in

Anak Taiping Yang Menjadi Presiden Singapura

Semalam kita membaca berita mengenai langkah Singapura melakukan pindaan kepada perlembagaannya demi pengukuhan institusi demokrasi dan keharmonian kaum negara itu apabila mengkhaskan pilihanraya Presiden tahun 2017 untuk calon daripada kaum Melayu.

Secara terperincinya, pemilihan presiden akan dikhaskan kepada kaum tertentu jika calon dari kaum berkenaan tidak pernah dipilih sebagai Presiden dalam tempoh lima penggal berturut-turut. Namun begitu, calon yang bertanding dalam pilihanraya khas Presiden ini perlu mematuhi kriteria yang sama dalam pemilihan terbuka.

Langkah itu melihatkan Singapura bakal mempunyai Presiden dalam kalangan kaum Melayu selepas Yusof Ishak dipilih sebagai Presiden 46 tahun lalu.

Siapakah Yusof Ishak? Secara umumnya kita mengenali beliau sebagai Presiden pertama Singapura dan sudah tentu sehingga kini merupakan satu-satunya anak Melayu yang menjadi Presiden negara berkenaan.

Hari ini saya sama-sama berkongsi serba sedikit fakta tentang Yusof Ishak. Artikel ini ialah terjemahan daripada artikel asal berbahasa Inggeris di laman web rasmi Istana Presiden Singapura.

Yusof Bin Ishak dilahirkan pada 12 Ogos 1910 di Padang Gajah, Trong, kira-kira 30 kilometer dari bandar Taiping, Perak. Memiliki jalur keturunan Minangkabau dan Langkat. Sebelum membuat keputusan menetap di Perak, keluarga Yusof menetap di Pulau Pinang.

Yusof merupakan anak sulung daripada sembilan adik beradik dan bapanya, Ishakbin Ahmad merupakan Pemangku Pengarah Jabatan Perikanan Kerajaan Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat.

Yusof menerima pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu di Kuala Kurau, Perak sebelum berpindah ke sebuah lagi sekolah
Melayu di Taiping. Pada tahun 1921, beliau mula menerima pendidikan Inggeris di Sekolah King Edward VII, Taiping.

Pada tahun 1923, pada Yusof telah diarahkan untuk berpindah ke Singapura dan Yusof turut sama mengikuti kedua-dua ibu bapanya ke negara berkenaan. Ketika di Singapura, Yusof belajar di Victoria Bridge School sehingga Disember 1923. Pada tahun 1924, beliau melanjutkan pengajian di Raffles Institution dan lulus dengan kepujian Cambridge School Certificate pada tahun 1927.

Selepas itu beliau menyambung pengajian di kelas Queen’s Scholarship selama dua tahun lagi. Yusof merupakan seorang pelajar yang aktif dalam sukan. Semasa di Raffles Institution beliau merupakan seorang pemain hoki dan kriket di samping terlibat dalam sukan renang, angkat berat, polo air dan tinju.

Pada tahun 1933, beliau muncul juara tinju Singapura kategori lightweight. Beliau turut terlibat dalam Angkatan Kadet Sekolah dan dianugerahkan pangkat Leftenan Kedua Angkatan Kadet. Beliau juga merupakan Ketua Pelajar dan editor bersama majalah Rafflesian.

Selepas meninggalkan alam persekolahan pada tahun 1929, Yusof bersama-sama dua rakannya terlibat dalam dunia penerbitan dan menerbitkan majalah ‘Sportsman’, sebuah majalan mengenai dunia sukan. Minat beliau dalam bidang kewartawanan cukup mendalam dan pada tahun 1932 beliau menyertai akhbar Warta Malaya, sebuah akhbar Melayu terhebat pada masa itu. Bakat besar beliau dalam kewartawanan menyebabkan Yusof cepat menerima kenaikan pangkat dan dilantik sebagai Penolong Pengurus serta Pemangku Editor dalam masa singkat.

Pada tahun 1938, beliau meletakkan jawatan di Warta Malaya dan bersama-sama beberapa orang kawan beliau membangunkan Utusan Melayu Press Ltd. Pada tahun 1939 akhbar berkenaan dikenali sebagai Utusan Melayu dan Yusof menjadi Pengarah Urusan pertama akhbar berkenaan.

Semasa era pendudukan Jepun sekitar tahun 1942 hingga 1945, Yusof tinggal di Tanah Melayu sehingga Jepun menyerah diri. Beliau kembali semula ke Singapura pada 3 September 1945 dan segera meneruskan penerbitan Utusan Melayu.

Yusof berkahwin dengan Noor Aishah Mohd Salim pada tahun 1948. Perkahwinan mereka telah diaturkan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Semasa berkahwin, Aishah hanya berusia 16 tahun dan Yusof pula 39 tahun. Pasangan ini dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Pada tahun 1948, Yusof melawat Britain sebagai salah seorang anggota First Press Delegation. Pada tahun 1957, beliau telah ke Jepun untuk melihat kelengkapan peralatan mesin percetakan untuk Utusan Melayu yang telah dipesannya. Pada bulan Mei tahun yang sama beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memantau kerja-kerja pembinaan bangunan Utusan. Semasa di Kuala Lumpur, Yusof telah dipilih sebagai Presiden Press Club of Malaya.

Beliau merupakan di antara orang penting di belakang Utusan Melayu semasa akhbar berkenaan menempuh era sukar di waktu Tanah Melayu mahu merdeka.

Selain aktif dalam bidang penerbitan dan kewartawanan, Yusof juga pernah dilantik memegang beberapa jawatan penting di dalam Kerajaan Singapura. Dari tahun 1948 hingga 1950 beliau berkhidmat di dalam Film Appeal Committee. Beliau juga merupakan ahli kepada Nature Reserves Committee untuk tahun berkenaan dan terlibat dalam Malayanisation Commission.

Pada Julai 1959, beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura dan pada 3 Julai 1959 beliau dilantik sebagai Canselor Universiti Singapura. Pada 3 Disember 1959 Yusof dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Negara Singapura dan beliau pernah melakukan lawatan kerja ke Kemboja, Arab Saudi dan Ceylon (sekarang Sri Lanka) dalam tempoh memegang jawatan berkenaan.

Yusof menerima Darjah Kerabat daripada Sultan Brunei pada November 1960 dan Darjah Kebesaran Sri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) oleh Yang Di-Pertuan Agong pada November 1963.

Pada 9 Ogos 1965 apabila Singapura berpisah dari Malaysia dan menjadi sebuah negara yang berdiri sendiri, Yusof telah dilantik sebagai Presiden pertama Republik Singapura. Beliau dilantik sekali lagi untuk memegang jawatan berkenaan untuk tempoh empat tahun lagi pada 4 Disember 1967.

Yusof meninggal dunia akibat serangan jantung ketika masih menjawat jawatan sebagai Presiden Singapura dan secara keseluruhannya tempoh beliau bergelar sebagai Presiden ialah dari 9 Ogos 1965 sehingga 23 November 1970.

Jenazah Yusof disemadikan di Tanah Perkuburan Negara di Kranji.

 

Daniyal Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Bagaimana Wanita Ini Menyediakan Lasagna Dengan Biskut Mayat

Mari Kita Kenal Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat Ke-45