in ,

Anak Malaysia Sudah Sampai Ke Litar MotoGP Dunia!

Yamaha Monster Tech 3 ini merupakan salah satu pasukan berstatus satellite dalam MotoGP. Mereka sudah lama juga berkecimpung dalam sektor MotoGP ini. Meskipun bukanlah sebuah pasukan factory, Yamaha Monster Tech 3 bukanlah pasukan biasa-biasa.

Yamaha Monster Tech 3 yang berpengkalan di Perancis ini merupakan pasukan pelapisnya (atau feeder) Yamaha Factory Movistar. Maknanya jika pembalap Tech 3 itu menunjukkan persembahan yang menakjubkan, besar kemungkinan dia berpeluang menunggang pasukan Yamaha Factory Movistar.

Sebagai contoh, Ben Spies yang beraksi cemerlang pada tahun 2010 bersama pasukan Yamaha Monster Tech 3 telah diberikan peluang berhijrah ke pasukan Yamaha Factory Movistar bagi menggantikan kekosongan tempatnya Valentino Rossi yang ketika itu berhijrah ke pasukan Ducati pada tahun 2011.

Pelumba yang pernah/masih menganggotai Yamaha Monster Tech 3 pula bukanlah pelumba biasa-biasa. Bekas Juara Dunia Moto2 tahun 2013; Pol Espargaro dan satu-satunya bekas Juara Dunia Moto2 dua kali berturut-turut pada tahun 2015 & 2016, siapa lagi kalau bukannya Johann Zarco adalah antara pembalap yang pernah/masih lagi menunggang Yamaha Monster Tech 3.

Johann Zarco

Antara pelumba lain, setakat memetik awal era 1000cc sahaja, pelumba dari British seperti Cal Crutchlow, Bradley Smith dan pelumba Itali yang tahun lalu mencabar kejuaraan MotoGP iaitu Andrea Dovizioso antara nama yang pernah menganggotai Yamaha Monster Tech 3. Sebelum itu, Andrea Dovizioso merupakan pelumbanya pasukan Honda Repsol. Ya, bekas pelumba Honda Repsol juga pernah menganggotai Yamaha Monster Tech 3.

Untuk kempen perlumbaan 2017-2018 ini, pelumba yang mendampingi Johann Zarco sebagai pelumba keduanya pasukan Yamaha Monster Tech 3 ialah Jonas Folger. Seperti juga Johann Zarco, Jonas Folger turut dinaikkan pangkat dari kelas Moto2 ke MotoGP kerana persembahan cemerlang mereka berdua dalam kempen Moto2 pada tahun 2016 (juga tahun 2015).

Jonas Folger

Sepanjang kempen 2017, Johann Zarco paling menyerlah. Beliau beberapa kali naik ke podium dan akhirnya memenangi anugerah Rookie Of The Year. Jonas Folger pun apa kurangnya. Kerap juga menamatkan perlumbaan dalam kelompok sepuluh terbaik dan mengutip mata. Namun begitu, tak seperti nasibnya Johann Zarco, ada berita yang tak sedap didengar dari kem Yamaha Monster Tech 3 mengenai keadaan kesihatan Jonas Folger ketika pusingan perlumbaan MotoGP sudah memasuki fasa akhir.

Menjelangnya perlumbaan pusingan ke-17 di Sepang yakni pusingan kedua terakhir dalam kalendar MotoGP pada November tahun lalu, Jonas Folger tidak dapat berlumba kerana mengalami masalah kesihatan. Bukan sahaja di pusingan Sepang malah beliau juga tidak dapat sertai pusingan terakhir di Valencia. Kekosongan posisinya itu digantikan dengan pelumba dari pasukan Yamaha WSBK, Michael van der Mark. Ini sekaligus membuka ruang rezeki buat van der Mark untuk membuat debut pertamanya dalam kancah MotoGP.

Valentino Rossi

Sebelum itu, Van der Mark sepatutnya sudah dijadualkan membuat debut sulungnya ketika pusingan perlumbaan di litar Aragon bagi menggantikan tempat yang cedera. Namun, Valentino Rossi putuskan saat-saat akhir bahawa beliau mahu juga berlumba di litar Aragon. Maka dengan itu, tiadalah rezeki membuat debut sulungnya dalam kancah MotoGP, sehinggalah dia dipanggil kembali ke MotoGP bagi menggantikan tempat Jonas Folger untuk baki saingan tahun 2017 di litar Sepang dan Valencia.

Yonny Hernandez

Menjelangnya ujian pra musim tahun 2018 di Sepang pada bulan lalu, masih lagi tiada perkembangan yang baik buat Jonas Folger. Jonas Folger perlu berehat panjang. Ini bermakna Jonas Folger tidak dapat berlumba sepanjang kempen tahun 2018. Kekosongannya itu digantikan sementara oleh bekas pelumba MotoGP iaitu Yonny Hernandez. Namun begitu, Yonny Hernandez hanya boleh menyertai ujian di Sepang sahaja kerana beliau terlebih dahulu telah menyertai pasukan Kawasaki dalam saingan WSBK. Jadi Yonny Hernandez tidak boleh menggantikan kekosongan Jonas Folger bagi mengharungi kempen 2018 yang panjang ini.

Dan di sinilah bermulanya sejarah terulung permotoran negara.

Memandangkan sudah memasuki penghujung bulan Januari, ramai pelumba telah mengesahkan tempat dan kontrak bersama pasukan masing-masing. Agak sukar juga mahu mencari pelumba pengganti pada saat-saat akhir.

Hafizh Syahrin bersama Datuk Razlan Razali

Ditakdirkan pula pada tahun ini, Hafizh Syahrin tidak lagi bersama pasukan Petronas Raceline dan bakal berlumba bersama pasukan baru dibawah kendalian Sepang International Circuit iaitu pasukan SIC Racing Team. Hafizh Syahrin akan terus berlumba dalam saingan Moto2.

Meskipun Hafizh Syahrin bakal berlumba bersama pasukan baharu, namun beban yang bakal digalasnya bukanlah mudah. CEO SIC, Datuk Razlan Razali telah meletakkan suatu sasaran yang tinggi buat Hafizh Syahrin. Sasaran untuk mengangkat Hafizh Syahrin menjadi pelumba MotoGP pertama negara.

Hafizh Syahrin perlulah menamatkan saingan Moto2 tahun ini dalam kelompok lima terbaik dunia. Meskipun Hafizh Syahrin sudah berpengalaman lama dalam Moto2, namun pada hemat saya hendak mencapai sasaran lima terbaik bersama pasukan baharu bukanlah satu perkara yang mudah. Hafizh Syahrin perlu menyaingi jentera elit lain yang jauh lagi handal. Jadi ini satu sasaran yang agak mustahil dan sukar buatnya.

Sebelum itu, untuk merealisasikan impian pelumba MotoGP pertama negara (iaitu mengangkat Hafizh Syahrin menjadi pelumba MotoGP pertama negara macam telah saya sebutkan tadi), Datuk Razlan Razali terlebih dahulu telah berbincang bersama DORNA dan beberapa pasukan MotoGP dalam perancangan memujuk dan menyakinkan mereka menerima Hafizh Syahrin dalam pasukan mereka bagi saingan kelas MotoGP tahun 2019. Sebab itulah Datuk Razlan Razali meletakkan sasaran yang tinggi buat Hafizh Syahrin untuk dijadikan bukti bahawa Hafizh Syahrin sememangnya layak ke kelas MotoGP.

Berbalik pada isu kekosongannya Jonas Folger, entah bagaimana boleh terlintas dalam fikiran Herve Poncharal untuk membawa masuk Hafizh Syahrin bagi menggantikan tempat Jonas Folger. Herve Poncharal telah berbincang bersama Datuk Razlan Razali tentang kedudukan Hafizh Syahrin.

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Barangkali ini rezeki orang yang baru berkahwin. Tawaran seperti ini sudah semestinya tawaran yang sukar untuk ditolak. Hafizh Syahrin bakal menggemudi jentera Yamaha M1, jentera yang pernah dipakai sendiri oleh Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, atau Maverick Vinales!

Namun begitu, kontrak tidaklah mudah untuk ditandatangani Hafizh Syahrin. Hafizh Syahrin perlu buktikan terlebih dahulu bahawa beliau sebetulnya layak ke MotoGP. Hafizh Syahrin perlu catat masa terbaik pada ujian pra musim kedua di litar baharu dalam kalendar MotoGP iaitu litar Buriram, Thailand.

Hasilnya, Hafizh Syahrin berjaya menamatkan ujian di atasnya pelumba Ducati, Jorge Lorenzo. Untuk makluman, Jorge Lorenzo ini juara dunia 5 kali saudara-saudari. Jadi bila Hafizh Syahrin berjaya menamatkan ujian di atasnya Jorge Lorenzo, kita tidaklah boleh duduk diam sahaja saudara-saudari. Kita perlulah raikan dan banggakan!

Seorang rookie yang langsung tiada pengalaman mengemudi jentera 1000cc MotoGP berjaya menamatkan ujian masa di atasnya juara dunia 5 kali adalah sesuatu yang agak menakjubkan! Atas asbab itu, pengurusan tertinggi YMT3 dengan rasminya melantik Hafizh Syahrin sebagai pelumba YMT3.

Jadi bila kita mendengar perkhabaran bahawa Hafizh Syahrin sah ke pasukan YMT3, ianya bukanlah satu perkhabaran yang kita boleh sambut dengan biasa-biasa. Perkhabaran ini seharusnya kita sambut dengan paluan kompang dan rebana!

Bukan mudah saudara-saudari pelumba tempatan nak merebut tempat dalam kelas premier MotoGP. Pelumba kita perlu bersaing dengan pelumba elit dari negara kuasa besar MotoGP dan WSBK. Pelumba kita perlu rajin naik ke podium semata-mata hendak menyakinkan barisan bos-bos pasukan MotoGP. Barulah kita berpotensi meletakkan nama sebagai calon pelumba MotoGP.

Jadi dengan kehadiran Hafizh Syahrin dalam kelas premier MotoGP, ayuhlah kita sokong bersama-sama. Sokonglah dengan sepenuh hati. Jika selama ini mata kita tertancap pada skrin kiri televisyen untuk mengetahui kedudukan semasa pelumba, untuk mengetahui di mana kedudukan pelumba luar kegemaran kita. Tetapi pada tahun ini, buat julung kalinya mata kita semua akan lebih terarah melihat kedudukan semasa nombor 55 di sebelah skrin kiri televisyen ketika perlumbaan MotoGP berlangsung.

Harapan saya, selamat maju jaya kepada Hafizh Syahrin. Kalau boleh buktikan dahulu dalam 6 perlumbaan awal menempatkan diri dalam kelompok top 15 kerana tahun hadapan akan banyaknya perubahan tempat dalam pasukan. Sekiranya Hafizh Syahrin berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan yang baik, manalah tahu ada pasukan lain pula yang akan berkenan dengannya. Siapa tahu?

Menamatkan perlumbaan dalam top 15 itu bagus tapi kalau dapat anugerah Rookie of The Year, itu rahmat besar buat sukan permotoran negara. Selamat maju jaya Hafizh Syahrin!

**Monster Tech 3 tidak lagi menggunakan jentera Yamaha pada tahun hadapan.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

21 Mac Hari Menghargai Kanak-kanak Sindrom Down Sedunia

Isu Cambridge Analytica Dan Penyelesaian Oleh Mark Zuckerberg