in ,

Balada Spenda Jalur Gemilang

Pada hari ini, 9 warga Australia yang memakai pakaian renang bermotifkan bendera Malaysia telah mengaku bersalah mengganggu ketenteraman awam di litar F1 pada Ahad baru-baru ini. Mereka menanggal semua pakaian mereka dan menunjukkan speedos yang mempunyai Jalur Gemilang itu untuk meraikan kemenangan kali pertama seorang warga Australia, Daniel Ricciardo, dalam musim Formula 1 tahun ini.

Bagaimana pun hakim di Mahkamah Sesyen yang mengadili mereka melepaskan mereka daripada dibicarakan tanpa mengenakan apa-apa hukuman. Mereka hanya diberi amaran. Peguam kepada semua warga Australia ini mengatakan kesalahan mereka adalah remeh dan mereka telah menunjukkan rasa bersalah. Hakim telah menggunakan Seksyen 173A, Kanun Kesiksaan (ini nama undang-undang untuk kesalahan jenayah, bukan macamana nak siksa orang) untuk melepaskan mereka. Seksyen 209 telah digunakan untuk mendakwa mereka kerana mengganggu ketenteraman awam (public nuisance).

Ramai yang marah kerana polis menahan pemuda-pemuda ini. Bila mahkamah lepaskan mereka sebegini maka adakah bermakna polis telah bertindak tergesa-gesa? Adakah tindakan mereka ini sesuatu yang menunjukkan Malaysia terlalu sensitif (ada yang buat laporan polis pada hari itu)? Sebelum kita menghukum polis (dan rakyat Malaysia yang marah) dan mengatakan kita terlalu rigid dan tak faham kebebasan yang sepatutnya kita beri kepada semua, bagaimana pula dengan empat rakyat Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia yang telah disoalsiasat (tidak didakwa) kerana membawa 6 buku berlambang komunis (digelar palu arit oleh Bahasa Indonesia)? Engkau boleh baca apa makna lambang komunisme ini di Apemazing.com, tulisan Lucius Maximus ~ Ada Apa Dengan Palu Arit. Bagaimana pula yang marah jika lambang swastika dipakai atau dipamerkan kerana kematian jutaan umat manusia satu masa dahulu?

Sejauh manakah bendera sesuatu negara patut dihormati? Hanya di negara itu saja atau di mana-mana? Pada masa ini, di Australia, debat mengenai apa yang terjadi kepada sembilan orang ini sedang hangat berlaku di media sosial dan pelbagai media perdana. Ia terbahagi dua, yang menyokong pesalah laku dan yang mengatakan Malaysia berhak menangkap mereka. Sebenarnya, pemakaian bendera sebagai selipar dan pakaian banyak berlaku di Malaysia. Cuma mungkin orang Malaysia sensitif dengan pakaian dalam (tidak kira untuk menutup apa pun kemaluan). Ia masih lagi subjek debat di merata dunia. Sejauh mana kita perlu hormat dengan lambang atau mengelak daripada memakainya?

Dalam undang-undang ada pepatah latin ~ ignorantia legis neminem excusat, yang bermakna, tidak tahu undang-undang tidak bermakna engkau boleh terlepas daripadanya. Pepatah Melayu pun ada makna yang sama – masuk ke dalam kandang kambing, mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau, menguak.

Khairul Anuar

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

RM117 Juta VS Rakyat Malaysia. Siapa Yang Akan Menang?

Melawan Caj Pihak Bank