in ,

Apa Kau Patut Buat Bila Anak Kecil Mengadu Dicabul

Apakah yang boleh dilakukan oleh Tuan Puan andai anak kecil mengadu dicabul atau diperkosa oleh seorang individu yang dikenali atau tidak dikenali? Mari saya mulakan dengan berkongsi beberapa hal yang penting.

1. Ajarkan sebutan yang betul bagi anggota badan sulit kanak-kanak. Untuk lelaki sebutkan ini zakar atau penis. Bagi perempuan, katakan ini faraj atau vagina. Jangan sekali-kali tukarkan ia kepada istilah yang biasa kita dengar dalam masyarakat seperti burung, bebird, bunga, pepet dan yang berkaitan. Saya akan huraikan sebabnya nanti.

2. Kemudian, ajarkan pula apakah private part yang tidak boleh disentuh, diraba atau dipegang oleh sesiapapun sama ada mereka orang yang dikenali atau tidak. Bagi kanak-kanak lelaki, ini private partnya: zakar, punggung, bibir dan dada. Bagi anak perempuan : faraj, punggung, dada dan bibir.

3. Jika ada sesiapa cuba sentuh private part pada tubuh badan, ajarkan pada mereka untuk jerit, lari dan adu. Melawan lebih baik, contoh : Tendang. Anak-anak perlu diingatkan yang hal ini serius, bukan boleh dibuat main. Ia bukan perkara yang boleh direka-reka atau untuk seronok-seronok. Selain itu, amatlah penting untuk beritahu kepada anak lelaki yang mereka tidak boleh menyentuh perempuan termasuklah adik sendiri di 4 bahagian tubuh badan (private part) berkenaan. Mereka tak boleh disentuh dan menyentuh.

Ketiga-tiga perkara di atas adalah asas yang perlu diterapkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak mengenai kesihatan reproduktif atau pendidikan seks. (Jika rasa alergik perkataan pendidikan seks, tukar sahaja ia kepada pendidikan menjaga maruah diri)

Inilah 3 point yang selalu saya ulang sebelum ini. Mudah-mudahan ia memberi idea kepada ibu bapa untuk memulakan interaksi bersama anak-anak.

Nak dijadikan cerita, seorang rakan saya tergerak hati berkongsi kepada 2 orang anak perempuannya berkenaan private part pada tubuh badan. Kemudian, beliau lanjutkan pertanyaan, “Pernah tak sesiapa menyentuh atau melakukan perkara tak senonoh pada kakak?”

Anak beliau menjawab, “Ada.” Bukan sahaja anaknya yang sulung (7 tahun), bahkan yang 5 tahun juga mengadu hal yang sama. Seorang individu dalam keluarga telah melakukan hal yang tidak senonoh berulang kali kepada mereka berdua. Lelaki berkenaan merupakan bapa saudara bagi si mangsa. Beliau sudah berkahwin!

Semua kejadian ini berlaku di dalam rumah keluarga mertua! Jantan berkenaan secara sedar sengaja menarik seluar anak beliau hingga ternampak buntut. Setelah seluar ditarik, beliau membiarkan sahaja sambil tersenyum.

Rakan saya meneruskan soal jawab dengan si anak, “Apa respon kakak bila diperlakukan seperti itu?” Mereka berdua menjawab serentak : “Marah! Kakak cakap pada dia janganlah buat macam ni. Tapi dia gelak je.”

Bukan itu sahaja, pelaku juga pernah mengintai serta membuka pintu bilik air ketika kanak-kanak ini sedang mandi dan melepaskan hajat.

Inilah yang diluahkan oleh sahabat saya beberapa hari lepas. Saya minta beliau bersabar, jangan sekali-kali serang lelaki berkenaan serta jangan update maki-maki di Facebook. Bukan apa, di Facebook orang jahat boleh nampak baik bila gunakan term agama dalam penulisan. Akhirnya, orang nampak dia betul, kita yang salah.

Esoknya, beliau dan suami membawa anaknya ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Sebelum bertemu polis untuk membuat laporan, beliau telah menulis sendiri kronologi jawapan si anak serta merakam video sebagai bukti pengakuan.

Video ini akan membantu pihak forensik untuk membuat analisa. Lagipun, beliau khuatir terlupa point yang penting semasa membuat laporan.

Terus sahaja diserahkan kepada pihak polis. Polis tidak menunggu lama, hari berkenaan buat laporan, hari berkenaan juga mereka memulakan siasatan. Benar-benar macam siri drama Gerak Khas.

Tuan Puan kena maklum akan hal ini. Unit D11 berperanan untuk menyelesaikan kes ini. Dan inilah yang berlaku. Mereka terus sahaja menghubungi si pelaku, meminta beliau untuk hadirkan diri ke balai polis.

Si pelaku enggan dengan memberikan alasan akan ke tempat lain. Namun polis beri kata dua pada beliau, hadirkan diri atau namanya akan disenarai hitam.

Maka, si pelaku datang, polis ambil keterangannya dan ditahan reman selama 5 hari. Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tak kurang 15 tahun.

Tuan Puan yang budiman, ini satu contoh kisah yang harus menjadi inspirasi kepada ibu bapa di luar sana. Walau gangguan seksual berkenaan masih bersifat awal (intai, tarik seluar), namun dalam akta yang baru digubal di parlimen, ia kesalahan berat.

Mari saya kongsikan; Menurut Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kesalahan menarik/membuka seluar termasuk di bawah klausa 12(d) Bahagian IV Amang Seksual Fizikal Atas Kanak-Kanak.

Mengintai di kamar mandi pula di bawah klausa 16(a) (iii) dalam Amang Seksual Bukan Fizikal Atas Kanak-Kanak.

Bayangkan jika ibu bapa menyedari hal ini lebih awal, pasti setiap dari mereka tahu untuk berbuat apa andai hal seperti ini terjadi kepada anak-anak.

Kita mampu halang daripada berlakunya kes yang lebih besar, rogol, sumbang mahram, seks luar tabie. Namun itu kesedaran diperingkat mak ayah. Bagaimana pula dengan anak-anak?

Ikuti 3 langkah yang saya tulis di atas. Ia sangat membantu ibu bapa jika kejadian sedemikian berlaku. Menyebut nama yang sebenar pada anggota badan sangatlah penting andai anak ini perlu menerangkan kepada pihak polis bagaimana kejadian itu berlaku.

Sukar untuk diambil keterangan andai si anak menyebut ada ‘burung’ dimasukkan dalam ‘bunga’. Ingat, ketika siasatan, pihak polis juga akan berikan patung mainan kepada si anak. Ia bertujuan untuk anak mengenal pasti bahagian mana yang diperlakukan oleh pemangsa.

Jika yang melakukan perkara terkutuk itu ayah kandung, maka saya sarankan agar si ibu yang buat report. Kena beranikan diri demi masa depan anak-anak. Jika tidak dibuat apa-apa, hal itu akan membuatkan si mangsa trauma, hidup dalam tekanan hingga dewasa.

Ada ketika, hal seperti ini akan hilang keluarga, dipulaukan oleh orang tersayang (sekiranya yang mencabul ahli keluarga terdekat). Akhirnya, mereka tarik balik laporan. Si pelaku terus bebas mencari mangsa yang seterusnya. Jangan sekali-kali berundur ke belakang!

Untuk warga pendidik, saya sarankan agar hal ini disampaikan kepada anak didik kalian. Bantu yang mana boleh walaupun perlu menemani mereka ke balai polis untuk buat laporan. Sekiranya mahu info ini disampaikan kepada para pelajar, boleh sahaja hubungi saya. Saya sedia membantu Inshaallah.

Terima kasih kepada Tuan Puan yang baca hingga habis. Apa yang boleh dilakukan adalah sebarkan mesej ini kepada rakan-rakan kalian yang lain, tag orang yang tersayang serta mempraktikkannya.

Brother Fairuz aka
Akhi Fairuz Al-Jengkawi

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Sekolah Mimpi Paling Power

5 Benda Kau Tak Patut Buat Selepas Makan