,

Anak Muda Bangkit Di Tempatan Fest

Pagi semalam aku ke Stadium Shah Alam, saja nak tengok scene budak zaman sekarang berniaga barang-barang seni dan kreatif. Terpaksa keluar pagi sebab nak kena hantar family aku pergi pasar tani yang lokasinya di Stadium Shah Alam juga. Dalam hati aku confirm-confirm tak buka lagi Tempatan Fest ni. Ada ke budak muda bangun pagi bekerja buka kedai awal, atau bangun pagi nak keluar beli barang. Dah la semalam sambutan tahun baru, sah tidur lambat.

Sampai stadium sahaja aku mengucap panjang dan mencarut sikit-sikit. Jalan jam! Apa dah jadi budak remaja kita zaman sekarang ni bangun awal pagi. Booth semua pun dah hampir siap set up, orang pun dah ramai pilih barang. Ok aku minta maaf pada semua remaja di Shah Alam sebab kutuk hampa semua pemalas.

Betullah situasi anak muda zaman sekarang seperti yang dinyatakan di dalam movie The Internship, ada babak perbincangan anak muda dan orang dewasa di mana orang dewasa ini mempersoalkan remaja zaman sekarang sudah menjadi paranoid takut tiada pekerjaan pada masa hadapan, umur 21 tahun dah gila mencari pengalaman dengan bekerja kuat tidak enjoy dan menikmati zaman muda.

Masa untuk keluarga juga sudah tidak menjadi keutamaan. Kemudian salah seorang anak muda itu menerangkan, zaman umur 21 tahun sekarang bukan seperti umur zaman 21 tahun dahulu. Umur zaman 21 tahun dahulu jika belum bekerja atau juga masih belum habis belajar, tiada masalah untuk mencari peluang pekerjaan.

Masih belum terlambat dan masih boleh dapatkan biasiswa kerajaan, kehidupan belum tertekan, syarikat masih menggaji orang berumur 30 sehingga 40 tahun. Berbeza umur 21 tahun sekarang.
Sekarang, jika kita lambat dan tidak fokus dalam menentukan kerjaya dan hala tuju kehidupan, kita boleh dikatakan hampir hilang arah, susah untuk kembali dan memperbetulkan keadaan. Zaman sekarang makin banyak persaingan, siapa sahaja ada ijazah Degree mahupun Master.

Persaingan yang kuat ini amatlah disukai oleh syarikat, mereka pastinya boleh menggajikan pekerja yang umurnya amat muda dan mampu membuat kerja multitasking lebih daripada 3 pekerjaan. Bagi syarikat, menggajikan orang muda ini amat menguntungkan. Bayaran gaji tidak banyak tetapi kemampuan menyelesaikan tugasan hampir sama seperti pekerja dewasa yang berpengalaman, tidak melawan dan tidak menolak arahan yang diberi kerana orang muda jarang yang berani melawan, pastinya tenaga yang kuat yang mampu bekerja lebih masa.

Kembali ke anak muda yang kuat berusaha ini, di masa anak muda ini rajin bekerja ada ramai lagi anak muda yang pemalas. Iya betul ada yang masih nak kerja mudah tetapi berpendapatan gaji yang tinggi (gila). Tetapi jika kita lihat mereka yang berniaga di Tempatan Fest ini kita lihat mereka suka akan pekerjaan mereka ini.

Mereka bebas berkreativiti, bebas menentukan produk yang mahu dijual tepat dengan atitude dan taste produk mereka, berjumpa dengan rakan sebaya. Lebih tepat lagi mereka seperti berseronok sambil menjana wang. Beza cara pemikiran mereka yang berniaga produk seni dan kreatif ini daripada pemikiran orang yang berniaga produk lain, terutamanya dari segi permilihan produk. Perniagaan lain terikat mengeluarkan produk mengikut permintaan pasaran, tapi mereka di Tempatan Fest ini mencipta produk dari kreativiti mereka, jenis kesukaan mereka dan akhirnya dapat dijual dipasaran. Ini dinamakan bebas. Mungkin ini penyebabnya mereka ini unik dari remaja lain yang bekerja dibidang professional.

Scene seperti ini sudah lama wujud. 10 tahun dahulu aku bersama dua orang lagi sahabat pernah berimpinkan pekerjaan perniagaan seperti ini. Pada tahun 2002 aku mengikuti kakak aku dan rakannya yang lain menjelajah Indonesia. Dari Jakarta menaiki keretapi ke Bandung kemudian ke Jogjakarta dan beberapa bandar di sana yang aku tak ingat. Hati aku hanya tertinggal di Bandung. Ketika kedatangan kami, di sana mereka sudah ada anak muda seperti ini.

Anak muda yang sudah menjadi ketua, mengeluarkan produk berasaskan seni, fesyen dan kreatif. Sehingga mampu membawa pelancong datang ke Bandung semata untuk mendapatkan produk mereka. Menggunakan cara jualan guerilla, attitude punk dan indie menjadi inspirasi kreativiti mereka mencipta produk. Selang beberapa tahun, aku membuka syarikat menjadi ejen jualan mereka di Malaysia. Sebelum kewujudan syarikat kami ini, sudah ada beberapa ejen di Malaysia turut melakukannya.

Nah disini perbezaannya. Bezanya kami menjual produk dari negara luar, bukan lokal. Bukan designer dari negara kita dan pastinya bukan dibuat di negara kita. Kami mengagungkan barangan luar. Akhirnya wujudlah beberapa brand lokal negara kita. Percubaan untuk menandingi brand dan produk Bandung, cuma kualiti dan design tidak dapat menandingi brand dari Indonesia.

Hari ini (mungkin sudah beberapa tahun), brand dari anak tempatan sudah berubah. Kualiti hebat, bukan sekadar fesyen, diselitkan attitude dan perjuangan positif. Cara bekerja lebih sistematik, booth jualan dan packaging amat unik dan teliti. Sungguh berbeza dari sedekad dulu. Mungkin kita patut berterima kasih juga kepada pelopor terawal dalam scene ini, tanpa mereka mencetus dari awal, mungkin sampai sekarang industri seni dan kreatif ini tidak kemana. Kita masih mengagungkan brand dari Amerika atau dari Australia.

Aku harapkan mereka ini terus dengan cara indepedent, tidak menerima bantuan dari mana-mana organisasi terutamanya kerajaan. Tidak kisahlah dari parti kerajaan mana pun. Tidak akan menjadi sekiranya ada campur tangan dari orang lain. Lainlah jika kerajaan atau organisasi luar ini berikan mereka dana atau lokasi, biarkan mereka lakukan sendiri hala tuju scene mereka dan biarkan idea mereka berkembang.

Ingat founder Napster pernah nasihat kepada Mark Zuckerberg, produk orang muda harus diusahakan oleh orang muda. Jangan bagi orang tua rosakkan kualitinya. Marilyn Manson pernah berkata dalam wawancara Michael Moore. Orang politik, ketua badan NGO dan orang-orang yang konon menjadi ahli pemikir untuk kebaikan anak muda ini selalu memberi pendapat dan mengeluarkan idea apakah kebaikan untuk anak muda, tetapi pernahkah mereka ini bertanya sendiri kepada anak muda? Mahukah mereka melantik wakil dari anak muda untuk mewakili golongan mereka sendiri untuk menyatakan apakah keperluan dan keinginan anak muda?

 

Izzat Amir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Dari Sekolah Pondok Ke Master of Business Administration, MBA

Seni Yang Akan Buat Anak Kecil Teruja Untuk Ke Sekolah