in ,

Baca 4 Buku Seminggu Untuk Tulis 11 Manuskrip Setahun

Dalam tempoh hampir setahun ini saya mungkin jadi kaunter pertanyaan bagaimana saya menulis dengan laju dan alhamdulillah berjaya mendapat tempat di hati beberapa rumah penerbitan.

Kebiasaannya saya jawab, saya akan membaca bersungguh-sungguh. Kemudian baru saya tulis. Saya sudah disiplinkan diri untuk menulis sekurang-kurangnya 3,000 patah perkataan sehari. Dan, ia menjadi apabila saya membaca buku-buku seperti ini:

1. Naskhah dari Indonesia. Sudah jadi kewajipan bagi saya untuk membaca sekurang-kurangnya dua naskhah dari Indonesia dalam tempoh satu minggu. Biasanya saya gemar tulisan dari Andrea Hirata, Wiwid Prasetyo, Tere Liye, Eka Kurniawan, Benny Arnas, Emha Ainon Nadjib, Pandji Pragiwaksono, Buya Hamka, Dwitasari, Hanum Salsabila Rais dan ramai lagi.

Keberkesanan membaca naskhah-naskhah dari tulisan mereka ini ialah kita akan perbanyakkan kosa kata. Lebih lagi, penulisan mereka punya 60-70% daya visual yang tinggi.

Story telling, menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai dengan apa yang digambarkan memberi ruang faham yang lebih mudah dan jelas.

Ramai penulis dari negara yang punya jutaan buku ini punya kekuatan luar biasa dari sudut penulisan. Amat-amat jarang kali kita bertembung dengan suasana klise seperti novel-novel di negara lain.

Secara peribadi saya anggap penulisan mereka sentiasa diperbaharui dan cocok dengan pemikiran semasa.

Naskhah paling saya gemar dan sentiasa menjadi rujukan apabila saya menulis novel ialah:

Cinta di dalam gelas (Andrea Hirata), Di bawah lindungan Kaabah (Buya Hamka), Orang Miskin dilarang sekolah (Wiwid Prasetyo).

2. Buku Strategi Peperangan. Saya cukup gemar membaca naskhah-naskhah yang bersifat strategi untuk memenangi sesuatu pertempuran. Ia cukup bagus untuk saya berfikir dengan lebih baik apabila menghadapi kesusahan atau kesukaran.

Antara naskhah yang saya cukup suka ialah Sun Tzu, Art of War, The Art of Islamic War (Sohihul Hassan), Perang Muhammad (Selawat) – (Dr. Nizar Abazhah), Napoleon dan Strategi Perang Moden (Conrad H. Lanza), Muhammad Al-Fateh 1453 (Felix Y. Siauw) dan banyak lagi.

Secara peribadi, membaca buku yang bersifat fakta tentang strategi memperoleh kemenangan ini memberi daya fikir yang berbeza dengan kawan-kawan yang lain. Kita mungkin akan lebih banyak bertenang, lebih banyak rasional, dan lebih positif untuk mencabar diri dalam arus zaman yang berbeza-beza.

Naskhah ini akan membawa kalian kepada dunia sebenar (reality) yang perlu ditempuh melalui ilmu-ilmu yang kita ada.

Saya beri contoh, kebanyakkan strategi pemasaran saya banyak menggunakan teknik dari buku Sun Tzu. Dan ia memang cukup berkesan.

3. Travelog. Naskhah yang bersifat perjalanan ke satu-satu tempat ini juga wajib untuk saya baca supaya ilmu dan pengetahuan saya berkembang untuk menulis.

Secara kasarnya saya sudah dapat bayangkan bagaimana kehidupan dan budaya manusia yang ada di kawasan-kawasan yang disebutkan di dalam penulisan-penulisan mereka.

Antara naskhah yang bagus dan sentiasa menjadi rujukan saya ialah Di Hamparan Shamrock (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil), I Am Backpacker: Europe (Khairul Abdullah), Koleksi The Naked Traveler (Trinity), The Longest Way Home (Andrew McCarthy), BerlariDari Jogja Untuk Menemukan si Dia di Christina (ZF Zamir) dan banyak lagi.

4. Novel yang bersifat non fiksi. Aha, yang ini pasti kalian pelik, bukan? Ya. Ada banyak naskhah-naskhah yang berada di pasaran punya kekuatan luar biasa yang ditulis dengan garapan ingatan masa kecil dan kemudian dinovelkan. Ia sememangnya 100% fiksi. Cuma, ia ditulis dengan gaya bukan fiksi.

Sebagai contoh jika di Malaysia kita ada naskhah Kunang Pesisir Morten (Raiha Bahaudin), yang ditulis dengan cukup terperinci tentang Kampung Morten yang terdapat di Melaka.

Kisah Dhiya yang ditulis oleh Puan Raiha akan buat kita terfikir adakah itu kisahnya sendiri yang telah dinovelkan kemudian menjadi novel terpilih dalam 100 buku yang wajib dibaca oleh rakyat Malaysia.

Sama juga dengan Dentang (Saharil Hasri Sanin), Mengopi Bersama Ayah (Rafi Harumin), Laskar Pelangi (Andrea Hirata), Merantau ke Deli (Buya Hamka), 100 Foot Journey (Richard C. Morais) dan banyak lagi.

5. Buku-Buku Non Fiksi. Buku seperti ini semakin digemari hari ini. Saya juga begitu. Saya mahu baca tentang pengalaman yang membina. Bagaimana satu-satu perkara itu terjadi dan bagaimana ia diselesaikan dengan ilmu yang mereka ada.

Paling menusuk kalbu ialah bagaimana ia menyelesaikan polemic masyarakat dengan kisah dan cerita yang baik-baik. Sebagai contoh, kompilasi Diagnosis yang ditulis oleh para doktor, Be A Giver (Mufarwa Farid), Apa Habaq Orang Muda (Che Det dan Mat Rodi), Masharakat Melawan Mahasiswa (ZF Zamir), Membedah P. Ramlee (Daniyal Kadir), Lelaki Terakhir Menangis di Bumi (Musa Nuwayri), Terima Kasih Si Babi Hutan (Lepat) dan banyak lagi.

Kisah-kisah mereka ini dibukukan untuk menjadi inspirasi kepada masyarakat. Dan ia sememangnya berbaloi untuk dibaca. Ia boleh memberi aura dan kesan positif kepada kalian.

6. Selain dari semua ini juga, saya ada membaca buku-buku sejarah. Ia penting untuk menguatkan minda saya bagi mengingati fakta-fakta yang sedia ada untuk saya rujuk.

Waktu saya membaca? Semuanya masa saya lapang. Kalian mungkin hanya nampak saya banyak bermain di Facebook. Hakikatnya, semasa bermain itu juga, saya masih membaca.

Membaca empat buku seminggu menjadikan saya lebih banyak menulis dan semakin senang berjumpa perkataan yang sesuai untuk saya gunakan dalam setiap penulisan.

Paling saya suka ialah ia memudahkan saya dalam menaip isi setiap jalan cerita yang ingin saya sampaikan.

Ia mungkin sesuai dengan saya. Mungkin juga sesuai dengan kalian. Cubalah dan mungkin ia bagus untuk penulisan kalian juga.

Buku merupakan pelaburan paling bijak untuk menguatkan otak bekerja. Dan apabila ia sudah terbiasa dengan gear lima, enam dan tujuh, apalah sangat mahu membawanya dengan kelajuan 200-300 kilometer sejam dengan sebelah tangan.

Dan kesemua yang saya ceritakan inilah petua saya untuk dapat menulis 10-11 manuskrip dalam setahun.

Selamat membaca, kawan-kawan. Semoga menginspirasi dan kembali menulis.

 

Khairul Hakimin Muhammad

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Walau Apapun, Anak Muda Wajib Stay Relevan

Kemunduran Generasi Kini Bermula Dari Kesilapan Generasi Terdahulu