, ,

Anak Kecil Menangis, Mari “Shhhhh Shhhh Shhhhh” Beramai-Ramai

Kami semuanya kepenatan. Penerbangan Malindo OD 1015 semalam ditangguhkan ke 6.45 petang. Kami pun duduk-duduk. Jeffri bermain telefon, Yuko pula makan kuih tepung gomak tak berhenti-henti. Saya pula menelaah tulisan Albert Hoffman berjudul Wabak. Kisah satu penyakit yang menyerang sebuah bandar kecil yang cukup mengerunkan hati.

Saya duduk di 4D. Laluan orang betul-betul dibelakang kasta tinggi tempat duduk berkualiti serta dilayan serba mewah yang siap punya air jus bergelen-gelen kepada yang meminta. Kami tonton sahaja disebalik langsir yang sekejap-sekejap terbuka kecil.

Elok sahaja penerbangan bermula. Sudah pun mencecah awan-awan yang menanti kami dari siang, kedengaran suara anak kecil menangis. Semakin lama semakin kuat dan terjerit-jerit.

Apabila kapal sudah stabil, lampu pun dibuka kembali. Lalu kami dihidang dengan pizza bersaiz tapak tangan ‘Ain dan sepotong segi empat kek bercrumble yang manis rasanya. Saya makan tanpa segan silu, kahkahkah. Lalu saya kembali memegang naskhah bacaan tadi.

Suara anak tadi semakin lama semakin kuat. Siap makan minum dah selesai pun si kecil itu tak berhenti menangis. Lampu kembali di padamkan. Yelah, perjalanan lebih 2 jam ini biasanya orang tidur sahaja jika tiada skrin tv untuk berhibur. Oleh kerana daya gossip agak tinggi, saya buat-buatlah mahu ke tandas belakang.

Mahu lihat sendiri siapalah yang menangis tak henti-henti lebih kurang 5-6 baris sahaja di belakang saya. Saya bangun. Letakkan jaket di tempat duduk dan buku di tempat majalah.

Kemudian berjalan perlahan-lahan melihat kiri dan kanan, ‘di mana dia wahai anak, di mana dia. Marilah pakcik dukung dan selawatkan kau nak. Semoga kau diam dan semua orang boleh tidur, bisik hati saya.’

Saya pun jumpa.

Ok. Terkedu. Terus sahaja saya teringat satu momen besar dalam hidup saya.

Waktu saya dan isteri menimang cahaya mata, isteri saya terpaksa tinggalkan saya bersama anak 1-2 malam dalam sebulan untuk beliau kerja shift malam. Dan memang ya, saya fikir inilah momen besar sebagai seorang bapa nak melayan karenah anaknya secara sendirian.

Waktu itu ‘Ain meragam. Perutnya dindang dindung. Saya segan nak tanya mak mentua. Lalu bermesejlah kami suami isteri. Isteri susuh beri gripe water. Selesai sahaja, anak boleh tidur dengan lena. Fuh!

Kali ini, saya tengok sendiri ayahnya berusaha untuk menenangkan si kecil itu. Dukungnya, dakapnya dan pujuk. Berusaha sungguh. Hayunkan, bangun, duduk kembali. Peluk. Lepaskan kembali, dukung balik. Dakap semula. Ya Tuhan, memang proses yang memenatkan.

Mungkin nama anaknya itu Adriana atau Arianna, saya tak dengar dengan jelas. Yang paling seronok, saya lihat ramainya ibu-ibu atau bakal-bakal ibu disekitar itu duk sebut shhhhh.. shhhhhh.. shhhhhh.

Pakat jadi ular belaka. Haha. Shhh shhh tak tahulah terkeluar ke tidak air liur masa menyembur itu kheen. Hehe. Semua bersatu hati menenangkan anak tersebut melalui kaedah memuncungkan mulut.

Kawan-kawan,

Kita tidak tahu kesusahan orang. Saya tidak tahu perjalanan anak itu bersama ibunya atau tidak. Yang saya nampak memang seat di sebelahnya kosong. Mungkin juga ibu anak itu ke tandas juga. Saya tidak tahu.

Namun, saya fikir itulah momen besar ayah si anak itu. Bawa anak menaiki kapal terbang, kemudian dia meragam bukan main. Si kecil itu hanya berhenti menangis lebih kurang ½ jam nak mendarat. Dan saya jangkakan itu kerana dia sudah sangat-sangat penat menangis.

Kita tidak tahu kesusahan apa yang anaknya terima. Mungkin takut gelap. Mungkin juga tertinggal bakul susu. Mungkin juga sakit perut. Mungkin. Banyak mungkinnya. Dan kita sebagai manusia yang sama sahaja punya hati seperti si kecil itu, belajarlah. Saya juga seperti kalian. Ada perasaan nak tolong, namun takut.

Takut kena marah.

Nak selawat, karang kau ambil video.

Takkan nak azan pula kan.

Lalu kau berdoa sahajalah semoga anak itu diam dan tidur sekejap.

Wahai si ayah, tahniah. Itu pengalaman besar. Ambillah ia sebagai momen mengingati si kecil yang pernah buat kau tidak tenang dalam kapal besar bersama ratusan manusia. Itu ujian. Dan itu datangnya dari Tuhan yang sangat sayangkan kau.

Wahai orang sekeliling termasuk saya, ambil juga pengajaran. Kita tidak pernah tahu ujian mana yang Tuhan mahu depankan. Ada yang Tuhan letak diam-diam, ada yang Tuhan beri secara umum dan di tengah khalayak begitu. Terima dan ambillah ia sebagai medan untuk matang.

Anak ini, keindahan yang datang dalam bentuk ujian-ujian yang kita tak pernah sangka.

Waktu kecil kita tatang. Sudah besar kita ditentang.

Sudah kita tiada nanti, semoga kita dikenang-kenang.

Begitulah.

 

Khairul Hakimin Muhammad

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 75.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 25.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dia Bercakap Dengan Scammer

Rahsia Tiga Abdul