in ,

Ada Apa Dengan Palu Arit?

Blank bookcover with clipping path

Untuk seketika, kecoh dunia penerbitan buku di Malaysia (dan Indonesia juga) apabila beberapa rakyat Malaysia ditahan polis Indonesia ketika berlangsungnya Indonesia International Book Fair 2016 (IIBF 2016) di Jakarta.

Yang kena tahan adalah individu di sebalik rumah penerbitan Thukul Cetak dan beberapa urusetia delegasi Malaysia ke pesta buku tersebut. Penahanan mereka dikatakan berpunca dari buku Manifesto Komunis. Mengikut beberapa sumber dalaman, kontroversi sebenarnya lebih berpunca dari kulit buku yang memaparkan lambang ☭ atau tukul dan sabit (lambang palu arit ikut istilah Indonesia), bukannya isi kandungan buku yang diterjemahkan dari buku asal tulisan Karl Marx dan Friedrich Engels.

Rupanya, komunisme adalah satu perkara terlarang di Indonesia, lebih terlarang dari terlarangnya komunisme di Malaysia. Bahkan kedudukan komunisme dalam perundangan Indonesia rupanya hampir sama seperti nazisme dalam perundangan Jerman hari ini. Haram seharam haramnya.

Perkara ini boleh dirujuk kepada Ketetapan Majelis Permusyawaratan Rakyat Sementara Republik Indonesia Nomor XXV/MPRS/1966 Tahun 1966 (TAP MPRS No. 25/1966) tentang ‘Pembubaran Partai Komunis Indonesia, Pernyataan Sebagai Organisasi Terlarang Diseluruh Wilayah Negara Republik Indonesia Bagi Partai Komunis Indonesia Dan Larangan Setiap Kegiatan Untuk Menyebarkan Atau Mengembangkan Faham Atau Ajaran Komunis/Marxisme-Leninisme’ yang ditandatangani oleh Abdul Haris Nasution, Jenderal Tentara Nasional Indonesia pada 5 Julai 1966.

TAP MPRS No. 25/1966 ini diguna pakai susulan dari Gerakan 30 September (G30S) iaitu sebuah percubaan kudeta yang gagal pada 30 September 1965. Mengikut sumber rasmi kerajaan Orde Baru pimpinan Suharto, Partai Komunis Indonesia (PKI) adalah dalang G30S dan bermula dari percubaan kudeta inilah komunisme menjadi satu perkara terlarang di Indonesia. Kalau kau rajin membaca beberapa sumber ‘tidak rasmi’ pula akan mengatakan bahawa PKI dan komunisme sebenarnya dijadikan kambing hitam demi menggulingkan Sukarno dan memberi laluan kepada era Orde Baru.

Tetapi bukankah era Orde Baru sudah berakhir dengan tercetusnya Reformasi pada tahun 1998?

Itulah yang selalu kita fikirkan bahawa Indonesia era Reformasi lebih liberal dan terbuka. Namun pada tahun 1999, satu rang undang-undang baru di bawah nama Undang-Undang Republik Indonesia Nomor 27 Tahun 1999 (UU No. 27/1999) tentang ‘Perubahan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana Yang Berkaitan Dengan Kejahatan Terhadap Keamanan Negara’ yang ditandatangani oleh Bacharuddin Jusuf Habibie, Presiden Republik Indonesia pada 19 Mei 1999 yang menguatkan lagi larangan terhadap segala perkara berkaitan komunisme.

Ya, BJ Habibie presiden era Reformasi.

Kewujudan TAP MPRS No. 25/1966 dan UU No. 27/1999 inilah yang dijadikan rujukan polis Indonesia bahawa apa sahaja benda yang mempunyai simbol palu arit (☭) adalah terlarang. Dalam tahun 2016 sahaja sebelum berlangsungnya IIBF 2016 beberapa rakyat Indonesia telah ditahan polis kerana simbol palu arit tadi.

Jadi apa yang berlaku di IIBF 2016 adalah kes terlepas pandang di sebelah delegasi Malaysia, membawa buku ke negara asing dengan simbol terlarang. Mungkinlah, jika buku Manifesto Komunis itu hanya meletakkan wajah Marx dan Engels maka ianya tidak apa-apa. Samalah juga jika satu lagi buku Thukul Cetak, Mein Kampf dengan simbol swastika di bawa masuk ke Jerman atau bagaimana ahli lembaga pengarah DuBook Press, saudara Fdaus Ahmad pernah hampir terbawa tote bag Heil DuBook! ke Frankfurter Buchmesse 2015 dahulu.

 

14469496_10153732392486695_1796531344295406323_n

Dalam kes ZF Zamir ini, apa yang buat lebih pedih ialah simbol palu arit itu berkait dengan komunisme yang berkait dengan PKI yang berkait pula dengan G30S yang kemudian berkait kepada Sukarno yang berkait pula dengan Konfrontasi dan akhirnya Malaysia. Bahawa rakyat dan penerbit Malaysia yang kedapatan memaparkan simbol palu arit itu mencetuskan kembali stigma komunisme dan PKI di kalangan rakyat Indonesia sampai ada yang mengatakan ini cubaan ejen Malaysia memecah belahkan republik itu.

Hakikatnya selepas G30S pada tahun 1965 hinggalah ke peristiwa Supersemar pada tahun 1966 yang membawa kepada penggulingan Sukarno, Suharto melalui ejen perisik Indonesia seperti Ali Murtopo dan Benny Moerdani yang senyap-senyap mendedahkan maklumat ketenteraan dan situasi politik di Indonesia kepada Malaysia dengan harapan untuk menamatkan Konfrontasi secepat mungkin susulan Supersemar.

 

Lucius Maximus

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Eksklusif: Kronologi Kes Buku Manifesto Komunis di IIBF 2016

Matilah iPhone 7 Dibunuh Pixel