in

11 Memori Ramadan Yang Hampir Sama Dengan Semua Rakyat Malaysia

Duduk-duduk tepi jalan sebelah petang sambil menunggu pelanggan beli kuih muih kami, teringat pula pada bulan puasa zaman kanak-kanak dulu. Seronoknya bukan kepalang. Nak dibezakan dengan zaman sekarang cukup jauh berbeza.

Masa tu mana ada facebook, youtube, wechat dan KLCC. Jadi hidup kami memang banyak masanya bersama keluarga dan kawan-kawan.

Antara yang diingati ialah:

1. Sahur sama-sama adik beradik dan mak ayah.

Hui, ni masa emas. Sekarang kalau nak dapat cukup susah nak kumpulkan semua. Bila dapat pun, entah-entah ada yang dah beristirehat di alam lain. Masa dulu ni lah masa nak dengar mak terjerit panggil sorang-sorang nama anaknya. Yang peliknya, memang mak je kan biasa sedar bangun sahur ni.

Abah pula bila kita bangun rupanya dia senyap-senyap tengah makan kat meja dapur. Haha.

2. Sesi ngaji ramai-ramai adik beradik.

Dah siap makan sahur sementara nunggu azan subuh kita pun pakat ngaji ramai-ramai. Berlumba-lumba siapa khatam dulu. Main tipu ada juga. Rasa macam kena tinggal jauh, selak lebih sikit muka surat Quran tu kahkah.

3. Waktu imsak.

Masa nak nunggu waktu imsak masuk, semua jadi ustaz dan ustazah. Ya lah, waktu tu mana tahu waktu imsak tu waktu berhati-hati. Pantang terlebih waktu imsak, tengok siapa yang masih makan atau minum. Kalau ada terus kita isytihar batallah puasanya. Pandang je ke jam. Huhu. Tak sabar keluarkan fatwa.

4. Sesi borak sesama ahli keluarga.

Lepas siap sahur, ngaji dan solat subuh maka tibalah sesi ni. Abah biasa jarang turut serta. Biasa dia suka duduk di sejadah atau di masjid solat subuh atau dah sambung tidur hihi. Tinggal lah kita adik beradik bercerita macam-macam.

Mak lah yang melayan sampai habis. Pasal sekolah, kawan, cikgu, saudara mara dan hari raya. Inilah facebook kita zaman dulu.

5. Waktu sunyi.

Ia berlaku selepas siap sesi borak-borak. Biasa mula jam 7.30 pagi sampailah 10 ke 11 pagi. Yang dengar hanya bunyi di dapur. Mak setia berjaga nak buat kuih raya. Yang lain dah terpukang atas katil, lantai dan kerusi untuk tidur sepuas-puasnya.

Mandi pun tak sempat. Silap-silap siapa yang tak tidur masa tu memang nyesallah tak dapat tidur, tak ada aktiviti boleh buat. Duduk termenung aje lah layan perasaan.

6. Waktu nazak.

Aduh, tengahari. Panas. Tekak kering. Rasa nak berbuka je. Kita dulu mana tahu kecil-kecil mak ayah tak boleh paksa anak-anak puasa. Yang tahu puasa tu wajib untuk semua orang Islam. Tinggal puasa kena ganti jawabnya.

Ya lah, masa kita kecil-kecil mana nak tanya apa-apa kat orang tua kita, patuh dan taat atas semua arahan dan kata-kata mereka.

Bila kita cakap tak daya dah, mesti mak atau ayah akan cakap “Tak lama dah, sikit je lagi”. Padahal jam baru pukul 2 petang. Huhu.

Mak ayah kita sebolehnya umur 5 tahun dah suruh puasa. Lepas tu berlawan dengan jiran tanya anak dah tinggal berapa hari puasa. Kahkah.

7. Drama Rumah Kedai.

Sungguh aku kata, inilah drama terbaik bulan Ramadan yang tak boleh lawan sampai sekarang. Masa ni semua tak nak main basikal. Tak nak panjat pokok. Tak nak jumpa kawan. Pakat berkumpul depan tv takde remote. Suka sangat tengok.

Petang-petang layan sampai episod terakhir. Kalau miss sehari, ibarat Ramadan tak lengkaplah tahun tu. Khurafat betul. Kihkih.

8. Ronda keliling kampung.

Ni selepas habis tengok Rumah Kedai. Dah petang-petang sangat naiklah motor keliling kampung. Tengok geng-geng abang besar meronda sambil berkonvoi sedap je. Macam best je dapat gitu. Tapi kita masa tu tak pandai bawa motor lagi. Duduk aje lah di belakang atau dalam raga motor kat depan. Kahkah.

9. Waktu paling sibuk.

Masa nak sediakan juadah berbuka. Masa ni dia punya dapur tu macam kat Chow Kit. Sibuk bukan main. Janganlah masuk tak tentu pasal, memang kena sembur ngan suara Lata Mangeshkar lah kau jawabnya.

Bila nak berbuka, berbaris ramai-ramai ambil nasi. Paling tenang abahlah, menghadap je semua dah sedia depan mata.

Bila dah buka semua diam menghadap makanan. Kalau ada pun yang mulut riuh itulah yang selalu ajak berborak.

10. Kuah kacang.

Ni mesti ada. Boleh kata tiap-tiap hari. Setiap keluarga pasti ada makanan istimewa dia. Kalau keluarga kami, inilah dia. Baik waktu berbuka ataupun bersahur. Mesti ada mak buatkan. Ada masa buka puasa cuma hirup kuah kacang je.

Ya Tuhan, sedap sangat!

Kau apa tahu, risau sangat naik jerawatlah kutillah apalah. Aku ni pasal kuah kacanglah antara yang mengekalkan kekacakan diri sampai sekarang.

11. Solat tarawih.

Masa ni memang meriah. Masjid penuh. Budak-budak pun penuh. Dapat hari baik, kami solat tarawih ekspres. Tak ikut imam. Solat sendiri-sendiri kat belakang. Sebab nak cepat keluar masjid main mercun. Sebab tu sekarang aku marah kau orang budak kecil main mercun kawasan masjid. Bising kau tahu tak!

Bila dah siap main, cepat-cepat masuk masjid. Dah rakaat terakhir witir, imam pun dah duduk tahiyat akhir. Kami cepat-cepat juga duduk tahiyat akhir. Penuh je kat belakang geng-geng main mercun duduk tahiyat akhir. Baik je muka semua. Bila bagi salam semua senyum ke kawan-kawan. Kahkah.

Itulah sedikit sebanyak kenangan dulu-dulu. Kalau boleh dikembalikan, memang nak dikembalikan semua masa tu. Lalui dan buat puas-puas sekali lagi. Tapi tak dapatnya. Tuhan dah bagi sekali masa untuk kita lalui zaman kanak-kanak tu.

Selebihnya pandai-pandailah kau orang tambah kenangan tu. Makin diingat kenangan dulu-dulu, makin banyak pula lori lalu. Lori lalu sampai berhabuk-habuk masuk ke mata. Pedih pula jadinya. Huhu.

Kau orang yang nak merasa berbuka dengan adik beradik, mak dan ayah tu sempat lagi. Pakat-pakatlah. Cuti ni baliklah. Biar habis sikit duit, yang penting silaturrahim kekal berpanjangan tak berputus.

Kalau ada yang keruh, jernihkanlah. Biar mak dan ayah tersenyum manis tengok semua anak-anaknya dapat berkumpul kembali bersama. Pasti keriuhan zaman kanak-kanak kita kembali, walau dalam suasana yang berbeza!

 

Ws Adli W Muhammad

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Cara Menunaikan Solat Tahajud Untuk Noob

CPR Hanya Guna Mulut?