in ,

6 Pesanan Pemandu Grab Ini Membuatkan Saya Terkedu

Gambar : https://www.pinterest.com/

6 Pesanan pemandu Grab ini membuatkan saya terkedu. Lagi-lagi setelah tahu siapa dia yang sebenarnya.

Hujan lebat selepas Asar tadi di sepanjang lebuhraya menuju ke Shah Alam. Usai mesyuarat #Biobax di Shah Alam, saya memanggil Grab sahaja untuk ke Bandar Sunway.

Dalam keadaan hujan lebat, beberapa orang menolak permintaan saya untuk ke Bandar Sunway. Mungkin kerana hujan lebat, mereka tak mahu meredah trafik yang sesak. Setelah menunggu beberapa minit, akhirnya ada seseorang yang sudi mengambil saya.

Seorang lelaki dalam lingkungan usia 40an memandu sebuah Perodua Axia.

“Nak ke Bandar Sunway ya Tuan?”, soal beliau.

Ice breaking. Bertanya soalan.

“Ya Tuan. Saya ada meeting di sana”, balas saya.

“Sabar sikit lah ya. Mungkin lambat sedikit. Hujan, jalan mungkin sesak”, kata beliau.

Saya angguk-angguk. Faham, tak mengapa.

“Dah lama Tuan buat Grab? Sepenuh masa ke?” soal saya. Ini memang soalan yang biasa saya tanya kepada pemandu. Nak mulakan topik bersembang. Tidaklah kita bosan.

“Oh dah lama juga. Memang buat sepenuh masa sekarang ni. Lepas duit belanja anak sekolah dan beli barang dapur pun syukur dah”, kata beliau.

“Dulu saya berniaga. Boleh tahan jugalah bisnesnya. Sekarang bawa Grab saja”, beliau menambah.

Saya semakin tertarik untuk mendengar ceritanya. Mesti ada ilmu yang boleh kita belajar daripadanya.

“Berniaga apa dulu bang? Saya sekarang masih bekerja. Teringin juga nak berniaga ni. Tapi belum beranilah”, saya memancing beliau supaya meneruskan cerita.

Tiba-tiba beliau memandu lebih perlahan. Mungkin mahu ambil masa untuk bercerita. Taktik saya berhasil.

“Nak berniaga ni kena berani dik. Hati kau kena kental. Untung rugi itu biasalah. Belum kita kena khianat orang lagi. Tapi itulah adat berniaga. Tahun lepas abang masih senang, sekelip mata saja jatuh terduduk ni.”

“Dulu abang berniaga daging. Abang beli dengan pengimport dan bekalkan semula kepada restoran dan kantin-kantin. Sehari jual bertan-tan. Seronok, duit memang berkepuk.”

Semakin menarik. Saya bertanya lagi,

“Lepas tu? Apa yang jadi bang?”

“Berniaga ni kena beringat-ingat waktu kita di atas. Abang berbelanja sakan. Luar kawalan, tukar kereta mewah dan berbelanja ikut nafsu. Simpanan ada, tapi tak banyak.”

“Semua jadi sekelip mata. Abang percaya sangat dengan budak-budak. Kena sailang dengan staff sendiri, diorang buat duit tepi dan supply daging direct kepada pelanggan. Bukan itu saja, stok pun diorang curi. Kalau sehari 100kg diorang ambil? Sebulan dah berapa?”

Hujan semakin lebat. Saya cuma diam, dan beliau teruskan bercerita.

“Akhirnya abang sedar semua ni bila abang tengok duit dalam akaun tak balance keluar dan masuk. Lama juga abang nak trace benda ni. Bila dah jadi, diorang semua lari. Abang kena tanggung rugi ratus ribu nak bayar pembekal. Abang dapat kredit waktu tu. Nasi dah jadi bubur dik. Kalau sikit sikit boleh juga cover. Waktu susah siapa nak tolong kau? Semua orang pun lari takmau dekat. Abang jual rumah dan apa harta yang ada nak cover hutang. Habis tinggal sehelai sepinggang.”

“Kahkahakah.”

Tiba-tiba beliau ketawa sendiri. Terkejut juga saya.

“Bodoh kita sendiri. Terlalu percaya orang dan sombong bila bisnes tengah bagus. Lepas tu abang kerja bawa lori sampah untuk dapatkan duit. Siapa nak ambil kerja dah tua tua ni. Busuk pun busuklah, janji halal. Lepas ada duit sikit abang beli Axia ni dan buat Grab.”

“Sekarang abang dah tak bawa lori sampah lagi. Abang bawa kau je lah . Kahkah”, dia berseloroh.

Perjalanan dari Shah Alam ke Bandar Sunway tak terasa. Cerita beliau benar-benar memberi pengajaran buat kita semua. Benarlah bagai dikata, orang bisnes akan bercerita tanpa kerahsiaan. Mereka bercerita dengan jujur.

“Satu lagi dik, abang nak pesan ni. Sekarang kau kerja baik-baik. Tak apalah, jangan curi tulang. Biar berkat rezeki kau. Jangan khianati bos kau tu.”

“Kalau kau nak berniaga, kau berhenti kerja. Kau berniaga betul-betul. Bila ada untung kau simpan. Jangan belanja ikut sedap hati kau je. Memanglah itu duit kau, tapi bisnes ini ada naik dan turunnya. Tak tentu.”

“Bila ada masalah, kau jangan fikir sangat. Abang terus ke depan je. Kalau fikir memang tak boleh kerjalah jawabnya. Semua orang ada masalah dan Tuhan takkan uji diluar kemampuan kau.”

Sampai destinasi. Kereta berhenti. Saya pandang wajah beliau. Terukir senyum tetapi matanya merah dan berkaca. Mungkin beliau puas dapat meluahkan kepada saya.

“Terima kasih abang. Halalkan ilmunya. Kita jumpa lagi nanti jika ada rezeki.”

Kami berpisah di situ. Cerita abang ini membuatkan saya terus menaip dan paparkan di sini. Tuhan tidak kirimkan dia untuk memandu tadi saja-saja. Inilah hikmahnya.

Semoga bermanfaat. Share cerita ini.

Ikram Al-Banjari
Saudagar Jalanan

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Workshop Termahal Pernah Aku Hadir

Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Bercuti di Hong Kong?