in ,

10 Filem Tamil Wajib Ditonton

Gambar : FB Daniyal Kadir

Sempena Hari Deepavali, saya mempersembahkan senarai 10 filem Tamil wajib tonton. Ini merupakan senarai peribadi saya dan mungkin tuan-tuan ada senarai tersendiri yang boleh dikongsikan.

Saya meminati Mani Ratnam, jadi beberapa filem beliau mendominasi senarai ini.

Selamat menyambut Hari Deepavali!

Apoorva Raagangal (1975) merupakan sebuah filem bercorak drama arahan K.Balachander. Filem ini menampilkan Kamal Haasan dan Srividya sebagai bintang utama di samping superstar Rajinikanth. Filem ini merupakan aksi pertama Rajinikanth di layar perak.

Apoorva Raagangal meneroka soal hubungan perasaan di antara manusia yang memiliki jarak usia terlalu jauh. Filem ini memenangi Filem Terbaik Berbahasa Tamil dalam National Film Award tahun 1975.

Nayakan (1987) merupakan sebuah filem gangster ala The Godfather arahan Mani Ratnam. Filem ini mengisahkan bagaimana Velu Naicker membina kehidupan sehingga menjadi seorang Don yang disegani. Nayakan mengambil latar pergelutan hidup orang India dari Selatan yang berhijrah ke Mumbai. Filem ini dibintangi aktor terkemuka, Kamal Haasan.

Lakonan berkualiti Kamal sebagai Velu Naicker telah memberikannya anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di National Film Award. Filem ini turut memenangi anugerah Sinematografi Terbaik dan Pengarahan Seni Terbaik di anugerah yang sama.

Pada tahun 2005, majalah TIME telah memasukkan Nayakan sebagai salah sebuah 100 filem terbaik yang pernah dihasilkan.

Anjali (1990) merupakan sebuah lagi filem hebat arahan Mani Ratnam. Filem ini menampilkan Raghuvaran, Revathi, Tarun, Shruti Vijaykumar dan Shamili. Muzik dan runut bunyi Anjali dihasilkan oleh komposer terkenal, Ilaiyaraaja. Anjali merupakan filem ke-500 buat composer berkenaan.

Filem ini mengisahkan tentang kemelut yang dihadapi oleh sebuah keluarga dalam menangani hal membesarkan seorang anak yang mengalami masalah mental. Anjali memenangi Filem Terbaik Berbahasa Tamil dalam National Film Award tahun 1991 dan dicalonkan secara rasmi sebagai wakil India untuk Anugerah Akademi tahun yang sama, tetapi gagal menempatkan diri dalam senarai akhir.

Roja (1992) sebuah filem thriller-romantik yang diarahkan oleh Mani Ratnam. Filem ini menampilkan Arvind Swamy dan Madhoo sebagai bintang utama. Filem ini mengambil latar keganasan dan politik yang berlaku di India. Roja berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Moscow ke-18.

Runut bunyi filem ini yang dicipta oleh A.R. Rahman dianggap sebagai masterpiece malah turut disenaraikan di dalam majalah TIME pada tahun 2005 sebagai di antara 10 runut bunyi filem terbaik yang pernah dihasilkan.

Thevar Magan (1992) merupakan filem arahan Bharathan. Filem ini menampilkan gandingan hebat Sivaji Ganesan, Kamal Haasan, Revathi, Gouthami dan Nassar. Lakon layar untuk filem ini ditulis oleh Kamal sendiri. Thevar Magan mengisahkan tentang Sakhtivel yang pulang dari luar negara untuk bertemu bapanya, Periya Thevar bagi mendapatkan restu mengahwini teman wanitanya.

Thevar merupakan ketua kampungĀ yang sangat dihormati dan Sakhtivel berdepan detik tidak disangka apabila bapanya meninggal dunia dan dia mengambil alih tugas bapanya menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di kampung berkenaan.

Filem ini menerima sambutan hangat dan ditayangkan selama 200 hari di India. Thevar Magan turut memenangi Filem Terbaik Berbahasa Tamil dalam National Film Awards tahun 1993.

Iruvar (1997) merupakan sebuah lagi filem politik epik yang diarahkan oleh Mani Ratnam. Lebih unik filem ini secara tidak langsung memaparkan hubungan dunia sinema dengan politik di Tamil Nadu Iruvar menampilkan Mohanlal, Prakash Raj, Aishwarya Rai, Revathi, Gouthami, Tabu dan Nassar. Ini juga merupakan filem pertama lakonan Aishwarya.

Filem ini telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada tahun 1997 dan dianugerahkan Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Belgrade. Pada tahun 2012, Iruvar telah tersenarai di dalam 1000 filem terbaik yang dikeluarkan oleh Sight and Sound.

Hey Ram (2000) merupakan sebuah filem politik dan sejarah yang diarahkan oleh Kamal Haasan. Filem ini sebenarnya dihasilkan dalam bahasa Tamil dan Hindi. Hey Ram menampilkan plot separa fiksyen tentang pembunuhan Gandhi dan rusuhan kaum dan agama yang berlaku di India kesan daripada pemisahan India dan Pakistan.

Hey Ram menampilkan Kamal, Shah Rukh Khan, Atul Kulkarni, Naseerudin Shah dan Rani Mukherji. Atul memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di National Film Award 2000.

Jigarthanda (2014) merupakan sebuah black comedy arahan Karthik Subbaraj. Filem ini menampilkan Siddharth, Bobby Simha dan Lakshmi Menon sebagai bintang utama. Filem ini mengisahkan tentang seorang pembikin filem yang terlalu teruja dengan minatnya sehingga menyebabkan dirinya terjebak dalam dunia jenayah dan gangsterisme. Sebuah filem dalam filem, Jigarthanda ialah satu kelainan dalam sinema Tamil.

Bobby Simha memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Vivek Harshan dianugerahkan Penyunting Terbaik semasa National Film Award 2014. Ramai pengkritik menganggap filem ini sebagai sebuah filem Tamil yang bijak dari sudut teknikal dan penceritaan.

Visaranai (2015) merupakan sebuah filem arahan Vetrimaaran yang diadaptasi daripada novel tulisan M.Chandrakumar berjudul Lock Up. Filem ini berputar tentang korupsi, keganasan polis dan kehilangan nyawa orang yang tidak bersalah di samping ketidakdilan yang berlaku kepada tahanan di lokap polis.

Filem ini menampilkan Dinesh, Anandhi dan Aadukalam Murugadoss sebagai pelakon utama. Visaranai telah ditayangkan di Festival Filem Venice ke-72 dan dianugerahkaan Amnesty International Italia Award. Semasa di Venice filem ini menerima pujian daripada penonton dan pengkritik. Visaranai turut memenangi Filem Terbaik Berbahasa Tamil dalam National Film Award tahun 2016.

Joker (2016) arahan Raju Murugan merupakan sebuah filem bercorak satira politik. Filem ini menampilkan Guru Somasundaram, Ramya Pandian dan Gayathri Krishnaa. Joker mengisahkan tentang seorang lelaki yang mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden India dan beliau menggerakan pelbagai bantahan terhadap apa-apa ketidakadilan yang berlaku di kampungnya. Joker memenangi Filem Terbaik Berbahasa Tamil dalam National Film Award tahun 2017.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Deepavali Vaalthukal!

Kenapa Starbucks Selalu Sangat Salah Eja Nama?