in

Ahli Politik Haprak Lahir Dari Sikap Masyarakat Yang Berperangai Haprak

Semalam, kepala aku mengarang sesuatu yang aku nak marah. Nak komplen. Membuak-buak rasanya. Puncanya pasal pekerja majlis yang sepahkan penutup tong sampah. Kutip sampah, penutupnya dibiar macam tu saja. Kadang-kadang terbang ke rumah orang lain.

Tapi aku belum ada sudut yang baik untuk perkatakan hal tersebut secara terperinci yang bukan saja sedap dibaca, bahkan membuat orang sedar betapa selekeh sikap orang kita dalam pekerjaan. Cincai-cincai saja. Tak ada integriti. Dan sikap itu, seperti bersebati dalam diri, diterima tanpa sebarang tentangan oleh masyarakat.

Membawa ke petang, aku tak sempat mengarang dalam bentuk perkataan lagi. Catat poin pun tidak. Sibuk. Balik kerja, aku ke Mydin Manjoi.

Pulang dari Banda Aceh hari Isnin lepas, hidup aku serabut sikit. Urusan itu urusan ini dan berlaku beberapa hal yang sengaja tak diceritakan ke khalayak. Maka semalamlah baru berkesempatan beli barang keperluan rumah.

Dalam Mydin, sambil memilih barang kepala aku masih rancak mengeluarkan patah kata tentang hal tong sampah. Pada masa yang sama, aku melihat harga barang yang semakin tidak setimpal dengan nilainya.

Kau tahulah, aku kan berkira tentang kewangan. Sejenis yang membuat kira-kira sebelum berbelanja. Tapi taklah sampai jatuh tahap bakhil.

Masa dalam kereta, aku cuba juga nak dengar pembentangan bajet. Tapi sekejap saja. Aku tutup. Entah. Gegendang telinga menolak untuk mendengar suara pimpinan utama negara. Esok lusa saja aku baca.

Sedar-sedar aku sudah di bahagian tomato. Aku ke hujung sudut hendak menarik plastik. Bertembung dengan seorang pakcik. Pakcik itu memberi riak wajah yang aku faham sebagai – aku boleh tarik plastik tu dulu. Lepas aku tarik plastik, aku hulur plastik tu pada dia. Dia terkejut.

“Eh tak apa. Terima kasih ye, terima kasih.” Dan dia senyum lebar. Berwajah gembira. Mungkin sebab merasa senang disantuni oleh orang muda. Entah-entah nanti jadi modal untuk tulis status Facebook dia. Ewah. Melalut pula ni.

Selesai urusan di kaunter lekat tanda harga, aku mendekati kawasan makanan. Aku lihat ada curry puff. Dan aku merasa hendak. Walaupun aku tahu, rasanya nanti bukanlah enak seperti yang dijual di bakeri kegemaran.

Aku ambil pek kertas putih. Serentak dengan seorang perempuan muda berbangsa India. Perempuan itu sudah siap memegang pengepit. Pengepit ada satu cuma.

Tiba-tiba perempuan itu hulur pengepit kepadaku.

“Eh, tak apa. Gunalah dulu.” Aku pula mengulang lebih kurang ayat pakcik tadi.

“Tak apa.” Dia senyum.

Aku ambil. Ucap terima kasih. Dan aku fikir, mungkin sebab dia belum buat keputusan lagi. Jadi, daripada dibiarkan aku menunggu, lebih baik beri aku dulu. Sejenis sikap yang patut dipuji. Bukan macam sesetengah orang – semuanya hendak senang untuk diri sendiri. Orang lain lantak biar. Merasa indah melihat orang lain mendapat susah. Padahal, apa saja sikap kita beri pada orang, akhirnya akan kembali kepada diri sendiri.

Jadi akhirnya, luntur rasa nak menulis marah-marah tentang hal penutup tong sampah. Sebab di Mydin, aku dipertemukan dengan sikap yang membuat aku terfikir bahawa tanah air ini masih punya harapan.

Harapan untuk menamatkan tradisi bersikap haprak dalam masyarakat. Bak kata penulis Imaen dalam novel Gedebe (JS Adiwarna. 2015) – ahli politik haprak lahir dari sikap masyarakat yang berperangai haprak juga.

 

Naziatul Azrin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Bagaimana Posting Makanan Di Facebook Boleh Jana Ekonomi Negara

Takkan Melayu Dicopet Di Madrid