat mendukung pelajar dengan status ibu-bapa. Kemudahan untuk pelajar dengan status ini semua tersedia dari taska untuk anak-anak hingga ruang belajar yang lebih selesa tapi masih bersama anak juga ada. Boleh main dengan anak sambil buku masih juga terbaca!

  1. Komuniti Serumpun

Bilangan pelajar Malaysia di Frankfurt tidaklah seramai tempat-tempat lain di Jerman. Di sini istilahnya adalah tempat yang baik untuk meruntuhkan taksub negara dan negeri yang menebal dalam diri kita. Jerman mengubah ‘aku’ kepada ‘kita’ dan ‘kami’. Jangan khuatir. Walau jumlah anak Malaysia yang tidak ramai di sini, tapi masih ada dari negara lain di sini. Indonesia, Brunei, Singapura, India, China, Bangladesh, Nepal, Jepun – ini antara yang pernah saya temui. Jika masih kurang, boleh ditambahkan lagi dengan orang setempat.

Orang Jerman sendiri siap menghulur salam buat kita. Jangan didengar kata-kata bahawa orang Jerman itu kasar, tidak mesra, sombong atau apa saja. Sesiapa juga andai baru kali pertama kali berkenalan pasti akan menjarakkan diri untuk memberi ruang kepada perkenalan itu ‘hangat’ sebelum menjadi lebih akrab.

 

  1. Fantasi

Ada dua orang pelajar calon doktor falsafah di sini. Keduanya dalam bidang Pengajian Asia Tenggara. Satunya dibidang sastera dan satu lagi dibidang bahasa. Keduanya mengkaji subjek berkaitan Malaysia. Keduanya memulai fantasi mereka di Malaysia dan datang ke  Jerman untuk merealisasikannya. Mimpilah yang indah-indah. Berfantasilah hingga ke langit luas sana. Datanglah ke Jerman kerana  Jerman akan menterjemahkannya ke alam nyata.

Apakah tantangan yang harus saya tempuhi? Adakah Jerman berjaya mengubah saya? Jawapannya ya. Daripada emosi sehinggalah kepada ilmu bahasa itu sendiri. Daripada seorang ‘polis bahasa’ kepada seorang yang belajar untuk berlapang  dada menerima warna-warni bahasa Melayu yang baru muncul  saban hari. Daripada seorang yang  kurang senang dengan bahasa yang digunakan dalam  beberapa buah buku daripada rumah penerbitan bebas kepada seorang yang melihat itu sebagai suatu keperluan kepada bahasa Melayu yang lebih dinamis.

Saya memulakan langkah ke Jerman dengan ujian yang saya kira berat sekali untuk saya tanggung. Saya terbang ke Jerman setelah 48 hari melahirkan anak sulung saya. Genap seminggu saya di Frankfurt, bapak saya pulang bertemu Tuhan kerana kanser darah yang dideritainya. Sebulan kemudian saya disahkan mengidap batu hempedu dan harus segera membuang hempedu saya. 16 bulan saya di sini dan pulang ke Malaysia untuk cuti musim panas, mak saya pula dipanggil Tuhan. Semua ini membunuh emosi dan ketahanan saya. Tapi saya harus tetap mengharung jalan yang saya sendiri pilih. Ada janji yang perlu saya lunasi. Ada mimpi yang perlu saya realisasi. Dan Jerman serta seluruhnya (InsyaAllah) bakal membantu saya menterjemahkan semuanya.

Ayuhlah ke sini. Datanglah dan rasai sendiri Jerman itu bagaimana rupa dan rasanya. Belajar atau berkerja di Jerman waima melancong ke sini; kesemuanya memerlukan kita beradaptasi baik dengan persekitaran.

Orang belayar ke Majapahit,

Anak katak tepi ruang;

Untung  tuah kalau baik,

Mana tercampak tidak terbuang.

 

Willkommen in Deutschland!

 

Nor Azizah Othman

 

Nota kaki: Nor Azizah Othman merupakan pelajar Malaysia tajaan MARA yang sedang menyambungkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang Pengajian Asia Tenggara pengkhususan linguistik sejarawi bahasa Melayu.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kenapa Mesti Merungut Jika Boleh Buat Pilihan?

Kau Rasa Anak-Anak Kelainan Upaya Ini Tak Akan Berjaya Dalam Hidup?