in ,

Apa Yang Disampaikan Dari Telefilem Pok Ya Cong Codei?

Sekarang adalah trend ramai orang mengulas dan membincang tentang telefilem Pok Ya Cong Codei. Dengan tarikh mula tayangan pada 20 Januari lepas, drama itu masih hangat diperbincangkan sehingga sekarang. Perbincangan tidak lagi berlegar tentang siapa hero dan heroinnya atau terharu dengan romantisnya watak dalam cerita. Tapi perbincangan daripada naratif filem, simbolisme gambar-gambar tokoh yang digantung di dinding rumah, sehinggalah membawa kepada hukum-hakam tentang hukum duit upah yang diterima oleh Pok Ya dan pemberiannya kepada orang lain.

Sebuah drama televisyen yang bukanlah sebuah telefilem yang berat isinya pun tetapi dibedah sehingga sedemikian rupa adalah sesuatu yang cukup “wow”. Saya sebenarnya masih merenung-renung di mana titiknya pada telefilem itu yang menyebabkan ia diangkat sedemikian rupa dalam masyarakat. Adakah sebab telefilem ini menayangkan tentang realiti masyarakat? Adakah sebab loghat Kelantan menjadi kegemaran pendengaran masyarakat? Adakah sebab maknanya mendalam? Adakah sebab Sabri Yunus? Atau sebab apa?

Saya telah menonton drama ini daripada awal. Kalau tanyakan pada saya, saya suka menonton drama ini sebab ianya adalah Sabri Yunus. Saya memang mengikuti apa sahaja drama lakonannya seperti saya tidak akan terlepas peluang kalau drama itu dilakonkan oleh Eman Manan dan Wan Hanafi Su. Sebab saya tahu kualiti lakonan mereka dan betapa hidupnya watak-watak yang mereka lakonkan. Jadi ya, bermakna faktor pelakon juga mempengaruhi.

Kedua, saya hanya tahu tentang kewujudan telefilem ini selepas ia tiba-tiba hangat menjadi sebutan masyarakat FB. Saya hairan kenapa tiba-tiba ia dibincangkan hangat jadi saya rasa perlu tonton. Jadi ya, faktor ulasan menjadikan sesebuah karya itu hidup dalam masyarakat.

Dan ketiga, saya suka drama ini sebab lawak-lawak bersahaja Sabri Yunus dan ceritanya terasa hidup dengan dialog-dialog yang terasa natural dan tidak “fake”. Yelah, majoriti pelakonnya adalah orang Kelantan dan berlakon dengan loghat Kelantan. Jadi dialognya tak terasa dibuat-buat dan alur dialognya benar-benar mewajahkan orang Kelantan. Jadi saya sebagai orang pantai Timur merasakan dekatnya saya dengan diri mereka. Maka, mungkin benar bahawa telefilem ini diangkat sebab terasa dekatnya telefilem tersebut dengan diri penonton.

Tapi hairan juga, sebab ramai saja yang saya lihat susah nak faham loghat telefilem Pok Ya Cong Codei tapi masih dapat memahami alur cerita dan memuji cerita tersebut. Bermakna bahasa bukan semestinya halangan terbesar untuk penyampaian mesej bagi sebuah telefilem?

Jadi ya, itu adalah hal-hal yang bermain dalam fikiran saya bagi mencari di mana sebenarnya duduk letak “tipping point” yang menjadikan sesebuah karya layar menjadi bualan masyarakat. Bagaimana sesebuah karya layar itu akan menarik masyarakat untuk terus berbual dan membicarakannya?

Saya tidak ada apa-apa untuk diulas pun sebenarnya. Cumanya saya melihat ada satu persoalan lagi yang belum disentuh, iaitu “Kenapa watak seorang Datuk Sahak adalah seorang peguam?”

Saya tidak pasti sama ada ianya adalah kebetulan ataupun tidak. Tapi pada saya, sebagai seorang pelakon yang sangat berhati-hati dan juga merupakan pengarah dan penulis skrip telemovie ini, saya tidak fikir Sabri Yunus akan membiarkan setiap latar dalam filemnya itu sekadar bersahaja.

Kenapa saya mempersoalkan begitu? Sebab lazimnya watak seorang hartawan yang kaya raya dan mempunyai perniagaan pasaran gelap ini pastinya akan diletakkan wataknya sebagai ahli perniagaan. Logiklah kan untuk seorang ahli perniagaan untuk memiliki harta yang banyak sebegitu sehingga mampu memberi upah RM50,000 tanpa banyak soal sekali pemberian sebegitu. Sebab itu dalam suatu dialog antara Halim dan Pok Ya pada awal-awal cerita tersebut, ada disebut:

Halim: Selain pado jadi loyar, Datuk Sohok ni buat bisnes gapo? (Selain daripada jadi peguam, Datuk Sahak buat perniagaan apa?)

Pok Ya: Hoktu ni aku tok tahu. Tapi kayo lah. (Yang itu aku tak tahu. Tapi kaya lah)

Maksudnya, orang akan kembali juga mempersoalkan tentang aktiviti perniagaan apabila memiliki harta yang kaya-raya. Tapi dalam telemovie ini, Datuk Sahak adalah berwatak seorang peguam, dan ganijlnya seorang peguam yang ahli dalam perundangan tetapi terjebak dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang. Tidakkah ironi?

Jadi saya melihatnya sebagai begini. Watak seorang peguam adalah watak seorang yang menjunjung perlembagaan negara dan mereka adalah seorang watak dalam masyarakat yang profesionnya adalah untuk menegak dan mempertahankan perundangan negara. Setiap hari kerjanya adalah bergelumang dengan undang-undang dan mempertahankan orang daripada sebarang hukuman yang boleh menganiayai mereka.

Tetapi tiba-tiba dalam drama Pok Ya Cong Codei, yang berlaku adalah sebaliknya, iaitu seorang ketua gangster (Pok Ya) bertindak sebagai seseorang yang berlaku ihsan dan menegakkan keadilan dengan caranya yang tersendiri, dan seorang yang peguam (Datuk Sahak) bertindak sebagai seorang ketua yang terlibat dalam aktiviti kongsi gelap.

Telefilem ini sedang memberitahu bahawa watak-watak yang sebegitu sememangnya wujud dalam masyarakat dan ianya adalah tidak pelik. Tinggal sahaja kita sahaja yang tidak tahu. Usah mudah nak menghukum orang lain hanya sekadar personaliti luarannya, sebab boleh jadi apa yang di sebaliknya malahan jauh lebih teruk atau lebih baik daripada itu. Apabila seorang peguam diletakkan sebagai watak antagonis, maka paling tidak kita boleh faham terus bahawa korupsi itu di mana-mana dan boleh jadi datang daripada orang yang kita tak sangka-sangka.

Datuk Sahak datang membuat permohonan kepada Pok Ya untuk menolongnya mencari anaknya yang hilang dan disyaki diculik oleh Rashdan pasti tidak menyangka bahawa musibah itu berlaku kesan daripada korupsi yang dilakukannya sendiri. Sebab Rashdan yang menculik Aina itu bukan sebab nak culik Aina sangat pun, tapi nak semua orang sedar bahawa Datuk Sahak itu menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi.

Kalau pepatah Melayu menyebut: Harapkan pegar, pegar makan padi. Maka Datuk Sahak yang sepatutnya berperanan sebagai protagonis dalam masyarakat tiba-tiba sebenarnya dia lah antagonis yang telah mencalar kepercayaan yang diberikan masyarakat kepadanya.

Dua hari lepas saya ada berbual dengan Shuhaib tentang telefilem ini. Dia berspekulasi tentang siapakah orang yang menjadi sindiran Sabri Yunus melalui watak Datuk Ishak? Dengan segala ciri-ciri watak Datuk Ishak, spekulasi Shuhaib kelihatan ada betulnya. Saya gelak. Haha. Tapi itu sekadar spekulasi bualan kosong, jadi tak perlu diambil serius.

Tak sangka saya akan menulis juga ulasan tentang Pok Ya Cong Codei walaupun tadi cakap taknak ulas apa pun. Haha. Asalnya sekadar mahu tonton dan membaca ulasan orang lain saja. Tapi alang-alang dah tulis ni, kalian baca lah. Kalau ada pandangan lain ke apa, boleh bincang di ruangan komen.

Berapa bintang untuk telefilem ini? Entahlah. Saya tak pandai nak bagi bintang-bintang ni. Cumanya filem ini benar-benar saya tonton secara santai tapi membuatkan saya fikir bermacam-macam persoalan.

Ahmad Muziru Idham

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

24 Jam Malam Di Svalbard, Tanda Kiamat Sudah Dekat?

Simpan Wang Tabung Haji Anda Melalui Maybank2u